Lebih ‘afdal’ bina laluan keselamatan dan pembangunan

Lebih ‘afdal’ bina laluan keselamatan dan pembangunan

AKTA Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) dapat ditambah baik dengan mewujudkan kawasan sempadan sebagai zon larangan 100 kaki. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 30 Julai lalu, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi tujuan meningkatkan kemudahan keselamatan di sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan.

Secara umumnya peruntukan yang diumumkan itu bagi meningkatkan keselamatan sempadan negara adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh pasukan keselamatan yang menjaga sempadan.

Pastinya keputusan kerajaan ini sesuatu yang baik sekiranya dengan peruntukan tersebut dapat membina tembok sempadan bagi mengelakkan kegiatan jenayah rentas sempadan. Namun, sekiranya peruntukan tersebut tidak mencukupi maka apakah langkah yang dapat dicadangkan bagi membantu kerajaan mengatasi permasalahan ini?

Antara cadangan yang boleh diusulkan adalah mewartakan 50 kaki atau 100 kaki dari tebing sempadan untuk dijadikan sebagai laluan keselamatan dan pembangunan yang lebih luas. Laluan ini sebenarnya sudah ada namun ia perlu dilebarkan lagi agar pihak berkuasa di sepanjang sempadan dapat memantau aktiviti keluar dan masuk atau ancaman yang rentas sempadan ke Malaysia.

Ini hanya memerlukan kos yang rendah dan impak yang tinggi dengan meratakan kawasan laluan Kesban di sepanjang sempadan darat, bukan hanya di utara tetapi juga keseluruhan ke Pantai Timur.

Bagi setiap 10 kilometer (km) diletakan satu pos kawalan dan selama ini sudah ada pihak berkuasa yang membuat rondaan, namun masalah akses hutan dan kesukaran kenderaan untuk bergerak merumitkan operasi. Sekiranya terdapat persempadanan yang ruang 100 kaki dari sempadan maka pos kawalan dapat dibina bagi kawasan berkenaan.

Malah model ini dapat digunakan di Sarawak dan Sabah yang bakal menghadapi cabaran dengan pembukaan ibu kota Indonesia yang baharu iaitu Nusantara.

Laluan ini juga dapat bertindak sebagai ‘buffer zone’ (zon penampan) yang turut membolehkan pihak berkuasa menggunakan laluan ini bagi kenderaan dan operasi pembenterasan dapat dilakukan dengan cepat.

Model ini turut dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat (AS), Korea Utara, India, Pakistan dan lain-lain dengan mengosongkan ruang 100 kaki dari pagar sempadan.

Model memperkenalkan laluan keselamatan dan pembangunan 100 kaki sebagai ‘zon larangan’ boleh dilaksanakan di mana-mana sempadan darat bukan hanya di utara tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Dengan mengosongkan kawasan 100 kaki dari pagar sempadan pihak berkuasa boleh memantau dan menggunakan laluan ini sebagai jalan untuk membuat rondaan serta operasi dengan lebih cepat.

Model ini adalah lebih murah dan bertahan lama berbanding kos membina tembok sempadan yang menelan belanja yang besar.

Kerajaan sememangnya menyedari kos membina sempadan adalah tinggi, maka cadangan yang berkos rendah dan berkesan perlu menjadi pilihan kepada kerajaan.

Dengan mewujudkan kawasan sempadan sebagai zon larangan 100 kaki, ia sekali gus menambah baik Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).

TETAPI BERKESAN
Bagaimana jenayah rentas sempadan berlaku dan di manakah lokasi sasaran penjenayah? Ancaman jenayah rentas sempadan diibaratkan seperti permainan Tom and Jerry yang mana penjenayah berjaya meloloskan diri dari pihak berkuasa.

Pastinya lokasi yang menjadi tumpuan adalah kawasan yang tidak dikawal, jauh, semak dan sukar diakses.

Justeru dengan mengosongkan kawasan semak, hutan dan terbiar ini ia akan memberikan ruang kepada pihak berkuasa melakukan operasi dengan akses yang mudah.

Dalam masa sama, kawasan sempadan juga perlu diletakan di bawah konsep kumpulan terdedah pihak kerajaan bagi menangani ancaman keselamatan.

Pada 17 November 2023, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) belum pernah dipinda sejak diwujudkan pada 1959 selain dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan ancaman semasa.
Ia pastinya berkaitan dengan konsep kumpulan terdedah yang diamalkan oleh Malaysia yang diambil daripada kerangka keselamatan negara daripada Great Britain pada 1959.

Berdasarkan aplikasi negara Barat khususnya di Great Britain, Perancis, Sweden, Republik Czech, AS, Australia, menjelaskan konsep kumpulan terdedah bertujuan untuk melindungi sasaran penting yang selama ini tidak menjadi keutamaan.

Pun begitu, ia menjadi sasaran serangan pengganas dalam usaha untuk memaksimumkan kematian, menimbulkan ketakutan kepada penduduk dan mendapat liputan media serta membawa kesan maksimum dengan serangan yang dilancarkan.

Dalam konteks ini sempadan adalah kawasan yang sepatutnya dijadikan sebagai elemen kumpulan sasaran negara sejajar dengan idea pembaharuan kerajaan dalam meningkatkan keselamatan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Strategik dan Keselamatan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Kolej Pengajian Undang-Undang dan Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN