Aset nyata sahaja tidak cukup bina kemajuan negara

Aset nyata sahaja tidak cukup bina kemajuan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN kemerdekaan negara yang ke-67 dan Hari Malaysia menjadi medan lonjakan semangat patriotisme serta anjakan baharu pembaharuan negara.

Dalam proses peralihan zaman serta pemerkasaan pembangunan negara berteraskan keperluan dan tuntutan masa depan, Malaysia memerlukan pegangan asas dari segi etika, norma mahupun nilai dalam menentu kemajuan tamadun juga bangsa.

Kemajuan ketamadunan dan negara tidak hanya berlandaskan kepada pembangunan materialistik, intelektual dan aset nyata secara langsung, sebaliknya semua ini didukung  kemajuan selari dari segi akhlak, nilai mahupun norma masyarakat yang cuba dibentuk mengikut perubahan masa depan.

Sebaliknya kesejahteraan insan yang meliputi kayu ukur kebahagiaan holistik dalam kualiti alam sekitar, jaminan bebas pencemaran, kesihatan komprehensif optimum, ruang pemerkasaan jaminan kebebasan sistem serta nilai berasaskan prinsip kebebasan dan demokrasi menjadi teras kriteria kritikal. 

Impak kejayaan Malaysia di mata dunia bukan hanya akan dinilai dari segi sumbangan ekonomi, ilmu, evolusi peradaban dunia, kemanusiaan, pegangan murni dalam membentuk ketamadunan masa depan tetapi sebaliknya negara mesti mencari sumber kekuatan baharu yang akan memberikan pulangan strategik dan berangkai. Ini termasuk dalam landskap sumber mineral baharu dan memberikan penekanan kepada aset nyata kedudukan geografi yang akan menjadi tunjang kuasa baharu.

Perubahan era dunia baharu dengan cabaran geopolitik dan ekonomi serta transformasi demografi baharu dalam dekad akan datang memerlukan perubahan seiring dari segi pendekatan mahupun mentaliti modal insan.

Impak perubahan iklim, cabaran geopolitik, ekonomi, demografi, pegangan prinsip serta ideologi masa depan semuanya akan menguji daya tahan sesebuah negara dan tamadun.

Perubahan demografi akan datang akan menyaksikan kemelut masyarakat menua selain tuntutan generasi baharu Alpha dan Z.

Dalam usaha untuk mengangkat darjat kemajuan dan pembangunan baharu, kita tidak boleh mengenepikan tuntutan kritikal dalam aspek integriti,  tatakelola serta governans yang jitu, bertanggungjawab dan beretika. Cara kerja dan tatakelola yang beramanah serta berintegriti mesti bergerak seiring dengan haluan kita untuk mencapai kegemilangan fizikal.

Ini termasuk memperkukuh struktur asas konsep negara berpaksikan raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan, sistem pentadbiran yang efisien serta moden selain bersandarkan nilai dan norma.

LANDASAN BAHARU

Bidang masa depan seperti semikonduktor, kepintaran buatan, robotik, penerokaan alam semesta dan kemajuan digital semuanya akan membentuk dimensi baharu dalam konsep kemanusiaan.

Peralihan kemajuan ekonomi akan mencerminkan transformasi baharu dan negara mesti bergerak seiring dengan kemajuan, kekayaan fizikal serta nilai selain pegangan ilmu.

Kekentalan institusi serta kepakaran dalaman harus dipergilap dalam menghadapi impak perubahan iklim yang akan menjadi lebih serius.

Perubahan ketara dalam tempoh masa yang singkat ini mengubah corak dan rubrik kemanusiaan. Begitu juga  perubahan dalam perjalanan ekonomi dan politik global yang tidak pernah dilihat dalam sejarah manusia.

Transformasi  akan datang  menjadi lebih drastik dan ketara dari segi perubahan dalaman mahupun luaran. Ini menuntut kekentalan dan keutuhan pegangan nilai namun dalam masa sama kekal membara dalam hasrat menggunung untuk mengangkat darjat mahupun kegemilangan negara.

Malaysia harus memastikan keunikan sistem, legasi serta sejarah pembinaan negara kekal terpelihara dan dipertahankan. Sejarah 100 tahun lepas menyaksikan konflik dan kecelaruan politik, perang serta ekonomi yang melanda dunia  membawa kepada kepincangan sistem, dampak juga struktur.

Keupayaan rencana masa depan memerlukan tuntutan baharu bagi memberikan gambaran besar tentang niat dan keyakinan futuristik dalam menggerakkan usaha untuk membangunkan sektor baharu walaupun impak langsung tidak akan dirasai sekarang.

PEMANGKIN PEMERKASAAN NILAI

Prinsip asas negara yang bertunjangkan kepada kesetiaan dan ketaatan kepada raja serta negara selain keluhuran Perlembagaan,  pemupukan perpaduan juga kesejahteraan masyarakat menjadi kayu ukur penghasilan landasan yang teguh dalam menjana transformasi hala tuju pembangunan negara mahupun galvanisasi holistik modal insan.

Dalam merungkai halangan masa depan merentasi polemik lama, penghargaan serta pengiktirafan setiap lapisan masyarakat untuk terus menzahirkan usaha dan pengorbanan kepada negara yang berlandaskan keutuhan semangat patriotisme  menjadi pegangan bersama yang akan terus mekar dalam dinamika kelangsungannya yang kebal dimamah usia.

Tiada likuan ranjau yang mustahil untuk ditangani dengan kejituan perpaduan serta kesepakatan bersama dalam melakar jalan penyelesaian dan membentuk teraju pencapaian baharu.

Sejarah perjalanan negara ke arah wawasan baharu yang berdaya saing serta dinamik diwarnai dengan  pancaroba yang berbeza, diselami dengan detik kejayaan dan juga cabaran yang melanda.

Dalam usaha untuk menggegar angkasa, mentaliti dan hala tuju mesti bergerak seiring dalam meninggalkan perangkap kepompong lama.

Dengan adanya lapisan sokongan struktur, sistem dan modal insan serta akar umbi yang utuh, hala tuju negara akan kekal cerah.

Masyarakat Malaysia mesti mengekalkan prinsip, nilai serta mempertahankan keharmonian, perpaduan dan tata Rukun Negara yang akan menyemarakkan semangat kenegaraan yang kebal dengan peredaran zaman.

Dalam menyemarakan semangat kekitaan, maka  penanaman nilai serta prinsip berlunaskan patriotisme cintakan negara menjadi titik tolak dan peneraju kepada masa depan negara.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman ialah Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN