Menyeimbangkan antara afirmatif, meritokrasi dalam pendidikan

Menyeimbangkan antara afirmatif, meritokrasi dalam pendidikan

TINDAKAN afirmatif dan meritokrasi perlu diseimbangkan mengikut kesesuaian keadaan agar prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam pendidikan tidak diabaikan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, seorang pelajar A-Level, Aqiel Azirul Narulhizam bertanya beberapa soalan kepada saya tentang tindakan afirmatif di Malaysia dari sudut kesannya terhadap ekonomi negara.

Aqiel Azirul merupakan sahabat karib kepada anak saya sejak berumur 13 tahun lagi. Kini, dia yang sudah berumur 19 tahun sedang menuntut di Kolej A-Level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM), merupakan antara yang terbaik dan sangat terkenal di Malaysia.

Sebagai antara pelajar terbaik di Malaysia dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, saya cukup teliti menjawab satu persatu soalan. Ini kerana dia kenali sebagai seorang pelajar yang sangat pintar dan cerdas pemikirannya. Lagipun, persoalan tentang tindakan afirmatif merupakan soalan-soalan yang selalunya hanya dibincangkan di peringkat lebih tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Cara pelajar-pelajar terbaik Malaysia berfikir perlu diasah dari awal lagi. Secara keseluruhannya, apa yang ditanyanya berkaitan dengan bantuan dan subsidi yang diberikan wajar dilaksanakan sebaik mungkin.

Saya ada menyatakan kepadanya di Malaysia terdapat banyak syarikat berkaitan politik. Jadi, mekanisme bantuan bukan setakat hanya tertumpu pada individu tetapi juga untuk syarikat berkaitan politik yang dinaungi oleh ahli-ahli politik sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Banyak kajian telah, sedang dan akan dijalankan tentang syarikat berkaitan politik di Malaysia dan di dunia. Kajian-kajian ini ada antaranya diterbitkan dalam jurnal-jurnal perakaunan dan kewangan terbaik di dunia.

Berbalik kepada persoalan yang ditanya Aqiel Azirul, adakah keistimewaan bagi syarikat-syarikat berkaitan politik ini memberi kesan terhadap ketidaksaksamaan yang berlaku dalam kehidupan rakyat Malaysia pada masa kini? Yang kaya dan ada kaitan dengan ahli politik akan mendapat keistimewaan tersendiri. Ini jelas kelihatan golongan elit juga dibantu sehingga melebarkan lagi jurang ekonomi antara kaya dan miskin.

Jadi, ada yang berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mengangkat kesaksamaan terutamanya jurang ekonomi antara etnik dan rakyat Malaysia ekoran hanya segelintir golongan yang dikategorikan sebagai elit sahaja yang mendapat habuan terbesar atas pelaksanaan dasar tersebut.

Jadi, wajarkah syarikat berkaitan politik bersaing bersama-sama secara sihat dengan syarikat bukan berkaitan politik? Tepuk dada tanya selera. Di samping bantuan diberikan kepada syarikat sebegini, bantuan pendidikan juga diberikan kepada golongan kaya. Namun, persoalannya adakah wajar mereka tidak dibantu hanya semata-mata kerana mereka kaya?

Golongan ini juga akan berhujah bahawa mereka merupakan rakyat Malaysia yang sangat bertanggungjawab kerana membayar cukai yang tinggi, jadi mereka juga layak untuk mendapat bantuan.

Jadi, timbul juga persoalan, adakah wajar pelajar-pelajar yang mendapat keputusan paling cemerlang dalam SPM dengan mendapat semua A+ bagi keseluruhan mata pelajaran tidak layak mendapat bantuan pendidikan semata-mata kerana mereka ini datang daripada golongan kaya? Berapa ramaikah golongan yang berpendapatan rendah dan miskin yang mendapat keputusan paling cemerlang dalam SPM berbanding golongan kaya? Ini semua perlu analisis mendalam termasuklah amalan di negara-negara maju.

MERIT
Lawan kepada tindakan afirmatif adalah tindakan berdasarkan meritokrasi. Ini bermaksud, tidak kiralah sama ada golongan miskin mahupun golongan kaya, mereka yang betul-betul cemerlang perlu dibantu. Tindakan meritokrasi ini mungkin sukar digunakan sepenuhnya kerana rakyat Malaysia masih ramai yang berada dalam kategori kurang mampu.

Misalnya, golongan miskin tidak mampu menghantar anak-anak mereka untuk menghadiri kelas tuisyen, walhal bagi golongan kaya, boleh memilih guru-guru terbaik untuk mengajar anak-anak mereka sehingga pandai. Kesannya, anak golongan kaya akan sentiasa berada di hadapan dalam akademik.

Maka, sistem pendidikan Malaysia di peringkat sekolah rendah dan menengah perlu beralih kepada kaedah yang membantu semua murid dan pelajar mengikut prestasi masing-masing dalam akademik.

Sukatan pelajaran yang diajar sewajarnya mengikut keupayaan individu yang dikenal pasti. Misalnya, seorang murid yang masih belum boleh membaca, perlu diajar membaca dan bukannya menggunakan sukatan pelajaran yang terlalu ke hadapan untuk semua murid. Era sekarang meskipun sudah ramai kanak-kanak yang mahir membaca dan mengira seawal umur 4 tahun, tetapi usah lupakan ramai juga murid yang tidak boleh membaca dan mengira ketika masuk darjah satu perlu disantuni dengan sebaik mungkin.

Dalam konteks ini, banyak perkara perlu dianalisis secara mendalam terutamanya melibatkan tindakan afirmatif dan meritokrasi yang ingin dipertahankan atau diperkenalkan dengan kaedah terbaharu.

Persoalan timbul, adakah tidak ramai golongan berpendapatan rendah yang berprestasi paling cemerlang dalam akademik diberikan tempat khas untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MARA) dan sekolah-sekolah terbaik di Malaysia?

Saya sendiri bersekolah di SBP, iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban pada awal 1990-an yang mana ketika itu hampir keseluruhan rakan sebaya saya dikategorikan sebagai pelajar-pelajar berpendapatan rendah dan rata-ratanya mendapat keputusan semua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Jadi, di sini gabungan antara tindakan afirmatif dan meritokrasi diamalkan ketika itu untuk pengambilan para pelajar ke SBP.

Justeru, tindakan afirmatif dan meritokrasi perlu diseimbangkan mengikut kesesuaian keadaan agar prinsip keadilan dan kesaksamaan dapat direalisasikan pada setiap masa buat semua peringkat masyarakat di Malaysia tidak kiralah sama ada golongan individu yang kaya mahupun yang berpendapatan rendah.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Sa naz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN