Beri nafas baharu laluan perkapalan Penarikan

Beri nafas baharu laluan perkapalan Penarikan

LALUAN Penarikan yang menghubungkan Muar ke Pekan boleh menjadi pemangkin ekonomi tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik global.- MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THAILAND sejak abad ke-17 lagi berangan-angan menggali terusan sepanjang 90 kilometer untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Thailand di Segenting Kra, Selatan Thailand. Tujuan projek ini bagi menyediakan laluan perdagangan baharu yang akan memintas Singapura dan Selat Melaka. 

Projek terusan ini kerap dibincangkan bertahun-tahun lamanya oleh kerajaan Thailand tetapi kos projek yang tinggi menjadi penghalang utama.

Namun baru-baru ini mereka  membuat keputusan untuk mengubah skop projek tersebut. Mereka bercadang untuk membina jambatan darat.

Projek ini dijangka menelan belanja sebanyak AS$28 billion dengan objektif menghubungkan dua pelabuhan laut dalam di pantai timur dan barat Thailand melalui sistem kereta api, jalan raya dan laluan paip untuk industri minyak serta gas. Bahkan ia masih menepati tujuan asal projek memintas Singapura dan Selat Melaka.

Tetapi ramai  tidak tahu sebelum wujudnya empayar kesultanan Melaka, sudah ada laluan kapal perdagangan yang memintas Singapura. Laluan itu dikenali sebagai jalan Penarikan. Laluan ini amat popular kerana pedagang yang ingin mengelak melalui laluan Singapura yang terkenal dengan gangguan lanun. 

Laluan Penarikan ini pernah digunakan Hang Tuah ketika melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka ketika zaman kesultanan Melaka. Yang menariknya laluan ini, selain digunakan sebagai laluan komersial,  ia juga pernah diguna tentera Siam semasa menyerang dan menjajah Tanah Melayu.

Oleh itu, jalan ini menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Laut Cina Selatan dengan Selat Melaka oleh pedagang-pedagang zaman dahulu. Ia bermula dari Sungai Pahang di Pekan, yang mana kapal perdagangan bermudik ke Sungai Bera (anak Sungai Pahang) dan kemudian terus ke Sungai Serting (anak Sungai Bera). 

Terdapat satu tempat di hulu Sungai Serting, yang mana kapal akan naik ke darat dan ditarik sejauh 600 meter  melalui kawasan yang dipanggil Bukit Penarik.

Seterusnya, kapal akan masuk ke Sungai Jempol, di Negeri Sembilan, bermudik ke Sungai Muar, sehingga sampai ke Bandar Maharani, Muar dan seterusnya menyambung perjalanan ke Melaka atau kawasan lain di barat Semenanjung Tanah Melayu. 

Catatan sejarah menyatakan, kedalaman sungai-sungai ini ketika zaman dahulu sekitar enam ke sembilan meter. Keadaan ini membolehkan kapal perdagangan komersial atau jong yang besar memudik sungai ini dan ditarik merentas Bukit Penarik oleh penduduk tempatan yang menawarkan perkhidmatan menarik kapal atau jong. 

Malangnya pembangunan yang rakus tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar menjadikan sungai-sungai ini menjadi cetek dengan kedalaman sekitar satu ke dua meter sahaja.

Artikel Tajuddin Abdullah, seorang profesor bersara dan felo Akademi Sains Malaysia yang mencadangkan agar laluan bersejarah ini dihidupkan semula dan diberi nafas baharu untuk laluan kapal kontena moden. Beliau juga mencadangkan agar laluan darat sejauh 600 meter di Bukit Penarik digali dan dijadikan terusan yang menghubungkan sungai-sungai tersebut.

Beliau berpendapat, laluan sungai yang menghubungkan Muar ke Pekan ini boleh menjadi pemangkin ekonomi tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan sebagai hab logistik global. 

Pandangan beliau ini ada meritnya, namun pemulihan laluan air bersejarah yang dilupakan ini memerlukan penelitian yang rapi sebelum dilaksanakan.

Oleh itu beberapa perkara dan persoalan perlu diteliti dan dijawab untuk merealisasikan hasrat ini. Pertama, nilai struktur sungai. Adakah laluan tersebut boleh dilayari kapal komersial yang besar? Kedalaman, lebar dan kehadiran selekoh dan halangan semuanya perlu dipertimbangkan.

Seterusnya perlu dinilai impak alam sekitar.  Kajian aliran air, ekologi dan potensi pencemaran mesti dijalankan dan diambil kira. Sungai yang dipulihkan dengan betul boleh meningkatkan kualiti air, mewujudkan habitat tanah lembab dan juga sebagai penebat banjir.

Juga penting untuk menilai impak ekonomi. Kajian kebolehlaksanaan menyeluruh penting untuk memastikan dari segi kewangan projek ini berdaya maju. Kos pelaburan keseluruhan perlu memberi pulangan yang memberangsangkan kepada ekonomi negara.

Tidak lupa juga persepsi awam. Masyarakat mungkin bimbang mengenai potensi kerosakan alam sekitar, pencemaran bunyi atau gangguan kepada aktiviti rekreasi. Maka, komunikasi dan dialog terbuka untuk menangani kebimbangan ini secara langsung perlu dilaksanakan.

 

LANGKAH 

Sekiranya hasil kajian perkara di atas menunjukkan kemungkinan yang positif, beberapa langkah perlu di rangka dan dilaksanakan.

Antaranya aktiviti mengorek untuk mendalamkan dasar sungai diperlukan untuk menampung kapal-kapal yang lebih besar. Oleh itu, penggunaan teknik pengorekan terkini dan mesra alam perlu diberi keutamaan semasa mendalamkan sungai. Seterusnya pelebaran sungai mesti dipertimbangkan untuk memudahkan kapal- kapal besar memudik laluan ini.

Selain dari pengorekan dan melebarkan sungai, pengukuhan tebing-tebing sungai juga perlu dilaksanakan. Hakisan tebing sungai boleh terjadi kesan daripada ombak yang disebabkan oleh kapal-kapal yang bakal menggunakan laluan ini. Oleh itu, mengukuhkan dan menstabilkan tebing sungai boleh membendung fenomena ini.

Seterusnya, pembinaan terusan merentas Bukit Penarik perlu dilaksanakan untuk menghubungkan sungai-sungai terbabit. Sekiranya sungai mempunyai perubahan ketinggian ketara, kunci empangan mungkin diperlukan untuk mengawal aliran air dan membolehkan laluan selamat.

Juga perlu diadakan alat bantuan navigasi. Teknologi moden seperti pelampung, penanda saluran dan sistem navigasi elektronik perlu ada untuk menjamin kelancaran dan keselamatan operasi perkapalan di laluan ini.

Perlu diingatkan, bahawa transformasi sungai sedikit sebanyak akan mengganggu aliran semula jadi sungai dan berpotensi membawa kesan yang tidak diingini. Jadi, satu strategi mitigasi untuk mengurangkan kemudaratan kepada ekosistem perlu dilaksanakan.

Selain itu, mewujudkan pelabuhan dan terminal yang moden dengan kemudahan pemuatan serta pemunggahan yang cekap amat penting. Fasiliti berkenaan perlu diwujukan berdekatan dengan kuala Sungai Muar dan Pekan. Ia perlu diwujudkan hab logistik yang lengkap dengan kemudahan pergudangan dan pusat pengedaran. Ini akan memudahkan aktiviti pengurusan rantaian bekalan untuk industri pembuatan tempatan.

Laluan Penarikan baharu ini boleh meningkatkan aktiviti perdagangan, memulihkan ekonomi tempatan dan mewujudkan pekerjaan baharu dalam industri pembinaan, perkapalan mahupun logistik. Ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Penghantaran barangan melalui laluan air pada umumnya lebih cekap ekoran boleh mengangkut barangan yang lebih banyak berbanding laluan darat. Ini secara tidak langsung boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya.

Juga limpahan daripada projek ini akan menyebabkan pembangunan bandar-bandar baharu yang dengan pusat perniagaan dan kemudahan rekreasi apabila memajukan kawasan di sekitar pinggir sungai.

Seperti yang disarankan, projek ini perlu mengambil kira impak kepada alam sekitar.  Jika ia dilaksanakan dengan betul, ia akan memberi faedah yang positif kepada alam sekitar seperti peningkatan kualiti air, pemulihan habitat sungai dan penebatan banjir. -UTUSAN

 

 

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Ketua Kumpulan Fokus Pengurusan Teknologi Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN