Walkaton Merdeka pupuk semangat cintakan negara

Walkaton Merdeka pupuk semangat cintakan negara

PESERTA acara Walkaton Merdeka berpeluang menghayati makna Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan cara tersendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 31 Ogos 2018, sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, acara Walkaton Merdeka dianjurkan di Aulong Lama, Taiping, Perak. Acara sama dijalankan di Bukit Rotan, Kuala Selangor pada 25 Ogos lalu.

Acara pada 2018 dikendalikan di bawah Projek Komuniti Kavyan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong Lama. Jawatankuasa pelaksana dilantik daripada kalangan belia di sana sebagai usaha melahirkan pemimpin setempat.

Antara individu yang terlibat sebagai jawatankuasa dalam Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama (2016-2019) ialah M. Vanitha, A. Manivale, K. Mariamah, L.Jegavani, F. Christiana, K. Chitradevi, V. Loganathan dan mendiang C. Magesuary.

Penyertaan dibuka kepada 100 orang daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama di sekitar Taiping.

Seawal pukul 7.30 pagi, peserta berkumpul di dewan komuniti dengan lengkap memakai kemeja-T khas tertera Walkaton Merdeka. Selepas sama-sama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat, peserta diberi taklimat tentang laluan yang bakal digunakan.

Peserta yang majoriti terdiri daripada kaum India mengibarkan Jalur Gemilang pelbagai saiz dan memulakan perjalanan mengelilingi kampung mengikut laluan ditetapkan jawatankuasa penganjur.

Sepanjang perjalanan, peserta menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan penuh penghayatan. Foto dan video dirakam untuk dikongsi menerusi media sosial.

Orang ramai juga keluar dari rumah masing-masing untuk memberi sokongan. Malah, ada yang menyertai rombongan Walkaton Merdeka.

Peserta dibahagi kepada beberapa kumpulan dan diberi plastik hitam. Sepanjang perjalanan sejauh 8.6 kilometer (km), peserta diminta mengutip sampah yang ditemui.

Mesej dan moral yang diterapkan adalah betapa kebersihan bukan setakat tanggungjawab sosial tetapi juga sebahagian daripada erti kemerdekaan.

Beberapa bulan sebelum acara berlangsung, sejumlah 11 belia dan remaja dilantik serta diberi latihan supaya mereka boleh melaksanakan acara dengan berkesan.

Langkah itu sebahagian usaha melahirkan pemimpin komuniti. Beberapa siri mesyuarat diadakan untuk merancang Walkaton Merdeka secara penuh teliti.

Secara tidak langsung, semua orang yang terlibat faham bahawa bukanlah mudah untuk melaksanakan sesuatu. Perkara ini dikaitkan pula dengan usaha pemimpin dan pejuang terdahulu yang bukan setakat menuntut kemerdekaan tetapi turut memikirkan cara mengisi kemerdekaan itu.

Peserta kanak-kanak teruja berjalan secara berkumpulan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik yang dipelajari di sekolah.

Kepenatan berjalan digunakan sebagai simbolik untuk membantu mereka memahami kesukaran yang dialami pejuang kemerdekaan.

Rata-rata mengaku itulah kali pertama mereka menyertai acara khas sempena ulang tahun kemerdekaan.

Kalau selama ini mereka menonton siaran langsung di televisyen, kali ini mereka berpeluang terlibat secara langsung dalam acara berskala kecil tetapi tetap memberi kesan mendalam.

Peserta dewasa daripada kalangan suri rumah pula teruja kerana dapat keluar sebentar daripada rutin harian iaitu menguruskan rumah tangga. Mereka juga berpeluang mengimbas pengalaman zaman sekolah ketika sambutan khas sempena Hari Kebangsaan.

Pada akhir acara Walkaton Merdeka pada 2018, peserta menerima cenderamata berupa pingat khas. Rata-rata masih menyimpannya sebagai kenangan.

Semangat acara Walkaton Merdeka diulang pada tahun ini di lokasi dan melibatkan peserta baharu.

Pada 25 Ogos lalu, seawal 7.30 pagi, sekitar 45 peserta berkumpul di Kuil Sri Maha Mariamman, Bukit Rotan, Kuala Selangor. Mereka menerima kemeja-T tertera nama Walkaton Merdeka. Tentulah apabila melihat para peserta memakai baju itu mengingatkan saya kepada pengalaman acara sama di Taiping pada 2018.

Selepas semua peserta bersedia, S. Balakumaran dari Sri Anamalayar Seva Gurukulam sebagai penyelaras memberi taklimat ringkas. Jalur Gemilang bersaiz kecil diserah kepada peserta terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Sebelum memulakan perjalanan, peserta menyanyikan lagu Negaraku. Kemudian, Balakumaran dan V.K. Ezhilarasi (wakil Kavyan) mengetuai perarakan Walkaton Merdeka.

Dari kuil, peserta berjalan beramai-ramai melalui Jalan Kelab menuju ke pintu masuk Kelab Golf Diraja Kampung Kuantan. Kemudian, masuk pula ke Ladang Shalimar yang masih dihuni pekerja kaum India.

Selain lagu Tanggal 31, para peserta turut menyanyikan lagu Jalur Gemilang, Setia dan Keranamu Malaysia. Semangat patriotik terpancar pada wajah peserta yang amat teruja kerana julung kali berpeluang menyertai acara seperti ini.

Pada setiap tempat persinggahan, penyelaras berkongsi cerita tentang perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Kepenatan berjalan dikaitkan pula dengan kesukaran dan keperitan dialami penduduk pelbagai kaum di bawah penjajah British dan Jepun.

Peserta juga diberitahu tentang pembentukan Malaysia (16 September 1963) yang kini diraikan sebagai Hari Malaysia.

Seperti biasa, peserta tidak melepaskan peluang merakam foto dan video untuk dikongsi menerusi media sosial. Sesungguhnya, acara Walkaton Merdeka di bawah Projek Komuniti Kavyan pada 2018 dan 2024 hanya berskala kecil.

Namun begitu, apa yang lebih penting adalah kesannya kepada peserta dan penduduk setempat, khasnya kanak-kanak dan remaja.

Rata-rata mengaku lebih memahami perjuangan pemimpin silam serta perlunya erti kemerdekaan dihayati dan terus dipelihara sebagai khazanah amat bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Selepas peserta berjalan pulang ke kuil dan berehat sebentar, diadakan sedikit persembahan. Kanak-kanak bernama M. Ramya mempersembahkan silambam iaitu seni mempertahankan diri sebagai simbolik generasi muda mahu turut berjuang mempertahankan kemerdekaan negara.

S. Akeles, P. Thiiran, S. Sharveeshwarry, P. Omeshwar, P. Kirthigan dan T.Keerthana pula mempersembahkan sketsa mengenai kemerdekaan negara pada Ogos 1957.

Sebagai penutup, setiap peserta menerima pingat khas untuk dijadikan kenangan dan peringatan tentang kemerdekaan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN