PETALING JAYA: Gaji jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mengikut skim penjawat awam, malah tenaga kejurulatihannya juga bukan tangkap muat.
Bagaimanapun, gaji yang diterima tidaklah serendah RM2,000 hingga RM3,000 tetapi lebih daripada itu namun tidaklah sebesar pasukan-pasukan Liga Super.
Perkara itu didedahkan sumber dalaman akademi berkenaan yang enggan mendedahkan namanya berkata, gaji yang diterima setimpal dan mengikut skim gaji seperti penjawat awam namun ada penambahannya berdasarkan pengalaman serta lesen kejurulatihan dimiliki.
Tambahnya, semua jurulatih di AMD memiliki lesen Pro A, A dan hanya dua orang masih lesen B namun mereka kini dalam proses ke A.
“Gaji diterima tidaklah serendah dikatakan tapi tidaklah setinggi seperti pasukan-pasukan Liga Super sebab kita ikut skim gaji kerajaan.
“Kalau kata jurulatih tidak berkualiti, apa yang dimaksudkan dengan kualiti? bagaimana nak menilai kualiti, namakan jurulatih yang berkualiti?. Adalah ia dinilai dengan hanya keputusan melibatkan pasukan kebangsaan tanpa melihat keseluruhan produk-produk yang dilahirkan AMD dan NFDP.
“Tidak adil untuk tunding jari sepenuhnya kepada AMD dan NFDP apabila kegagalan skuad muda kebangsaan di peringkat antarabangsa menyerlah. Perlu diingat pemilihan pemain mewakili negara adalah kuasa penuh jurulatih yang dilantik FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan kami hanya bantu serta beri kerjasama jika pemain kami diperlukan.
“Kita juga tiada liga khas untuk skuad muda bawah 16 tahun ke bawah, selain daripada Liga KPM (Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia). Jadi untuk pemain dapat minit permainan dan pengalaman antarabangsa sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kegagalan skuad muda negara ke Piala Asia B-17 selepas menamatkan saingan di tangga kedua apabila tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terikat 2-2 dengan Laos untuk sekadar mengutip satu mata menyaksikan AMD dan NDFP menjadi ‘sasaran’ kritikan disebalik kegagalan berkenaan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan aspek gaji jurulatih skuad pembangunan di NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari AMD perlu dikaji semula bagi menarik minat jurulatih berkualiti mengisi jawatan berkenaan.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, aspek gaji yang rendah berkemungkinan turut menjadi faktor jurulatih yang berkualiti dan kaya pengalaman tidak berminat untuk membangunkan skuad muda pada ketika ini.
Sementara itu, AMD setakat ini telah berjaya melahirkan lima kumpulan pemain dan kebanyakan mereka telah dipancing oleh kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) terutama ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
“Untuk pengetahuan kumpulan pemain seterusnya yang akan keluar sebulan lebih lagi telah menandatangani kontrak dengan kelab, jadi di mana datangnya persoalan bahawa pemain-pemain AMD tidak berkualiti.
“Beri masa tiga hingga lima tahun lagi, anda boleh lihat kelab-kelab Liga Super kebanyakkan akan dibarisi pemain-pemain daripada AMD,” jelasnya. – UTUSAN










