PROGRAM #TagupiMembaca pada tahun ini yang berlangsung dari 9 sehingga 13 September lalu merupakan siri kelima dengan siri pertama bermula pada 2018.
Saya masih ingat, ketika pertama kali peserta program masuk ke perkampungan Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah pada tanggal 10 Oktober 2018, kami disambut dengan meriah dan begitu mesra.
Anak-anak, ibu bapa dan guru-guru dari Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Tagupi Laut masing-masing beratur dengan penuh semangat dan keterujaan untuk bersalaman dengan kami, ‘orang asing’ dari Semenanjung.
Saya juga masih ingat kelibat Cikgu Husin di kala program kali pertama ini. Cikgu Husin ialah salah seorang pendidik dalam kalangan komuniti warga Kampung Tagupi Darat berusia lewat 50-an dan mahir mengajar subjek bahasa Inggeris. Sepanjang program ketika itu, dia sentiasa bertutur dalam bahasa Inggeris dengan kami bagi melatih kemahiran bahasa itu yang jarang diguna pakai komuniti sekitarnya.
Usai program, kami diberitahu yang Cikgu Husin berjalan kaki selama lebih kurang dua jam setiap hari untuk datang ke sekolah alternatif PPMI Kampung Tagupi Laut bagi menyempurnakan tugasan mengajar dengan hanya berbekalkan sepasang kasut lusuh.
Balik sahaja ke Semenanjung tahun itu, kami belikan Cikgu Husin sepasang kasut baharu bagi membakar semangatnya untuk terus bertugas demi kemandirian anak Bangsa.
Enam tahun kemudian, pada hari pertama program, Cikgu Husin hadir ke #TagupiMembaca siri kelima. Bukan lagi sebagai peserta tetapi saya percaya khusus untuk bertemu kami. Dedikasi dan komitmennya membawa sehingga persaraan atas masalah kesihatan.
Dia menunjukkan kasut yang diberikan kami yang masih baik. Saya rasakan kasut itu masih baik kerana dirinya telah bersara sebagai pendidik selain tidak lagi perlu berjalan kaki selama dua jam setiap hari persekolahan.
Bagi saya secara peribadi, ini sebahagian daripada elemen ‘romantisme’ kerja kebajikan, khususnya bagi #TagupiMembaca. Pun begitu, di sebalik ‘romantisme’ ini, realiti kehidupan warga kampung serta kesinambungan PPMI Kampung Tagupi Laut dan keseluruhan PPMI sentiasa bermain di minda.
Sebagai sebuah pusat komuniti, sekolah-sekolah alternatif di bawah gagasan PPMI dibina oleh komuniti, serta dioperasikan oleh ahli komuniti dengan bimbingan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).
Menurut laman web PPMI, fokus utama PPMI adalah anak-anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pendidikan aliran arus perdana negara.
Hakikatnya, anak-anak yang belajar dan berpayung sosial di bawah sekolah-sekolah alternatif PPMI Kampung Tagupi Laut, PPMI Kampung Simuning, PPMI Kampung Perpaduan, dan PPMI Kampung Takun, yang menjadi sebahagian peserta program siri kelima ini, kesemuanya dibimbing oleh pendidik sukarela dalam kalangan komuniti mereka sendiri.
Pendidik-pendidik ini mengajar di kelas yang daif, tanpa alat bantuan mengajar mencukupi, tanpa sebarang capaian internet serta tanpa panduan lengkap dan khusus untuk membantu proses pengajaran. Bahkan, kebanyakan mereka tidak mempunyai kelulusan pendidikan formal kerana seringkali terkecuali daripada pendidikan arus perdana.
Elaun pendidik ini pula hanyalah sejumlah wang poket kecil sekitar RM300 sebulan buat sara diri dan ramai dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga.
Dibandingkan dengan elaun kecil ini, jasa mereka mengalir deras buat manfaat anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah alternatif yang mereka bantu.
Di Kampung Tagupi Laut, ada lebih 160 orang murid dari pelbagai peringkat umur dengan kemudahan yang sangat terhad. Di Kampung Perpaduan, ada lebih kurang 50 orang murid yang belajar dalam keadaan serba sederhana untuk memandaikan diri membaca, mengira dan menulis.
Di Kampung Simuning, hampir 100 orang murid menerima manfaat kewujudan sekolah alternatif yang mengajar mereka kemahiran bersosial. Manakala di Kampung Takun, ada 40 orang murid yang diajar tentang disiplin dan adab.
Sebelum tertubuhnya PPMI, anak-anak ini dibiarkan berkeliaran tanpa sebarang pembelaan pendidikan. Pendidik sukarela ini muncul sebagai benteng anak-anak ini daripada cabaran dan desakan dunia.
Sesungguhnya, saya secara peribadi percaya semangat dan keterujaan hanya mampu bertahan sekian lama sekiranya pendidik ini dibela dari segi wang pakai, keperluan peribadi, bantuan mental serta fizikal dan seterusnya pedagogi berterusan.
DERMA
Saya amat khuatir, jika tidak dibantu, lambat-laun keperluan hidup akan mendesak dan menghimpit pendidik-pendidik ini ke tembok tinggi. Apabila masa itu sampai, siapa lagi yang akan membela nasib anak-anak ini, kerana saya sendiri hanyalah ‘orang asing’ dari Semenanjung.
Jika terlalu sukar untuk kita berkelana beratus batu dari Semenanjung ke pedalaman Sabah, saya amat berharap kita dapat ringankan tangan dan hati untuk menderma kepada sekolah-sekolah alternatif yang ditubuhkan bagi membela nasib mereka.
Nasib anak-anak yang tidak berdosa ini bergantung harap kepada ihsan orang awam yang celik mata dan sedar diri tentang tanggungjawab kepada anak bangsa.
Benar, mereka tiada pertalian darah dan wajah-wajah mereka kekal asing di mata kita. Namun, mereka perlukan santunan rakyat Malaysia untuk memperakui hak mereka.-UTUSAN
PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, program amal yang menyalurkan bahan pembelajaran untuk komuniti tidak bernegara (stateless) di Sabah.










