KECERDASAN buatan (AI) merupakan teknologi mutakhir yang mengubah landskap kehidupan manusia dari segenap aspek termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
Dari satu sudut, sememangnya AI menawarkan peluang luar biasa dalam mempercepatkan penyelesaian masalah dan meningkatkan kecekapan. Namun, dari sisi lain, ia boleh menimbulkan cabaran etika dan moral yang kompleks sekiranya tidak dibendung.
Dalam menghadapi situasi ini, penting untuk memastikan wujudnya keseimbangan antara teknologi dan etika dalam menggunakan AI agar tidak memudaratkan kesejahteraan manusia termasuk alam sejagat.
Dalam Islam, semua ilmu mesti menjunjung nilai-nilai yang selaras dengan kehendak syariat dan moral yang tinggi termasuklah penggunaan teknologi AI. Islam juga mengajarkan kita mengenai sesuatu ilmu dianggap berkat apabila diamalkan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memberi manfaat kepada ummah.
Imam Al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ Ulum al-Din turut menekankan tujuan akhir menuntut ilmu haruslah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan bukannya mengejar kemasyhuran, kekayaan atau kedudukan.
Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memanfaatkan teknologi tetapi penggunaannya perlu berlandaskan etika dan niat yang jujur agar membawa kebaikan. Apabila teknologi digunakan berasaskan nilai etika dan niat yang baik, ia bukan sahaja mendatangkan manfaat tetapi juga disertai dengan keberkatan, selari dengan prinsip Islam yang mementingkan kebaikan sejagat.
Kita sememangnya menerima AI sebagai teknologi canggih pada masa kini yang dapat meningkatkan keupayaan manusia untuk memahami dan menghasilkan ilmu.
Saban hari, setiap pekerjaan menjadi lebih mudah dan lancar apabila menggunakan AI. Kerja-kerja ilmiah yang dahulunya memakan masa yang lama untuk disiapkan dapat disempurnakan dalam masa yang singkat.
Namun, perlu berwaspada, penggunaan AI secara tidak beretika akan mengheret invidivu kepada aktiviti plagiarisme. Individu yang tidak berhati-hati akan terjebak dengan isu plagiat tanpa sedar yang akhirnya menjejaskan kualiti dan integriti keilmuan. Sebagai contoh, kewujudan beberapa aplikasi AI yang mampu menghasilkan teks kompleks dengan gaya dan mutu penulisan yang seakan-akan manusia dapat mencetuskan masalah dari aspek ketulenan hasil kerja mahupun kehilangan keberkatan dalam ilmu.
Di institusi pendidikan, amalan pembudayaan ilmu yang berkat dan beretika adalah satu konsep yang harus sentiasa dijunjung. Ini memerlukan penglibatan aktif dari setiap pihak termasuk pentadbir untuk memastikan bahawa ilmu yang dipelajari, dikongsi dan disebar adalah asli dan bukan hasil daripada pemalsuan atau plagiat.
Akademia yang berperanan sebagai penjaga nilai serta integriti akademik perlu menangani cabaran ini secara bijaksana dan beretika. Ia bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani.
Tidak dapat dinafikan terdapat juga segelintir individu yang mengejar ilmu demi kepentingan peribadi atau komersial semata-mata. Harus disemat dalam diri bahawa tanpa niat yang ikhlas, ilmu yang diperoleh berpotensi menjadi tidak berguna.
Bertitik tolak dari cabaran ini, menjadi tanggungjawab setiap institusi pendidikan untuk menggubal garis panduan etika dalam penggunaan AI. Kursus seperti pendidikan falsafah dan etika mengenai penggunaan AI adalah kritikal untuk mengelakkan ketidakjujuran selain pemalsuan yang berpotensi mencalarkan imej serta kredibiliti gedung ilmu. Di sinilah juga pentingnya peranan para akademia dengan memberikan pendedahan, latihan serta pemahaman mengenai penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab semasa sesi pengajaran juga pembelajaran.
Hal ini kerana kecenderungan individu yang terlalu bergantung kepada AI tanpa pemahaman mendalam boleh merosakkan serta mengakibatkan kurangnya kemahiran pemikiran kritikal, kreatif dan sintesis. Di sinilah, kita perlu sedar bahawa AI tetap sebuah ciptaan manusia yang mana tidak akan sampai kepada hikmah seperti sempurnanya anugerah akal yang dikurniakan Tuhan.
Maka, dalam mendepani cabaran AI ini, pemahaman mengenai hasil kerja yang bermutu, autentik dan bukan sepenuhnya bergantung kepada ciptaan AI adalah satu tuntutan beretika.
SEKADAR ALAT SOKONGAN
Setiap dari kita perlu sedar bahawa pembelajaran yang hanya untuk memenuhi syarat akademik atau mengejar pengiktirafan tanpa niat yang murni boleh mengurangkan keberkatan ilmu yang diperoleh.
Dalam konteks ini, kita perlu melihat AI sebagai alat bantu sekongan dan memperkaya pengalaman pembelajaran, bukannya sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dengan tidak beretika.
AI bukanlah pengganti untuk usaha akademik yang asli dan ini perlu difahami serta diterima oleh setiap individu. Pemahaman ini penting untuk membentuk generasi masa hadapan yang kritis, kreatif serta mampu mensintesis pengetahuan dengan kebijaksanaan sesuai dengan konsep ulul albab yang sering disebut dalam al-Quran sebagai mereka yang menggunakan akal untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Sesungguhnya, pembudayaan ilmu yang beretika dan berkat memerlukan kesedaran dan amalan pendidikan yang konsisten. Kita perlu menyedari mengenai tanggungjawab untuk sentiasa menjaga etika dan keberkatan dalam menuntut ilmu. Melalui pendekatan yang betul, kita bukan sahaja dapat memperkasa teknologi, tetapi juga memastikan ia selari dengan nilai-nilai murni yang membentuk sebuah peradaban yang maju dan beretika.
Pentingnya menjunjung tinggi nilai keilmuan asli yang mana kewujudan AI tidak sepatutnya mengurangkan nilai usaha dan upaya manusia dalam memperoleh ilmu secara jujur.
AI perlu digunakan bukan sekadar alat kemajuan, tetapi juga wasilah untuk manfaat ummah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Maka, jadilah kita penuntut ilmu yang beradab membina jati diri di atas landasan etika dan berusaha menggapai ilmu yang berkat.-UTUSAN
DR. Suharmili Rosle ialah Felo Pasca Doktoral, Fakulti Komputer Universiti Teknologi Malaysia (UTM).










