Padi IS21 lonjakkan pendapatan pesawah - Utusan Malaysia

Padi IS21 lonjakkan pendapatan pesawah

SOBRI HUSSEIN (kanan) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dr. K. Nagulendran menunjukkan varieti padi IS21 pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kangar, Perlis baru-baru ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Benih padi baharu IS21 yang dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia terbukti meningkatkan perolehan pesawah sehingga 67 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Penyelidik Kanan Bahagian Agroteknologi dan Biosains Agensi Nuklear, Dr. Sobri Hussein berkata, IS21 telah menjalani kajian selama 10 tahun di samping ditanam di beberapa lokasi di seluruh negara.

Katanya, di Perlis, varian tersebut telah diuji di kawasan Utan Aji, Kangar tiga tahun lalu dan mengeluarkan hasil memberangsangkan dengan hasil tuaian meningkat melebihi 20 peratus.

“Pelbagai ujian telah kita lakukan bagi memastikan benih padi yang dihasilkan mempunyai kadar rintangan yang tinggi bukan sahaja terhadap cuaca tapi juga penyakit.

“Benih padi ini dihasilkan menerusi teknologi nuklear dan kaedah mutasi aruhan sinaran gama, pada masa sama turut meningkatkan kualiti zat dan nutrisi beras,” katanya.

Sementara itu, Sobri berkata, IS21 mampu meningkatkan pendapatan pesawah daripada 40 peratus sehingga 67 peratus bergantung kepada kawasan tanaman dan pengurusan pertanian.

“Benih padi ini mampu menghasilkan sehingga sembilan tan metrik per hektar mengikut kawasan dan diurus mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Selain itu, kos input pertanian seperti penggunaan racun dan baja mampu diturunkan daripada 10 hingga 20 peratus,” ujarnya.

Katanya lagi, pada masa ini, benih padi tersebut dikeluarkan dengan kerjasama kilang padi benih berdaftar dengan MAFI, HMN Sdn. Bhd yang beroperasi di Sekinchan, Selangor.

“Agensi Nuklear bekerjasama dengan syarikat ini bagi mengeluarkan padi benih menggunakan teknologi laser dipanggil ‘colour sorter’ bagi membuang padi angin yang sering membelenggu pesawah kita.

“Adalah penting bagi pesawah mendapatkan benih padi terus daripada pengilang berdaftar bagi menjamin hasil tuaian terbaik dan pendapatan yang lumayan,” katanya.

Sebagai rekod, padi IS21 ini turut menerima tiga anugerah antarabangsa dan terbaharu adalah anugerah Breakthrough Research Award 2021 di bawah platform Forum Kerjasama Nuklear Asia kerana membantu meningkatkan pendapatan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×