PERKAMPUNGAN Orang Asli di Batu 12 Gombak, Selangor antara penempatan penting yang mendapat perhatian ramai kerana di situ terdapat Muzium Orang Asli dan Hospital Orang Asli.
Laporan menunjukkan asalnya Orang Asli yang ditempatkan di situ adalah daripada kaum Temiar, Semai dan Jakun. Sekarang banyak suku kaum termasuk kumpulan Senoi (Mahmeri, Semaq Beri, Temiar, Semai dan Jahut), Melayu-Proto (Temuan, Jakun, Semelai) serta suku kaum Seletar.
Pembangunan pesat, kemudahan pergerakan, aktiviti sosial, pendidikan dan percampuran antara suku kaum menjadi semakin aktif. Kebanyakan mereka masih mengamalkan kepecayaan tradisional dan sebahagian memilih untuk menganut serta mengamalkan agama Islam.
Peringkat awal penempatan Orang Asli di sini kebanyakannya bekerja dengan kerajaan, di hospital dan muzium Orang Asli. Perkhidmatan kesihatan Orang Asli wujud sejak merdeka lagi bagi membantu golongan ini di kawasan pendalaman. Kerajaan menambah baik perkhidmatan perubatan dan membina sebuah Hospital Orang Asli di Batu 12 Gombak.
Muzium Orang Asli pula mempamerkan warisan budaya untuk tatapan generasi muda dan sebagai tarikan pelancongan. Muzium yang menjadi pusat penyelidikan penting sejarah dan budaya Orang Asli perlu ditambahbaik. Kajian tentang Orang Asli masih berkurangan dan perlu diaktifkan, dipelihara serta menjadi rujukan di masa akan datang. Program pembangunan kepakaran berkaitan golongan ini juga perlu digerakkan.
Antara pameran menarik ialah berkaitan Senoi Praaq yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya semasa darurat Tanah Melayu pada 1948 hingga 1960. Senoi Praaq daripada bahasa Semai bermaksud perang yang merujuk pasukan polis hutan yang dianggotai oleh Orang Asli pada 1957 yang bertugas di kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman.
Pasukan ini sangat penting dalam melawan pengganas komunis, mengawal Orang Asli daripada dipengaruhi oleh komunis dan menjaga keselamatan negara. Kajian berkaitan Senoi Praaq memerlukan maklumat dan sejarah tepat, keberkesanan mereka dalam mengawal komunis, hubungan dengan masyarakat Orang Asli dan penghormatan yang perlu diberikan.
Selain itu, masyarakat Orang Asli sudah diiktiraf sebagai penting dalam pemuliharaan alam semula jadi kerana mereka sangat dekat dengan hutan. Kefahaman dan amalan warisan dalam kelestarian alam semula jadi perlu diperkasakan serta dicontohi umum terutama dalam menangani isu perubahan iklim, kehilangan kepelbagaian biologi selain sokongan masyarakat tempatan.
Perubahan gaya hidup dan pendidikan, mengubah tradisi masyarakat Orang Asli yang kini bekerja dengan kerajaan, swasta mahupun bekerja sendiri. Mereka sudah kurang bergantung kepada sumber hutan.
Keadaan ini mewujudkan jurang antara generasi lama dengan generasi muda berkaitan pengurusan alam semula jadi. Keadaan ini juga memberi tekanan baharu kepada hutan kerana sudah tiada yang menjaganya. Hutan-hutan mudah diteroka, berlaku pengambilan hasil secara berlebihan dalam sesuatu kawasan tanpa kawalan dan berlaku pemencilan hutan.
MASIH PERLUKAN HUTAN
Pihak bertanggungjawab mesti memikirkan pendekatan baharu bagi penduduk Orang Asli di Batu 12 Gombak yang masih memerlukan hutan bukan sahaja untuk melangsungkan kehidupan tradisional mereka tetapi juga memenuhi keperluan orang lain berkaitan produk hutan dan tradisional, disamping meningkatkan kemudahan asas yang diperlukan.
Hutan juga diperlukan sebagai kawasan hijau bagi bandar raya Kuala Lumpur yang berkepentingan dalam mengawal suhu, menyerap karbon, sumber air, kestabilan iklim, kawalan banjir dan keperluan rekreasi serta sumber hutan. Berdasar kepada keperluan itu, Kerajaan Negeri Selangor khasnya perlu melihat kawasan hutan sekitar Jalan Gombak untuk disesuaikan dengan keadaan masa hadapan.
Pembangunan lebuh raya, Projek Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) dan pelebaran jalan menjadikan kawasan penempatan mereka semakin sempit.
Ada cadangan Jalan Gombak dijadikan Jalan Warisan dengan kawasan hutan di sepanjang jalan menjadi kawasan hutan simpan. Universiti Malaya (UM) mungkin sudah lama bertapak di Jalan Gombak memandangkan terdapat Pusat Kajian Lapangan di situ.
Terdapat juga balai polis lama, yang pernah didiami oleh ahli sains semula jadi terkemuka. Ia boleh dibaik pulih menjadi tempat pameran bahan sejarah alam semula jadi hutan Gombak. Mungkin UM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) boleh membantu menjalankan kajian berkaitan Orang Asli dan alam semula jadi.
Pusat kajian lapangan UM di Ulu Gombak seluas 120 hektar, merupakan kawasan penting dalam kajian kepelbagaian biologi. Kajian ekologi hutan sekunder dan primer dilakukan dengan meluas sejak lebih 40 tahun dahulu. Keunikan kawasan ini yang masih bersih dan tidak jauh daripada bandar raya Kuala Lumpur, menarik minat para pengkaji daripada dalam dan luar negara.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang berperanan menjaga kebajikan dan kemajuan Orang Asli Malaysia boleh melihat perkara ini bagi menjamin hak-hak mereka dalam kehidupan secara tradisional dan perubahan kepada cara hidup moden.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).










