KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memohon penambahan peruntukan tambahan selepas menganggap RM4 hingga RM5 juta yang disalurkan kepada persatuan itu tidak mencukupi untuk pembangunan pemainnya.
Presidennya, Gerard Monteiro berkata, SRAM memerlukan tambahan peruntukan sekitar 20 ke 30 peratus untuk persediaan menghantar pemain beraksi dalam kejohanan di luar negara.
“Kita dalam persediaan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles dan peruntukan yang kita terima sekitar RM4 hingga RM5 juta tidak mencukupi sebenarnya. SRAM pada ketika ini berada dalam situasi bajet yang amat terhad,” katanya yang turut memberitahu para pemain juga sedang dipersiapkan untuk ke Sukan Asia 2026 di Jepun.
Sementara itu, mengenai program Fast Track Road To Gold (RTG), beliau memberitahu, pihaknya bercadang mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa RTG untuk membincangkan penambahan pemain dalam program tersebut.
“Kita bercadang untuk menambah dua lagi pemain iaitu Noor Ainaa Amani Ampandi dan Yee Xin Ying ke dalam program Fast Track RTG,” ujarnya tentang program itu yang setakat ini membariskan S. Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa dan Aira Azman. – UTUSAN










