Percaturan di Indo Pasifik perluas sempadan kuasa baharu India

Percaturan di Indo Pasifik perluas sempadan kuasa baharu India

LAWATAN Narendra Modi ke Brunei serta Singapura bukan sahaja memperluaskan sempadan baharu kuasa India tetapi memastikan pulangan terbaik kepada keselamatan dan kepentingan nasional negaranya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Brunei serta Singapura menandakan permulaan fasa kedua Akta Polisi Timur. Ia juga bagi memperkukuh tumpuan terhadap Indo-Pasifik dan Asia Tenggara sebagai asas kapasiti persahabatan dalam usaha memacu tonggak kepentingan selain mengekang China serta memperdalam keberadaaan New Delhi di rantau ini.

Lawatan yang bermula pada 3 hingga 5 September lalu menjadi petunjuk baharu dalam fokus terhadap Asia Tenggara dan ini dilakukan dalam tempoh 100 hari selepas memegang jawatan dalam penggal ketiganya.
Dalam fasa kedua Akta Polisi Timur, penting untuk Modi mempelbagaikan jaringan pulangan dalam sumber tenaga, ekonomi dan juga perluasan pengaruh diplomasi mahupun keselamatan. Ini akan memperkukuh jangkauan dan pulangan dua hala dalam teknologi dan tenaga serta keuntungan geopolitik untuk New Delhi.

LAWATAN KE BRUNEI
Di Brunei, Modi berusaha meningkatkan perdagangan dan perjanjian tenaga serta memajukan hubungan sejarah antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Lawatan Modi ke Brunei adalah lawatan dua hala pertama oleh seorang Perdana Menteri India sejak negara itu merdeka pada 1984. Brunei pertama kali menjalin hubungan diplomatik dengan India pada Mei 1984.

Lawatan itu melambangkan era baharu dalam hubungan sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala, ketika kedua-dua negara berusaha saling bergantung untuk pulangan geopolitik.

Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan kemampuan pelaburan yang dijangka akan menyokong usaha Brunei dalam diversifikasi ekonominya.

Modi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pelbagai isu, termasuk pertahanan, kesalinghubungan, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, angkasa lepas, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), kesihatan, farmaseutikal, pendidikan, pembangunan kapasiti, budaya, pelancongan, belia serta pertukaran antara rakyat, selain isu serantau juga antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Brunei kaya dengan bahan api fosil. India kini kekurangan tenaga. Brunei menawarkan domain baharu sokongan tenaga untuk India melalui bekalan gas asli cecair (LNG).

Kedua-dua negara juga berusaha meningkatkan pelancongan, kesalinghubungan perniagaan dan memperluaskan hubungan. Selain itu, memperkembang kerjasama dalam pertahanan dan maritim, termasuk pertukaran lawatan yang kerap, program latihan, latihan bersama, lawatan kapal tentera laut serta pengawal pantai.

Kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen terhadap Indo-Pasifik yang terbuka, bebas dan inklusif. Mereka juga menegaskan komitmen mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan darat dan maritim. Dalam masa sama, kebebasan navigasi, penerbangan serta perdagangan yang tidak dihalang dalam laluan antarabangsa, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Brunei sedang menghadapi perubahan baharu dalam kapasiti peralihan geopolitik serta ekonominya dengan berusaha mempelbagaikan kebergantungan selain meningkatkan usaha persahabatan baharu, terutamanya dalam bidang ekonomi dan pertahanan.

Brunei melihat India sebagai kuasa ketiga yang diperlukan untuk membantu menstabilkan keseimbangan kuasa serantau selain berfungsi sebagai penyeimbang kuasa.

Walaupun Brunei berhasrat mempercepatkan peralihan ekonomi dan tenaga daripada industri bahan api fosil, fasa ini bergantung jangka panjang yang mencukupi serta sekutu kuasa baharu yang mampu dan berupaya.

India pula melihat Brunei sebagai pelaku yang semakin meningkat dalam percaturan keseimbangan kuasa mahupun pulangan Akta Polisi Timur selain kelebihan geografi serta pulangan perdagangan jangka panjangnya akan membolehkan India memperluaskan kapasiti persahabatan menjangkaui Malaysia dan Indonesia.

LAWATAN KE SINGAPURA
Lawatan Modi ke Singapura pula membawa era baharu dalam hubungan dua hala apabila kedua-dua negara bersetuju untuk menaik taraf hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif. Hubungan yang dipertingkatkan ini bertujuan untuk memperdalam kerjasama dalam bidang utama seperti pertahanan, teknologi dan pembangunan ekonomi.

Lawatan ini memberi Modi platform baharu untuk memperdalam hubungan peribadi dengan Perdana Menteri, Lawrence Wong. Ini bagi memastikan era baharu dalam hubungan akan diisi dengan perkiraan pulangan dalam pelbagai rupa dan strategik jangka panjang.

Singapura menjadi pelengkap kehadiran baharu India yang merangkumi rantaian Pulau Nicobar hingga ke Selat Melaka. Kapasiti kukuh dalam hubungan antara rakyat, hubungan komersial dan ekonomi yang mendalam membolehkan kedua-dua negara mempertaruhkan strategi dalam menghadapi ancaman serta cabaran bersama. Kedua-duanya juga berusaha untuk lebih bergantung pada kuasa penyeimbang Barat yang lebih kukuh di rantau ini, namun tetap pragmatik dalam percaturan kuasanya.

Singapura memberikan pulangan saling menguntungkan bagi New Delhi, terutama dalam bidang pembangunan teknologi, perdagangan dan kemajuan ekonomi.

Ketika India secara signifikan memperluaskan pengeluaran semikonduktor, cip dan peralihan teknologi tinggi, Singapura dilihat sebagai faktor pelengkap yang akan menjadi asas sinergi pasaran penghubung transformasi ekonomi digital serta teknologi tinggi India yang semakin meningkat.

Seperti dalam kes Brunei, hubungan dua hala dengan Singapura dinaik taraf ke tahap perkongsian strategik komprehensif.

Kedua-duanya mengenal pasti enam tonggak utama iaitu kelestarian, pendigitalan, pembangunan kemahiran, penjagaan kesihatan, sektor pembuatan baharu dan kesalinghubungan untuk kerjasama dua hala.

Kerjasama yang dipertingkatkan dalam pertahanan dan keselamatan, kesedaran domain maritim, pendidikan, kecerdasan buatan (AI), fintech, teknologi baharu, sains dan teknologi serta perkongsian pengetahuan juga akan dilaksanakan.

Tumpuan utama pada kerjasama teknologi tinggi tercermin dalam memorandum persefahaman (MoU) dalam teknologi digital seperti infrastruktur awam digital, keselamatan siber, 5G, dan teknologi baharu muncul seperti pengkomputeran super, pengkomputeran kuantum dan AI.

Singapura menyumbang 10 peratus daripada output semikonduktor global, kapasiti fabrikasi global (5 peratus) dan pengeluaran peralatan semikonduktor (20 peratus). Kerjasama dalam sektor cip ini akan menyaksikan penglibatan yang lebih besar daripada syarikat Singapura di India, kerana mereka berusaha memanfaatkan kepimpinan dan niat India yang semakin meningkat dalam bidang ini.

Modi menandakan kemajuan dalam dimensi langkah geopolitiknya sejak beberapa bulan kebelakangan ini sejak bermulanya penggal baharunya, dengan lawatan ke rantau ini dan Ukraine.

Semua ini menandakan perluasan sempadan baharu kuasa India yang semakin meningkat serta menghantar mesej jelas kepada sekutu, bakal sekutu dan ancaman masa depan bahawa New Delhi mempunyai sandaran, tawaran, fleksibiliti strategik mahupun pragmatik dalam percaturan tidak berpaksi strategiknya.

Ini untuk memastikan pulangan terbaik kepada keselamatan dan kepentingan nasionalnya, berdasarkan puluhan tahun diplomasi dan dasar luar yang berjaya berdasarkan pragmatisme serta perubahan haluan mengikut skop semasa.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN