Nusantara bawa makna berbeza

Nusantara bawa makna berbeza

PERBEZAAN istilah nusantara dan kepulauan Melayu antara Malaysia mahupun Indonesia membantu generasi muda memahami sejarah kedua-dua negara dengan lebih mendalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 29 Julai lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mula bertugas secara rasmi di Istana Garuda yang terletak di Nusantara iaitu ibu negara baharu bagi republik itu. Mesyuarat Kabinet pertama di Nusantara pula diadakan pada 12 Ogos.

Sebaik Jokowi mengumumkan nama Nusantara pada 14 Januari 2022, makna bagi istilah itu mengalami perubahan besar, khususnya dalam kalangan kita sebagai warganegara Malaysia.

Serta-merta, apa yang kita pelajari sejak sekolah rendah sudah berubah. Lazimnya, kita memahami Nusantara sebagai Gugusan Pulau-pulau Melayu iaitu wilayah merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei dan Timor Leste.

Di sekolah juga kita belajar tentang rumpun bahasa Austronesia yang terbahagi kepada Polinesia, Melanesia, Mikronesia dan Nusantara. Bahasa yang digunakan di Malaysia dan Indonesia tergolong dalam bahasa Nusantara.

Namun begitu, konsep dan pemahaman terhadap istilah nusantara adalah sangat berbeza di Indonesia. Hal ini akan kita sedari jika banyak bergaul dengan penduduk, penulis atau migran dari republik berkenaan.

Di negara kepulauan terbesar di dunia itu, sebagaimana tercatat juga dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, istilah nusantara hanya merujuk kepada Indonesia dan tidak termasuk Malaysia.

Elok juga kita cuba mendalami etimologi iaitu asal usul istilah itu dari sudut linguistik dan sejarah. Istilah nusantara terhasil daripada dua perkataan bahasa Kawi atau Jawa kuno yang ada pengaruh Sanskrit.

Dalam konteks penggunaan di Malaysia, kata nusa merujuk kepada tanah air atau tanah tumpah darah.

Dalam bahasa Indonesia pula, ia membawa makna pulau sementara antara bermaksud luar. Maka, istilah nusantara dalam konteks Indonesia merujuk pulau-pulau yang berada di luar Pulau Jawa.

Dari sudut sejarah, istilah itu mula-mula digunakan dalam Sumpah Palapa yang dilafazkan oleh Gajah Mada sebaik diangkat menjadi Patih Amangkubhumi (perdana menteri) bagi Kerajaan Majapahit pada abad ke-14.

Sebelum itu, Maharaja Kertanegara yang menjadi pemerintah terakhir Kerajaan Singhasari di Jawa Timur menggunakan istilah Cakrawala Mandala Dwipantara.

Istilah dwipa dan nusa berasal daripada bahasa Sanskrit dan bermakna pulau. Indonesia terdiri daripada lebih 17,500 buah pulau pelbagai saiz.

Dalam konteks Malaysia, kita melihat nusantara dan kepulauan Melayu sebagai konsep yang sama dan serupa. Tidak begitu halnya di Indonesia.

Malah, secara teknikal, Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) tidak termasuk dalam konsep Kepulauan Melayu (Malay Archipelago).

Hal ini demikian kerana Tanah Melayu ialah tanah semenanjung (peninsular) yang bersambung dengan Thailand dan Benua Asia tetapi bukan sebuah pulau yang sepenuhnya dikelilingi laut.

Berbeza pula dengan wilayah Sabah dan Sarawak yang walaupun bukan berbentuk pulau tetapi menjadi sebahagian daripada Pulau Borneo.

Singapura, Tioman, Pulau Ketam dan Pulau Pinang memenuhi syarat untuk dikategori sebagai sebahagian daripada Kepulauan Melayu.

Kalau di Malaysia kita pernah ada Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada 1991, di Indonesia pula ada Wawasan Nusantara yang bersumberkan Deklarasi Djuanda (1957) dan digunakan secara rasmi mulai 1982. Tarikh 13 Disember pula dijadikan Hari Nusantara mulai 1999.

Terdapat juga Universiti Bina Nusantara, Universiti Multimedia Nusantara, Penerbangan Merpati Nusantara, Nusantara TV, Wisma Nusantara, satelit Nusantara Satu, akhbar ‘Nusantara’ dan bermacam-macam lagi.

Dalam kesemua nama itu, Nusantara merujuk kepada Indonesia sahaja tanpa merangkumi Kepulauan Melayu seperti yang difahami di Malaysia.

Kita tahu bagaimana epik Ramayana dan Mahabharata masih terkenal dan sebati dengan budaya Indonesia sehingga hari ini. Dalam epik Ramayana, Indonesia dirujuk sebagai Dwipantara yang bermakna pulau di seberang. Sumatera pula disebut dengan nama Suwarnadwipa (Pulau Emas).

Pada masa dahulu, Indonesia dikenali sebagai Hindia Timur dan Insulinde (Kepulauan Hindia). Malah, nama Indonesia dalam bahasa Yunani membawa makna Kepulauan India.

Seorang pakar etnologi bernama George Windsor Earl pada 1850 mengusulkan nama Indunesia (Kepulauan India) dan Malayunesia (Kepulauan Melayu).

Pada tahun sama, James Richardson Logan, seorang pakar undang-undang, mengubah ejaan Indunesia menjadi Indonesia tetapi tetap membawa makna kepulauan India.

Agak menarik pula apabila kita meneliti makna Malaysia yang menggabungkan ‘Malays’ dan ‘ia’ dengan makna Tanah Melayu. Dari segi sejarah, Malaysia terbentuk pada 1963 apabila bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, sebagaimana saya huraikan dalam buku Suvarna Bhumi (2022), istilah Malaysia sudah digunakan sejak 1930-an.

Malah, pada 1831 lagi, nama Melanesia, Micronesia dan Malaysia pernah dicadangkan bagi kawasan yang kini kita kenali sebagai kepulauan Melayu dan nusantara.

Nama Micronesia membawa makna pulau-pulau kecil sementara Melanesia bermaksud pulau-pulau hitam.

Dalam kedudukan geografi sekarang, Micronesia merujuk kepulauan di sebelah barat Filipina dan terdiri daripada lebih 2,000 buah pulau kecil. Melanesia pula meliputi pulau-pulau dari Papua New Guinea hingga Fiji. Lebih ke arah timur ialah Polinesia yang turut meliputi New Zealand.

TELITI SEJARAH
Jika rajin meneliti lipatan sejarah, kita akan menemui catatan tentang rancangan menggabungkan Tanah Melayu dan Indonesia semasa penjajahan Jepun (1942-1945).

Pejuang kemerdekaan di Tanah Melayu mencadangkan nama Melayu Raya tetapi ditolak pihak Indonesia.

Sehingga kini di Malaysia, kita menggunakan istilah Melayu secara kolektif bagi rumpun Melayu atau penduduk asal kepulauan Melayu.

Pemimpin Indonesia pula menolak gagasan Melayu Raya kerana dianggap tidak berlaku adil kepada suku selain Melayu seperti Minangkabau, Jawa, Sunda, Bugis, Madura dan sebagainya.

Nama yang diketengahkan nasionalis Indonesia ialah Indonesia Raya dan turut mendapat sokongan sekumpulan nasionalis di Tanah Melayu.

Bagaimanapun, rancangan itu terbatal apabila Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Penelitian terhadap etimologi atau makna kata Malaysia dan Indonesia boleh membantu generasi muda lebih memahami sejarah kedua-dua negara serta gagasan nusantara dan kepulauan Melayu.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×