Hargai kesetiaan, toleransi rakyat Malaysia

Hargai kesetiaan, toleransi rakyat Malaysia

RAKYAT Malaysia sentiasa menyambut baik sebarang dasar atau perancangan ke arah membina kemajuan dan pembangunan negara bangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH mudah menuding jari, mencari kelemahan dan kesilapan orang lain dari melihat dan memperakui kekurangan sendiri. Apabila tercetus sebarang polemik sehingga membabitkan sensitiviti kaum dan agama misalnya, pihak-pihak tertentu berlumba-lumba, kononnya mencari punca dengan menuduh ‘ke sana ke sini’, meski pun di belakangnya ada kala merupakan perbuatan ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Terimalah hakikat bahawa, bertindak jujur, beradab dan berbudi tinggi menghasilkan suasana damai dan harmoni.

Syukurnya di Malaysia, rakyat pelbagai latar belakang kaum, budaya mahupun agama sentiasa mengutamakan semangat perpaduan dan muhibah, sering mengenepikan isu-isu sensitif yang berbangkit dalam tempoh hanya beberapa hari. Ertinya, perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekeruhan tidak dibiarkan berpanjangan atau cuba tidak diperbesar-besarkan.

Pelbagai unsur sensitif yang ‘menjentik’ emosi pernah berbangkit. Kebanyakannya menghala kepada umat Islam dan orang Melayu. Dari soal sijil halal hinggalah perbuatan meletak kepala khinzir di gerai.

Malah, kedengaran pula suara-suara sumbang atau kenyataan yang boleh mengguris rasa, melukakan hati. Apa tidaknya? Jika apa yang dipertuturkan itu mengandungi unsur-unsur pencerobohan privasi dan kedudukan Islam dan orang Melayu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tentulah sedikit sebanyak boleh menggugat keadaan.

Apa pun, setakat ini, rakyat Malaysia pada umumnya masih memperlihatkan sikap memilih untuk mengutamakan kestabilan dan kemakmuran. Mereka ternyata mahukan negara ini kekal aman, sejahtera maju berpanjangan. Mereka tentu berpegang, bahawa harga bagi sebuah kedamaian itu lebih mahal dari meletakkan suasana menjadi rapuh atau terdedah pada sengketa dan perbalahan.

Rakyat Malaysia sentiasa menyambut baik sebarang dasar atau perancangan ke arah membina kemajuan dan pembangunan negara bangsa. Mereka bersedia bersama pemerintah untuk bekerjasama demi melihat negara maju dan sejahtera. Rakyat Malaysia sentiasa menyerlahkan sikap rasional untuk menjamin negara sentiasa aman, selamat dan mendamaikan. Mereka tidak mahu pembangunan terencat atau terhalang.

Lihat sahaja, Belanjawan 2025 yang dibentang di Parlimen oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, keseluruhannya, rakyat menerima dengan sikap terbuka dan menunggu pelaksanaan segala perancangan dengan yakin dan penuh minat. Mereka mahu kebajikan rakyat sentiasa terbela di samping survival masa depan terus terjamin.

Manakala, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota baru-baru ini, jelas pengundi di kedua-dua kawasan menghantar isyarat atau mesej jelas bahawa mereka mahu berpijak pada realiti tadbir urus politik yang tepat, jelas serta berkesan.

Mereka memilih realistik, bukan retorik. Masa untuk membina kestabilan dan mengukuh padu politik negara demi kebaikan rakyat dan negara. Apatah lagi Malaysia kini semakin berada di mata dunia. Kita sedia maklum, Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, selain bersuara tegas dalam isu berkaitan konflik Israel-Palestin.

Namun, pertimbangan besar yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah semua pihak termasuk pemerintah mesti bertindak lebih tegas bagi menghalang sebarang unsur provokasi yang boleh meluka hati mengguris perasaan. Hentikan sebarang perbuatan menguji tindak balas dalam hal-hal membabitkan sensitiviti agama, budaya serta kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan kaum bumiputera.

Jangan biarkan rakyat terpaksa ‘menjeruk perasaan’ dengan perbuatan-perbuatan yang membabitkan hal-hal kedudukan dan keistimewaan sebagaimana terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Hormati kesabaran majoriti rakyat Malaysia. Sampai bila mahu terima perbuatan atau kenyataan biadab, melontar kata-kata kesat menghina Islam, kemudian semudah memohon maaf secara terbuka atau sekadar beralasan seperti dilakukan oleh ‘pesakit mental’?

AMBIL IKTIBAR TITAH SULTAN PERAK
Semua pihak perlu menghormati dan memberi perhatian terhadap titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru-baru ini, yang menegur sikap mempersenda institusi diraja dan mensensasikan isu perkauman. Baginda juga menegur pihak yang suka mencetuskan perbuatan subversif, sabotaj dan menceroboh budaya. Ada baiknya titah baginda diambil iktibar, difahami makna dan mesej demi kebaikan semua. Yang pasti, Sultan Nazrin tentu ada asas dan sebab yang mendorong baginda bertitah dan membuat teguran demikian.

Pendek kata, dilihat pada umumnya, rata-rata rakyat Malaysia sukakan suasana kehidupan damai dan harmoni di bumi bertuah, yang sekian lama merdeka dan berdaulat ini. Cita rasa mereka ini diterjemahkan melalui kerelaan membina ‘semangat hidup berkeluarga’ tanpa mengira negeri atau wilayah tempat mereka tinggal.

Dalam kalangan rakyat tidak timbul soal negeri mana lebih kaya atau miskin dengan hasil bumi anugerah Tuhan untuk hidup bersama dalam erti kata ‘sama cinta, sama rasa’. Rakyat meletakkan pendirian memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri, yang jika diadunkan boleh membina sebuah negara yang kuat dan maju membangun.

Jadi, siapa yang sebenarnya sering membangkitkan isu-isu sensitif, suka mengganggu dan mempersoal duduk-perkara yang sebagaimana sudah dipersetujui dan terpahat dalam Kontrak Sosial atau Perlembagaan Persekutuan? Jawapan yang pasti tentulah bukan rakyat biasa.

Tiada untung mencetus huru hara, hidup terganggu, masa depan tidak ke mana.-UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN