Komuniti ejen celik kewangan, kesejahteraan sosial

Komuniti ejen celik kewangan, kesejahteraan sosial

LEBIH  22,000 mangsa ah long direkodkan di seluruh negara dengan jumlah pinjaman keseluruhan mencecah RM40 juta sejak tahun 2023.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CELIK  kewangan merupakan keupayaan individu untuk memahami sekali gus mengaplikasi konsep kewangan dalam kehidupan seharian. Ini merangkumi kemahiran dalam pengurusan kewangan, pelaburan, pengetahuan mengenai produk kewangan dan kebolehan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. 

Kesejahteraan sosial pula melibatkan tahap kebahagiaan dan kepuasan hidup yang diperoleh daripada faktor-faktor sosial, ekonomi dan persekitaran. 

Hubungan antara celik kewangan dan kesejahteraan sosial amat penting kerana pengurusan kewangan yang baik boleh membantu individu mencapai kestabilan dan kepuasan dalam kehidupan. Dalam konteks ini, komuniti memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada peningkatan celik kewangan dan kesejahteraan sosial. 

Walau bagaimanapun, komuniti menghadapi cabaran seperti kekurangan akses pendidikan kewangan, peluang pekerjaan terhad, beban hutang tinggi, keterbatasan terhadap sumber kewangan serta kurangnya sokongan institusi dan infrastruktur kewangan. Dalam hal ini, pendidikan kewangan adalah salah satu pendekatan yang paling efektif untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan komuniti. 

Komuniti boleh memperoleh peluang pendidikan yang inklusif melalui program-program latihan, bengkel dan ceramah yang direka untuk mempertingkatkan pengetahuan kewangan ahli-ahlinya. Misalnya, pengurusan kewangan asas seperti cara menguruskan bajet peribadi, memahami penggunaan kad kredit secara bijak dan kepentingan insurans boleh disampaikan melalui program komuniti. 

Kepentingan pendidikan kewangan dalam komuniti juga boleh dilihat melalui pendekatan yang lebih terstruktur dan sistematik, seperti menubuhkan pusat sumber kewangan komuniti. Pusat ini boleh menyediakan bahan-bahan pendidikan, termasuk risalah, buku panduan dan perisian simulasi kewangan yang membolehkan individu mempraktikkan kemahiran kewangan. 

Selain itu, komuniti juga boleh melibatkan pihak berwibawa seperti perancang kewangan dan pegawai bank untuk memberi bimbingan dan nasihat  kepada ahli komuniti secara langsung. 

Dalam konteks ini, secara alami komuniti bukan sahaja boleh menjadi saluran untuk menyampaikan pendidikan, tetapi juga boleh bertindak sebagai model pengurusan kewangan yang baik. Melalui aktiviti-aktiviti seperti pengurusan koperasi komuniti atau dana tabungan bersama, komuniti boleh menunjukkan amalan pengurusan kewangan yang berkesan. Contohnya, koperasi komuniti yang diuruskan dengan baik dapat menjadi sumber pinjaman mikro untuk ahli komuniti yang memerlukan modal perniagaan, sekali gus menggalakkan keusahawanan tempatan. 

Selain itu, dana tabungan komuniti boleh menjadi alat penting dalam memperkukuh sokongan sosial dalam kalangan ahli komuniti. Sebagai contoh, dana ini boleh digunakan untuk membantu ahli komuniti yang menghadapi kecemasan kewangan, seperti kehilangan pekerjaan atau masalah kesihatan. Dengan cara ini, komuniti dapat mengurangkan kesan buruk daripada kejutan ekonomi kepada kesejahteraan sosial ahli-ahlinya. 

Dalam mendepani situasi ini, keusahawanan adalah satu lagi aspek penting yang boleh diperkenalkan dan dipupuk dalam komuniti bagi meningkatkan celik kewangan dan kesejahteraan sosial. Dengan memberi sokongan kepada usahawan tempatan melalui latihan, modal dan jaringan sosial, komuniti boleh menjadi platform yang kuat untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana. 

Program keusahawanan yang disokong oleh komuniti juga boleh memberi fokus kepada golongan tertentu seperti belia, wanita dan warga emas, bagi memastikan keterangkuman dalam pembangunan ekonomi setempat. Komuniti boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan sokongan yang diperlukan usahawan tempatan.

Di samping itu, komuniti juga boleh menjadi rakan kongsi dalam usaha membangunkan produk tempatan yang unik, yang boleh dipasarkan bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di luar kawasan komuniti. Ini akan meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan ahli komuniti. 

Satu lagi cara adalah melalui pembangunan jaringan sokongan sosial dan kewangan. Komuniti yang mempunyai ikatan sosial yang kukuh boleh menyediakan sokongan moral dan material kepada ahli-ahli yang menghadapi cabaran kewangan. Selain itu, komuniti juga boleh mewujudkan program mentorship.  Program ini boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu mentor dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan, manakala mentee dapat belajar dan membina keyakinan dalam mengurus kewangan. 

Dengan adanya jaringan sokongan yang kukuh, individu yang menghadapi kesulitan kewangan tidak akan merasa terasing dan boleh mendapatkan bantuan dengan lebih mudah. 

Sementera kerajaan boleh memperkenalkan insentif cukai untuk syarikat-syarikat yang melibatkan diri dalam program pendidikan kewangan di peringkat komuniti. Sektor swasta pula boleh menyumbang dengan menyediakan sumber kewangan, kepakaran dan teknologi untuk membantu komuniti dalam pelaksanaan program-program celik kewangan.

Sebagai contoh, bank boleh menawarkan produk kewangan yang disesuaikan dengan keperluan komuniti, seperti akaun simpanan dengan syarat minimum yang mudah atau pinjaman mikro untuk perniagaan kecil. Melalui kerjasama ini, komuniti dapat memperkasakan usaha dalam meningkatkan celik kewangan dan kesejahteraan sosial. 

 

CABARAN

Walaupun komuniti mempunyai potensi besar dalam meningkatkan celik kewangan dan kesejahteraan sosial, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Antaranya, kekurangan sumber, kepakaran dan sokongan yang mencukupi. Oleh itu, penting bagi komuniti untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak dan mencari sumber-sumber alternatif untuk melaksanakan inisiatif kewangan dan sosial yang berkesan. 

Selain itu, komuniti juga perlu memastikan bahawa program-program yang dilaksanakan adalah inklusif dan dapat diakses oleh semua ahli komuniti, terutamanya golongan yang paling memerlukan. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan program di pelbagai lokasi dan masa yang sesuai. Gunakan pendekatan yang pelbagai untuk menyampaikan maklumat, seperti ceramah, bengkel, dan media sosial.

Ironinya, peranan komuniti dalam meningkatkan celik kewangan dan kesejahteraan sosial  amat penting. Oleh itu, usaha untuk memperkukuh peranan komuniti dalam aspek ini perlu diperkasakan. Dengan komitmen yang padu, komuniti dapat menjadi ejen perubahan yang signifikan dalam usaha mencapai kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh dan inklusif.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

DR. Mohd. Rizal Abu Bakar ialah Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN