PETALING JAYA: Faisal Halim sedar dirinya masih jauh untuk mencapai tahap prestasi seperti sebelum menjadi mangsa simbahan asid.
Bagaimanapun, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey mengakui minit permainan yang sentiasa diberikan oleh Selangor FC kepadanya telah memberi nilai tambah terhadap keyakinan untuk bermain dalam padang.
Jelasnya, kesempatan bermain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), selain aksi Liga Malaysia (Liga M) mampu mempercepat proses untuk dia kembali mencapai prestasi terbaik.
“Intensiti tinggi, persaingan hebat, bukan satu perlawanan yang mudah, saya rasa bagus untuk saya sebenarnya.
“Kita bermain di tahap tinggi, saya mencari rentak dan minit permainan dan akan maju selangkah demi selangkah,” katanya.
Selangor kini menjadi pendahulu Kumpulan H ACL2 apabila mengumpul tujuh mata selepas mencatat dua menang dan satu seri.
Red Giants akan terbang ke Korea Selatan untuk aksi keempat kumpulan berdepan Jeonbuk Hyundai Motors pada Khamis ini dengan misi membawa pulang mata.
Begitupun, aksi kali ini pasti lebih sukar kerana kelab Korea Selatan itu pasti mahu membalas dendam susulan kekalahan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada 23 Oktober lalu.
Tambahan, Selangor juga kehilangan ketua jurulatihnya, Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan secara mengejut pada 30 Oktober lepas. – UTUSAN










