Membawa sejarah setempat ke layar perak

Membawa sejarah setempat ke layar perak

FESTIVAL Filem Raintown menyajikan dokumentari pelbagai budaya dan mampu menarik minat penonton pelbagai kaum berkaitan Taiping yang tidak diketahui ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR Taiping, Perak menerima pengiktirafan satu-satunya Bandar Mesra Usia di rantau Asia Tenggara daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada September 2019.

‘Bandar orang pencen’ ini yang juga tempat asal saya menjadi agak cergas dan bertenaga dengan kehadiran ramai anak muda pada 13 hingga 15 September lalu sempena Festival Filem Raintown yang julung kali dianjurkan.

Saya tidak melepaskan peluang mengikuti festival ini yang menampilkan tayangan beberapa filem, dokumentari dan sesi diskusi di sebuah pawagam di pusat bandar.

Malah, walaupun filem Rain Town (2023) arahan Tunku Mona Riza sudah ada di platform penstriman, saya memilih untuk menonton di Taiping bersama-sama hampir 150 orang yang memenuhi pawagam.

Beberapa trivia menarik dikongsi pengarah selepas tayangan. Misalnya, dia mendapat tahu tentang budaya pertaruhan hujan (rain betting) yang amat unik dengan penduduk kaum Cina di bandar ini.

“Maka, saya memutuskan untuk buat filem Cina tentang sebuah keluarga Cina kerana budaya pertaruhan hujan tidak ada dalam budaya Melayu,” katanya.

Selain itu, walaupun majoriti orang Cina di Taiping bercakap dialek Hokkien dan Mandarin, kesukaran mencari pelakon membuatkan filem ini menggunakan dialek Kantonis.

Kita sedia maklum Taiping ialah kawasan yang paling banyak menerima hujan di Malaysia. Maka, tidak hairanlah kebanyakan filem dan dokumentasi yang dibikin di bandar ini dan ditayangkan pada festival ini menampilkan unsur hujan.

Filem dokumentari Ah Kew The Digger (2004) sangat menginspirasikan. Kisahnya tentang Lee Eng Kew yang menghabiskan masa lebih 10 tahun mencari kubur-kubur lama.

Dia mahu mendokumentasi kisah beberapa tokoh dan peristiwa silam dalam komuniti Cina yang tidak ada dalam catatan sejarah negara.

Dokumentari arahan Khoo Eng Yow mengingatkan saya kepada beberapa rencana di ruangan Bicara Budaya yang turut cuba mendokumentasi tokoh, monumen, kisah dan pengalaman yang mungkin hilang jika tidak direkod.

Misalnya, kisah Masjid Nurul Islam di Aulong Baru menerusi rencana Ambil tahu serba sedikit sejarah kampung kita (23 September 2023). Ramai penduduk setempat tidak tahu sejarahnya.

Lalu, saya memikirkan kemungkinan kisah itu boleh dijadikan sebuah dokumentari pendek yang boleh pula ditayangkan pada festival filem sama, tahun depan.

Harus dinyatakan bahawa majoriti filem dan dokumentari yang ditayangkan menyentuh budaya, sejarah dan kisah komuniti Cina. Setiap tayangan disaksikan sekitar 150 orang tetapi penonton bukan Cina tidak sampai 10 orang.

Dokumentari The Forgotten Railway of Kinta Valley (2024) oleh Ansell Tan dan Gabrielle Lee begitu mempesona kerana bercerita tentang landasan kereta api laluan Ipoh-Tronoh yang dibina pada 1908.

Landasan kereta api itu menerima nasib malang semasa penjajahan Jepun. Malah, menurut pengarah pada sesi soal jawab, saki-baki landasan pula ditanggalkan pada 1980-an.

Kisah itu mengingatkan saya kepada landasan kereta api pertama di Malaysia iaitu laluan Taiping-Port Weld (Kuala Sepetang) yang beroperasi pada 1885.

Lama selepas laluan itu tidak lagi digunakan, landasan kereta api masih ada di sempadan antara Aulong Baru dan Aulong Lama iaitu kampung saya.

Pada 1985, menjelang sambutan 100 tahun, landasan besi ditanggalkan dan entah di mana sekarang. Hanya pengalaman berjalan, berbasikal dan bermotosikal melintas landasan itu serta menyusur sepanjang landasan menuju sebuah kuil di Simpang Halt menjadi kenangan.

Pengarah Festival Filem Raintown , Jacky Yeap lahir di Aulong Baru pada 1992 iaitu 20 tahun selepas saya. Dia mengaku langsung tidak tahu landasan kereta api Taiping-Port Weld merentas sempadan kampung kami.

Situasi ini menyedarkan saya bahawa memang ada banyak kisah menarik berkaitan Aulong Lama dan Aulong Baru yang wajar didokumentasi sama ada secara bertulis atau visual sebelum semuanya hilang daripada ingatan dan lipatan sejarah.

Satu lagi dokumentari yang menarik perhatian saya ialah The Time Machine of Taiping Laundry (2022). Kita mungkin biasa dengan Dhobi Ghat yang beroperasi sejak awal 1800-an di George Town, Pulau Pinang.

Begitu juga dobi tradisional orang India di Silibin, Perak yang kini diusahakan generasi keempat dan mungkin terakhir.

Dokumentari arahan Yang Chong Lee dan Fun Shing Wei mengangkat kisah Dobi Line berdekatan Taman Tasik Taiping yang dimulakan semasa penjajahan British.

Hanya selepas menonton dokumentari ini, saya tahu ia masih beroperasi di tempat sama walaupun dalam skala amat kecil. Tambahan pula, tempat kain disidai adalah milik kerajaan dan boleh diambil alih pada bila-bila masa.

Sesungguhnya, Festival Filem Raintown  yang dianjurkan sekumpulan anak muda bukan sekadar untuk menikmati filem dan dokumentari yang merakam suasana bandar Taiping dan sekitarnya secara visual.

Bagi saya, festival ini menjadi retrospektif untuk menyedari, mengakui dan berasa bimbang kerana keunikan, sejarah, budaya dan tradisi sebenar penduduk Taiping mungkin tidak diketahui generasi akan datang jika tidak didokumentasi.

Memanglah ada muzium dan pelbagai tempat yang diiktiraf sebagai tapak warisan di Taiping. Malah, ada lebih daripada 30 monumen yang diiktiraf pertama di Malaysia. Misalnya taman tasik, landasan kereta api, zoo, muzium, kelab golf, padang esplanade dan pejabat pos pertama negara kita terletak di bandar ini.

Namun, budaya mendokumentasi segala keunikan dan kehebatan sejarah serta warisan setempat perlu dipelbagaikan mengikut peredaran zaman. Misalnya, menerusi video pendek di TikTok, Instagram dan YouTube.

Semoga festival kedua pada tahun depan menyajikan dokumentari pelbagai budaya dan mampu menarik minat penonton pelbagai kaum.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN