Tunaikan janji tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

Tunaikan janji tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

KKM amat menghargai segala komitmen dan profesionalisme tinggi petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak menggesa kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara dalam tempoh lima tahun pentadbirannya.

Ia selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam buku Tawaran Harapan PRU15 yang menawarkan reformasi dalam bidang kesihatan awam demi kesejahte­raan rakyat negara ini.

Penubuhan suruhanjaya itu bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak di dalam Kementerian Kesihatan, sekali gus membantu perkembangan kerjaya mereka dalam bidang perubatan.

Sebahagian dalam kala­ngan doktor kontrak berdepan masalah dilantik ke jawatan tetap sejak sekian lama, yang menjurus kepada mogok besar-besaran di seluruh negara pada Julai 2021, bagi menuntut hak sama seperti pegawai perubatan lantikan tetap.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, pihaknya akan terus menggesa kerajaan memenuhi tuntutan itu sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun pertama penggal Parlimen baharu ini.

“Selepas Kabinet berjaya dibentuk nanti, kami akan cuba berjumpa secara bersemuka dengan Menteri Kesihatan yang baharu untuk mengetahui stand point beliau dalam isu ini.

“Suruhanjaya ini sudah lama kami cadang untuk kerajaan tubuhkan memandangkan sistem kesihatan ini penting khususnya pasca Covid-19. Dengan adanya suruhanjaya, lebih mudah untuk membuat perjawatan baharu dan tidak lagi tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kementerian Kesihatan pula mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan terutama berkenaan polisi dan perjawatan. Jadi, saya berharap, dalam Kertas Putih Kesihatan yang sepatutnya dibentang nanti, suruhanjaya dapat ditubuhkan dan kerajaan baharu menyokong penuh dasar ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara dinyatakan dalam buku Tawaran Harapan PRU15, PH ketika itu sebagai pembangkang antara lain menawarkan penubuhan Suruhanjaya Kesihatan.

Ia bertujuan merangka dan memantau pelaksanaan Pelan Reformasi Kesihatan Negara bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bagi menangani isu-isu sistemik termasuk pembiayaan penjagaan kesihatan, pemusatan kuasa dan kerjasama awam dan swasta (PPP).

Pada Ogos lalu, Menteri Kesihatan era Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Khairy Jamaluddin mempertimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhid­matan Kesihatan melalui dokumen Kertas Putih Kesihatan, bagi membolehkan pengurusan lebih terancang khusus untuk meningkatkan jumlah perjawatan serta elaun pekerja kementerian itu.

Bagaimanapun, rancangan tersebut dijangka tidak dapat diteruskan memandangkan bekas ahli Parlimen Rembau itu tewas dalam PRU15 dan tidak lagi berpeluang memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Kabinet sebelum ini menawarkan penambahbaikan faedah-faedah pegawai perubatan kontrak seperti kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh, tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Mengulas lanjut, Muhammad Yassin berkata, kira-kira 3,500 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap manakala sebanyak 1,500 slot diberikan kerajaan setiap tahun.

“Ada lebih kurang 1,700 doktor yang masih menunggu di­serap ke jawatan tetap. Kiranya, nisbah 1:10 kalau ada 1,500, tetapi ada 17,000 doktor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya