SARANAN pihak tertentu agar generasi muda tidak terlalu terikat kepada Perlembagaan Persekutuan, iaitu perundangan tertinggi negara, bukan sahaja patut dikecam habisan-habisan tetapi perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Ini kerana amat tidak nasional bagi golongan tua menghasut yang muda untuk membelakangkan undang-undang asas yang menentukan cara negara ini diperintah. Selain ini, ia subversif sekali, yakni akan memporak-perandakan prinsip yang sedia ada pada Perlembagaan Persekutuan itu.
Dalam pada ini, perlembagaan sesebuah negara adalah dokumen undang-undang khas untuk negara berkenaan. Ia menggariskan prinsip asas bagaimana negara tersebut diperintah. Walaupun perlembagaan bersifat berubah-ubah seperti yang didakwa pihak tertentu itu, kerana boleh dipinda-pinda tetapi ia masih terikat dengan kedaulatan undang-undang, iaitu pematuhan kepada perundangan sedia ada oleh semua pihak.
Dengan ini, rakyat mahupun institusi dalam sesebuah negara itu kesemuanya tertakluk kepada segala undang-undang yang telah digubal.
Sehubungan ini, tidak boleh sama sekali wujud saranan agar undang-undang tidak perlu dipatuhi sangat dalam sesetengah perkara. Hal begini didakwa pihak tertentu itu sebagai keperluan. Ini ekoran perkembangan dunia kini yang sangat pantas berubah, khususnya dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI).
Sebenarnya saranan ini sangat bercanggah dengan Rukun Negara selaku ideologi nasional kita. Dua prinsip di dalamnya, iaitu Keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang bukan sahaja memperlihat betapa pentingnya peranan undang-undang dalam memerintah agar adil bagi mewujudkan keadaan harmoni. Ia juga penting sekali untuk pencapaian ekonomi dan kemajuan sosial yang menjadi pemangkin kestabilan politik.
Dengan kesemua ini yang dijaminkan, selain dirangkumi perlembagaan yang merupakan perundangan agung kita, amat salah untuk menyarankan kepada pelajar bidang perundangan apabila lulus nanti supaya tidak terikat secara berlebihan dan ketat pula dengan perlembagaan.
Ini kerana mereka inilah yang sepatutnya melindungi kedua-dua Keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang itu, selain untuk diteladani masyarakat.
Sepatutnya perkara sebaliknya yang ditekankan, iaitu bukan sahaja keperluan, juga kewajipan mereka yang menekuni bidang perundangan agar selalu terikat dengan dua prinsip Rukun Negara itu.
Sehubungan ini, Perlembagaan Persekutuan adalah asas perundangan negara yang luhur sifatnya. Manakala perundangan yang penuh dengan kuasa adalah keunggulan pemerintahan yang memastikan tidak ada mana-mana pihak yang terlepas daripadanya apabila melakukan kesalahan.
Dengan ini, kedua-duanya sangat terikat dengan kehidupan kita. Oleh itu, mana mungkin ia boleh dikesampingkan seperti yang disarankan itu.
Sebenarnya apakah tujuan saranan sedemikian dibuat kepada khalayak, khususnya yang baharu mahu menceburi bidang perundangan. Ia dibuat dalam konteks kemunculan AI yang memerlukan undang-undang negara dikemaskini untuk mewujudkan visi baharu. Pun begitu, pihak tertentu itu tidak menjelaskan, apatah lagi menggariskan visi baharu yang mengkehendaki undang-undang kini diteliti semula.
PERUBAHAN
Untuk ini, beberapa pihak yang menentang cuba mengaitkannya dengan Perkara 153, iaitu kedudukan istimewa penduduk asal negara ini. Sekiranya benar, persoalannya ialah bagaimanakah AI sebagai teknologi yang berunsur kepintaran manusia pada mesin, khususnya komputer, boleh menyebabkan undang-undang sedia ada perlu diubah?
Dalam hal ini, AI sebagai simulasi kepintaran manusia pada komputer yang boleh melakukan kerja manusia, antaranya menganalisis data dan membuat rekomendasi, mahu dipercayai boleh menyebabkan perubahan itu. Ini kerana AI mahu dipercayai boleh menyarankan banyak perkara, termasuklah pemerintahan di negara ini. Antaranya kesamarataan, iaitu pembahagian secara sama banyak antara penduduk asal dengan yang bukan asal dan bukan lagi keadilan secara setimbal.
Apa-apa jua, saranan itu sebenarnya memperlihat sikap rakus yang terus-terusan tidak mahu menerima sesetengah prinsip asas Perlembagaan Persekutuan. Untuk ini, diikhtiarkan pelbagai cara untuk menghalalkan matlamat yang dihajati, termasuklah kemunculan AI yang mahu disalahgunakan, malah diperguna untuk kepentingan tertentu.
Di samping Perkara 153, mungkin Perkara 152 juga mahu diubah kerana kemunculan AI yang langsung tidak memperlihat kepentingan bahasa Melayu padanya dan juga lain-lain yang berkembang kini. Oleh itu, bahasa yang penting dalam AI hendaklah diangkat untuk berada pada kedudukan yang sewajarnya.
Untuk ini, ia harus mengatasi peranan sedia ada pada bahasa Melayu yang tidak fungsional lagi dalam AI dan lain-lain itu.
Sewajarnya saranan itu tidak boleh sesekali dibuat sesiapa jua, apatah lagi oleh golongan tua dan dalam kelompok pemimpin negara pula. Ini kerana ia terang-terangan adalah pengkhianatan kepada negara, iaitu jenayah yang boleh memudaratkan untuk akhirnya menghancurkan negara.
Ia yang wujud dalam pelbagai cara, termasuklah saranan itu yang didapati adalah anjuran terbuka untuk melemahkan sistem perundangan negara, bukan sahaja tidak boleh sesekali dimaafkan. Juga harus disiasat akan kesetiaan pihak tertentu itu yang tidak dapat disangkal lagi adalah penderhaka selain pembelot.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










