LAWATAN Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken ke enam negara Asia bulan lepas memberikan mesej jelas kepada sekutu mahupun musuh bahawa meskipun di sebalik krisis di Asia Barat dan Ukraine, kekuatan serta komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik dan Asia Timur tetap utuh.
Washington berusaha untuk membina struktur keselamatan serantau baharu dalam menangkis ancaman China dan Korea Utara, menghalang kemungkinan pengaruh Rusia baharu di rantau ini selain mengukuhkan pendekatan kuasa melalui diplomasi dan cegah rintang berkesan.
Lawatan sekali gus mengukuhkan mesej yang disampaikan pentadbiran Joe Biden bahawa perubahan fokus daripada Timur Tengah ke Asia yang bermula pada 2014 di bawah Barack Obama masih dikekalkan.
Lawatan ke Laos, Vietnam, Jepun, Filipina, Singapura dan Mongolia memberi petanda niat strategik untuk mewujudkan rangkaian hubungan yang saling berkait dan menyeluruh, merentasi diplomasi Track I dan Track II serta menjalin hubungan secara selari dalam domain diplomasi dan ketenteraan dengan kehadiran Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin.
Ini dicerminkan dalam mekanisme 2+2 (jalinan diplomasi dan pertahanan dengan Menteri Luar dan Menteri Pertahanan) dengan Korea Selatan dan Jepun.
Laos adalah tuan rumah Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN (ARF). Vietnam kekal penting sementara Hanoi kekal sebagai negara yang strategik bagi Washington, di mana strategi dan pendekatan yang cerdik serta tidak berpihak oleh Hanoi membolehkan negara ini mendapatkan yang terbaik dari China dan AS.
Jepun pula kekal sebagai sekutu paling penting. Ia boleh terlihat dalam jalan-jalan baharu perikatan pertahanan dengan penglibatan 2+2 kedua-dua negara.
Filipina merupakan salah satu kuasa luar yang kekal strategik sebagai faktor pelengkap untuk strategi Washington selain merupakan sebahagian daripada formasi baharu The Squad.
Singapura turut kekal sebagai kubu bagi dasar Asia Tenggara, dengan sokongan ketenteraan dan kapasiti yang berterusan untuk postur pertahanan dan kuasa di rantau ini.
Mongolia muncul sebagai pelaku yang kian strategik dalam strategi keseluruhan membendung pengaruh China.
Ia memainkan peranan berganda dalam berhadapan dengan Moscow dan Beijing dalam domain geografi serta mencipta pilihan sandaran baharu untuk Washington dalam melengkapi kehadiran kuasa semasanya di Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Selatan.
Strategi Indo-Pasifik 2022 oleh pentadbiran Biden menggambarkan nada jaminan yang berterusan bahawa Washington masih mampu memenangi dua konflik besar sekali gus, dan Indo-Pasifik masih kekal sebagai tonggak utama keamanan dan kestabilan global yang wajib dipertahankan oleh AS.
Penubuhan pelbagai kumpulan minilateral, daripada Quad kepada The Squad dan Camp David Pact antara Tokyo-Seoul-Washington, dilihat sebagai saling melengkapi satu sama lain dan Washington berharap dapat memperkuat sinergi mereka untuk mempertahankan perintah berasaskan peraturan.
Ini memberi isyarat objektif keseluruhan iaitu bukan hanya untuk membendung ancaman China, tetapi juga untuk menaruh sasaran terhadap kuasa lain, sama ada dalam atau luar rantau, yang dilihat mencabar status quo dan norma berasaskan undang-undang antarabangsa dan maritim.
KEBERGANTUNGAN KESELAMATAN TOKYO, WASHINGTON
Pemerkasaan kapasiti dan kepelbagaian tawaran pertahanan oleh Quad yang melebihi jaminan kuasa konvensional dan cegah rintang semata-mata, menyediakan pilihan alternatif yang disambut baik untuk rantau ini.
Keselamatan ekonomi dan keselamatan maritim yang ditawarkan menyediakan pilihan alternatif baharu.
Washington dan Tokyo mencipta hala tuju baharu dalam sinergi pertahanan, dengan mengadakan perintah perang baharu yang dimeterai dalam lawatan tersebut, menjadi satu transformasi dan penambahbaikan terbesar dalam sejarah 70 tahun perikatan keselamatan antara kedua-dua negara.
Strategi baharu ini mencerminkan rancangan Jepun untuk mencipta struktur operasi dan ketenteraan baharu yang mirip operasi AS dalam menyambungkan angkatan udara, laut, darat dan lain-lain dengan lebih baik pada awal tahun depan.
Kini, pangkalan dan markas baharu dan pembentukan komando perang akan mewujudkan tindak balas yang lebih tangkas dan cepat secara bersama.
Dalam sebarang konflik atau perang dengan China, komunikasi dengan pasukan barisan hadapan di Jepun dan tempat lain di Pasifik Barat kemungkinan besar akan terganggu dan menjadi sasaran musuh.
Ini termasuk serangan siber, sabotaj atau pemusnahan kabel bawah laut atau penggodaman komunikasi di angkasa untuk meneutralkan satelit pengawasan dan komunikasi masing-masing.
Oleh itu, penciptaan komando operasi bersama yang dikerahkan ke barisan hadapan, akan mengambil kira semua risiko ini dan mewujudkan mekanisme tindak balas yang lebih cepat.
Pertahanan Jepun yang semakin meningkat di rantau ini dengan Perjanjian Akses Timbal Balik (RAA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan lain-lain, berusaha untuk mendapatkan pilihan sokongan sandaran serantau dan sebagai insurans terhadap kebergantungan utama dengan AS.
Jepun juga melihat keselamatan Taiwan dan impak masa depan sebarang krisis di Selat Taiwan sebagai berkaitan langsung dengan keselamatannya sendiri.
Washington juga berhasrat untuk memanfaatkan industri Jepun bagi membantu meringankan tekanan pada pembuat senjata AS yang telah tertekan oleh peningkatan permintaan yang dicetuskan oleh konflik di Ukraine dan Timur Tengah.
Tokyo dan Washington turut mempertingkat kapasiti pengeluaran bersama peluru berpandu serta dalam domain pembaikian kapal dan pesawat.
SINERGI TOKYO-SEOUL-WASHINGTON MENINGKAT
Perjanjian Camp David yang dimeterai tahun lalu juga menerima suntikan sokongan baharu dengan kunjungan Blinken dan Austin.
Dalam menginstitusikan perjanjian itu, ia akan menjadikannya lebih sukar untuk ditarik balik, terutamanya risiko peralihan kuasa kepimpinan di AS yang akan memilih presiden baharu November ini.
Sepanjang tahun lalu, ketiga-tiga negara telah mengadakan latihan ketenteraan bersama untuk menghadapi pelancaran peluru berpandu dan juga mengadakan latihan memburu kapal selam. Ketiga-tiga negara juga mengadakan latihan udara, laut dan siber tahun ini.
Secara terasnya, langkah-langkah ini akan meningkatkan pemberatan dan koordinasi unjuran kuasa keras dan keefisienan cegah rintang yang baharu.
Secara simbolik, ini menghantar mesej langsung kepada Beijing, Pyongyang dan Moscow bahawa kehadiran sedia ada dan masa depan AS dan sekutunya di Indo-Pasifik kekal terpelihara.
Namun, cabaran tetap melanda. Perdana Menteri Fumio Kishida akan berundur diri September ini dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol bergelut dengan sokongan yang merudum.
Peningkatan ancaman dari Pyongyang tetap menjadi faktor ancaman umum yang membenarkan ketiga-tiga negara untuk terus berpaksi kepada unjuran ancaman dan risiko ini.
Struktur keselamatan di Indo-Pasifik memasuki fasa yang kian mencetus paradoks dilema keselamatan, perlumbaan senjata dan kelebihan geopolitik serta percaturan ketenteraan akan terus dipergiat oleh kuasa dalaman dan luaran.-UTUSAN
PENULIS ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya (UM).










