KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh pada 11 November lalu mencerminkan keberanian dan ketegasan Malaysia dalam mempertahankan hak asasi rakyat Palestin.
Dalam kenyataan beliau, Anwar menegaskan Israel tidak lagi layak berada dalam komuniti negara-negara beradab dan kekejamannya menuntut tindakan tegas bagi melindungi bukan sahaja Timur Tengah, tetapi juga ketertiban global keseluruhannya.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk membina konsensus bagi mengenakan tindakan embargo, menggantung atau mengeluarkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana negara itu telah melampaui batas, kewarasan dan kemanusiaan.
Israel kini turut menyerang nadi utama bantuan komuniti antarabangsa kepada Palestin dengan menghalang operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada 28 Oktober, lalu sekali gus menyebabkan keruntuhan terhadap tindak balas kemanusiaan global.
Tegas Anwar, “Kita mesti menghentikan pembunuhan sia-sia ini dan mengambil langkah segera untuk menyediakan perlindungan yang lebih berkesan kepada UNRWA. Begitu juga, kita mesti memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan, yang terdiri daripada hampir 50 negara, termasuk Malaysia, yang telah diserang oleh tentera Israel.”
Pendirian ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keadilan dan keamanan sejagat, selain mencerminkan keberanian pemimpin di pentas antarabangsa. Pandangan ini juga bukan ekstrem. Ia malah selaras dengan duluan Perhimpunan Agung PBB yang mengeluarkan Afrika Selatan dari pertubuhan 50 tahun yang lalu ekoran kekejaman yang berlaku di sana.
Seperti ditegaskan Anwar, “Demi kepentingan bukan sahaja rakyat Palestin tetapi kemanusiaan secara keseluruhan, kita mesti menghukum dan mencegah pelanggaran berulang kali Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa.
“Ini kerana jejak kekejaman Israel telah merebak ke Lubnan, Yaman, Syria, Iraq dan Iran.” katanya.
Jika tiada tindakan diambil sekarang, ia akan menyalakan api yang boleh membakar seluruh rantau ini dan juga seluruh dunia.
KERJASAMA NEGARA ISLAM
Walaupun begitu, usaha untuk menggantung atau mengusir Israel dari PBB bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan sokongan kukuh daripada negara-negara anggota PBB. Atas sebab itu penting sekali usaha Malaysia memainkan peranan untuk menggerakkan negara-negara Islam, terutamanya anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC), supaya bersatu dalam menyokong tindakan ini.
Kerjasama dengan negara-negara yang prihatin terhadap hak asasi manusia amat penting untuk mendapatkan sokongan antarabangsa yang lebih luas.
Membangunkan konsensus untuk menggantung atau mengeluarkan Israel daripada PBB memberikan impak besar terhadap imej Malaysia di persada antarabangsa. Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara yang tegas dan berani dalam memperjuangkan keadilan, bukan hanya untuk rakyat Palestin, tetapi juga untuk seluruh dunia yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan.
Pendirian Malaysia ini juga akan memperkukuh kedudukan negara sebagai pejuang hak asasi manusia dan keamanan global. Dari sudut diplomatik, Malaysia dibimbangi akan menghadapi tekanan daripada negara-negara yang pro-Israel tetapi sehingga kini ini tidak berlaku.
Walaupun Anwar mengkritik negara Barat semasa sidang media bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac lalu, Malaysia tidak terkesan malah mendapat sokongan banyak pihak.
Ternyata keberanian Anwar dalam mengambil pendirian ini menaikkan nama Malaysia selain membuka ruang kerjasama dengan negara-negara yang berpegang teguh pada prinsip-prinsip kemanusiaan.
Langkah ini juga berpotensi mempererat hubungan Malaysia dengan negara-negara Islam dan negara-negara yang menyokong perjuangan Palestin, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam blok diplomatik yang kuat di peringkat antarabangsa.
Pendirian tegas Anwar yang menggesa penggantungan atau pengusiran Israel dari PBB menunjukkan keberanian seorang pemimpin yang tidak gentar mempertahankan kebenaran dan keadilan. Dalam dunia politik antarabangsa yang penuh dengan kepentingan, keberanian beliau untuk mengambil pendirian ini amat dihargai.
Kenyataan beliau bahawa “Israel telah melampaui batas… dalam pembantaian genosida terhadap rakyat Palestin” adalah suatu langkah yang menunjukkan integriti dan kesediaannya membawa suara Malaysia dan dunia Islam ke hadapan dalam isu Palestin.
Keberanian beliau ini wajar dipuji oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana ia menunjukkan kesediaan Malaysia untuk berdiri di atas prinsip yang benar, walaupun menghadapi pelbagai cabaran di pentas global.
Apatah lagi apabila kenyataan Anwar ini telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen dan mendapat sokongan penuh mereka pada 4 November lalu dengan berkata: “Kehadiran saya ke Sidang Kemuncak tergempar ini adalah untuk membawa mandat Dewan ini, iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) serta serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar.”
Dalam ucapan di Parlimen ini, Anwar berkata beliau mengambil langkah yang melampaui kesanggupan banyak negara dan ramai rakan yang mengingatkan beliau tentang risiko ini.
“Kalau saudara baca buku-buku terakhir tentang peranan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), berapa pemerintahan yang mereka gulingkan kerana pendirian yang tegas, dianggap bertentangan dengan sikap dan pendirian mereka ini.” ujar beliau.
Keberanian Anwar mengambil risiko ini wajar dipuji semua pihak. Sekiranya tindakan ini berjaya mendapat sokongan antarabangsa, ia akan membawa impak yang besar dalam mengubah landskap politik dunia dan memberikan keadilan yang lama tertangguh kepada rakyat Palestin.-UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










