MENJELANG sambutan Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Pameran dan Konvensyen (KLCC), Kuala Lumpur, mulai 22 hingga 24 November ini, beberapa analisis telah dibuat ke atas kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun begitu, terdapat beberapa dakwaan dalam artikel ahli akademik tertentu yang perlu diperbetulkan dengan fakta serta konteks sebenar bagi memberikan gambaran yang lebih adil terhadap pencapaian dan cabaran Kerajaan Perpaduan.
MAJORITI MELAYU BERALIH SOKONGAN KEPADA KERAJAAN PERPADUAN
Dakwaan mengatakan majoriti Melayu didapati terus memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) adalah tersasar.
Ini terbukti melalui kekalahan PN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) di kawasan majoriti Melayu yang berlangsung mutakhir ini.
Dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, pada 17 Ogos lalu, calon Kerajaan Perpaduan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, menewaskan calon PN, Mohd. Rizwadi Ismail, dengan majoriti 3,352 undi, membolehkan parti itu merampas kembali kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang oleh PN.
Lebih mutakhir, dalam PRK DUN Mahkota, Johor, calon Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, dengan majoriti 20,648 undi, meningkat empat kali ganda berbanding majoriti yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, iaitu 5,166 undi.
Dakwaan bahawa Anwar dilihat cuba memancing undi Melayu dengan menonjolkan isu keagamaan adalah tidak betul kerana beliau konsisten menonjolkan pendekatan inklusif, bukan sekadar menumpukan pada isu keagamaan untuk memancing undi Melayu.
Sebaliknya, PN yang sering menonjolkan isu-isu keagamaan sebagai naratif politik utama mereka.
Anwar, sebaliknya, menekankan kepentingan keadilan sosial, perpaduan nasional dan integriti tanpa mengeksploitasi sentimen agama.
Pendirian tegas Anwar mengenai isu Palestin dalam forum-forum antarabangsa juga bukan didasarkan kepada isu keagamaan tetapi kepada isu kemanusiaan, dan ketegasan ini malah disokong juga oleh pemimpin-pemimpin PN.
FOKUS ISU ASAS EKONOMI DAN TADBIR URUS
Dakwaan pentadbiran dua tahun ini tidak membawa perubahan ketara kepada masyarakat Cina dan DAP juga adalah tidak tepat.
Kerajaan Perpaduan di bawah Anwar memfokuskan penyelesaian isu-isu asas ekonomi dan tatakelola dalam dua tahun pertama ini.
Sepertimana sering dijelaskan, saat mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Madani menetapkan satu hala tuju yang jelas bahawa ketelanjuran lalu tidak harus dipertahankan dan diulangi, maka fokus utama Anwar adalah menyemarakkan prinsip tatakelola yang baik.
Kerajaan Madani, melalui beberapa belanjawan termasuk Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Oktober lalu, memberi lebih penekanan terhadap usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama, antaranya melalui penyasaran subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan, reformasi perkhidmatan awam, kenaikan gaji minima dan sebagainya.
Antara pencapaian ekonomi yang signifikan mutakhir ini adalah:
• Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga tahun 2024 melebihi jangkaan.
• Pada suku ketiga tahun ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus.
• Pada suku ketiga tahun 2024, ringgit menambah nilai sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia.
• Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar terendah sejak Januari 2020.
• Malaysia meraih pelaburan diluluskan RM329.5 bilion, tertinggi pernah direkodkan.
• Nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi RM2 trilion selain Indeks Bursa FBM KLCI kembali melepasi 1,600 mata.
Kritikan bahawa Anwar hanya ‘membeli masa’ dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga tidak benar.
Sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 berjaya diselesaikan, tujuh daripadanya diselesaikan di bawah pentadbiran Anwar berbanding tiga semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan satu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Komitmen ini membuktikan Anwar mengambil tindakan konkrit, bukan sekadar memberi janji kosong kepada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
PN TIDAK MEMILIKI DASAR ALTERNATIF JELAS
Kritikan bahawa PN mempunyai ideologi lebih jelas dan konsisten juga boleh dipertikaikan. PN sering gagal mengemukakan dasar alternatif yang komprehensif untuk menangani isu-isu utama negara, termasuk penyasaran subsidi bahan api.
Malah PN juga tidak mampu menghasilkan Kabinet Bayangan dan Belanjawan Alternatif bagi menyaingi Kabinet dan Belanjawan Kerajaan Perpaduan.
Anwar, sebaliknya, memperkenalkan dasar-dasar strategik yang menyeluruh. Pertumbuhan serta pemerataan ekonomi diatur melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS), Pelan Tindakan KL20 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera.
Kebijakan fiskal dipandu melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta dan Penyasaran Subsidi.
Manakala tatakelola dan integriti diangkat dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional, Pindaan Akta Audit 1957 dan Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi.
Garis panduan dalam Perjanjian Kerajaan Perpaduan juga memberikan hala tuju jelas kepada setiap parti komponen baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Gabungan ini berjaya mengekalkan kestabilan politik malah menambah sokongan kepadanya dalam tempoh dua tahun, dan ini satu pencapaian signifikan.
Dua tahun kepimpinan Anwar harus dilihat sebagai tempoh pembinaan asas kukuh bagi Malaysia yang lebih progresif dan inklusif.
Anwar telah membuktikan ketegasan, keberkesanan dan komitmen terhadap perubahan.
Dengan asas yang kukuh ini, Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang betul untuk mencapai matlamat gagasan Malaysia Madani.-UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










