Mesranya umat Islam di Poland

Mesranya umat Islam di Poland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA hari ketiga persidangan Wikimania 2024 di Katowice, Poland baru-baru ini, saya bersama-sama dua lagi wakil dari Malaysia, Taufik Rosman dan Wafiq Aqil, bergegas menjamah hidangan tengah hari yang disajikan di dewan utama sebaik sahaja selesai mengikuti program sesi pagi. 

Hari tersebut, hari Jumaat dan walaupun sedang bermusafir, kami bertekad mahu mengerjakan solat Jumaat bersama-sama penduduk tempatan bagi merasai pengalaman berjumaat di sana.

Di Malaysia, kita mungkin sudah terbiasa dengan ketersediaan serba kemudahan bagi menjalani kehidupan harian sebagai umat Islam. Surau dan masjid ada di mana-mana sahaja. Begitu juga makanan halal. Sehinggakan ada yang bersikap terlalu mengambil mudah dan membeli makanan sesuka hati tanpa terfikir untuk memastikan terlebih dahulu status halalnya.

Keadaan ini amat berbeza di Poland yang mana masyarakat Islamnya berjumlah hanya sekitar 0.01 peratus sahaja. Maka, tidak semua tempat mempunyai masjid. Oleh itu, di sesetengah tempat mungkin agak sukar untuk mencari jemaah dan kemudahan lengkap bagi mengamalkan kehidupan sebagai umat Islam, termasuk mencari tempat bagi menunaikan solat Jumaat.

Walaupun mengikut perkiraannya sudah agak terlambat, namun kami tetap bertekad untuk cuba mengejar waktu dengan harapan sempat mendengar khutbah Jumaat. Maka, sebaik usai makan tengah hari, kami bertiga terus bergegas keluar menuju Centrum Kultury Islamu w Katowicach atau Pusat Kebudayaan Islam Katowice. Jauhnya dikatakan kira-kira 20 minit berjalan kaki dari pusat persidangan kami.

Berdasarkan carian, hanya terdapat sebuah pusat Islam di Katowice. Ia juga berfungsi sebagai satu-satunya masjid dan juga menjadi pusat pengajian agama bagi warga Islam di sana. Kami mendapati, sungguhpun terdapat beberapa maklumat dalam talian mengenainya, namun tiada banyak maklumat terperinci yang tersedia. Yang ada pun, kebanyakannya dalam bahasa Poland dan tidak dapat kami fahami.

Itulah juga perkara yang mendorong kami bertiga untuk ke sana. Selain berniat untuk mendapat pahala, kami ingin merasai pengalaman solat Jumaat di sana. Kami juga ingin merakam maklumat mengenai pusat Islam tersebut untuk disediakan dalam bahasa yang lebih umum seperti bahasa Inggeris. Selain itu, kami juga mengambil gambar laluan masuk untuk dimuat naik ke Internet, dengan harapan dapat memudahkan para musafir yang bakal melawat Katowice kelak.

Memang tidak mudah mencari sesebuah tempat di negara yang baru pertama kali kita kunjung tanpa maklumat yang lengkap, terutamanya apabila bahasanya begitu asing. Mujurlah suhu hari itu cuma sekitar 20 darjah celsius sahaja. Bagi kita orang Malaysia, suasana begini amat nyaman biarpun berjalan di bawah sinaran terik matahari musim panas. Jika suhunya tinggi, bermandi peluhlah kami dibuatnya.

Setelah jauh berjalan berpandukan peta digital, akhirnya kami tiba ke satu deretan bangunan. Di situlah terletak masjid yang kami cari. Malangnya, bangunan itu bukanlah masjid, sebaliknya sebuah hospital.

Walaupun merasa agak hairan, tetapi kami tidak patah semangat. Kami terus cuba mencari di kawasan sekeliling. Manalah tahu, mungkin masjid itu terletak dalam sebuah bangunan kecil yang terselindung di sebalik hospital tersebut.

Akhirnya salah seorang daripada kami ternampak sebuah bangunan yang letaknya di seberang tembok. Kami turut melihat beberapa lelaki berjubah dan berkopiah sedang memasuki kawasan tersebut. Lantas, tanpa berlengah, kami terus mencari jalan ke sana sehingga akhirnya berjaya tiba di pekarangan masjid itu.

Kami segera memasuki masjid dan mengambil wuduk. Alhamdulillah, sempat juga kami mendengar khutbah walaupun sudah di penghujungnya sebelum bilal melaungkan iqamat dan bermulanya solat Jumaat. Usai solat, kami sempat berbual sebentar bersama ahli jemaah yang menyambut kami dengan gembira dan mesra sekali. Kebanyakan mereka ialah perantau dari negara luar seperti India, Mesir dan Pakistan.

Seperti pusat-pusat Islam di negara minoriti Islam lainnya, selain berfungsi sebagai masjid dan pusat kegiatan jemaah, pusat ini turut menyediakan perkhidmatan keagamaan yang diperlukan jemaahnya. Ini termasuklah menyediakan perkhidmatan pernikahan serta pengebumian secara Islam. Ia juga berfungsi sebagai pusat dakwah agar dapat menjadi sumber pemerolehan ilmu agama untuk warga sekeliling.

 

PENULIS (kiri) bergambar bersama sebahagian jemaah selepas solat Jumaat di Centrum Kultury Islamu w Katowicach, Poland pada 9 Ogos lalu.

 

BERBEZA TETAPI MESRA

Suasana selepas solat Jumaat di perkarangan pusat Islam itu meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk jualan. Ada yang menjual daging dan ada juga trak menjual makanan halal untuk dinikmati oleh para jemaah. Kami merasa seronok melihat hubungan para jemaah yang begitu rapat dan mesra, seolah-olah mereka hidup dalam masyarakat mereka sendiri, walaupun sebenarnya datang dari tempat berlainan dan hidup juga di kejiranan berbeza-beza.

Salah seorang jemaah, Ziyaul Islam yang berasal dari Bangladesh turut menjemput kami ke sebuah restoran halal masakan Bangladesh, sekiranya merindui masakan Asia. Walaupun sangat teringin dan terliur untuk menjamu hidangan tersebut, malangnya kami kesuntukan masa dan terpaksa bergegas kembali ke persidangan bagi sesi petang.

Suasana yang dirasakan ketika hadir di pusat Islam di sana begitu tenang dan mesra. Silaturahim yang begitu rapat serta semangat yang kuat dalam kalangan orang Islam di sana membuat saya terlupa seketika bahawa  berada di sebuah negara bukan Islam. Sikap hormat-menghormati dan tolong menolong ini begitu kuat dalam kalangan masyarakat Islam di sana. Dan hal ini wajar diterapkan dalam kalangan kariah masjid di Malaysia juga.

Ingatlah untuk sentiasa saling bantu-membantu bagi memudahkan urusan yang lain tanpa mengira fahaman, pendapat dan latar belakang. Bukan sahaja pahala yang menanti, tetapi mungkin yang dibantu itu kelak akan membantu tatkala kita perlukannya.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×