Urus sebaiknya Sungai Linggi

Urus sebaiknya Sungai Linggi

SAMPAH sarap dan bahan sedimen yang dibawa aliran Sungai Linggi yang tersangkut di bawah jambatan di Linggi, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA peribadi, Sungai Linggi bagi saya bukanlah asing. Keluarga di sebelah ibu berasal dari Kampung Mayor iaitu sebuah kampung kecil di Mukim Pantai di Seremban. Kedudukannya tidaklah jauh dari Kampung Jerlang juga di mukim itu di mana bermulanya sungai ini.

Selalu dalam ingatan, semasa kecil sewaktu pulang ke kampung, saya dan sepupu sempat bercompogho di sungai tersebut. Pada ketika itu mengalir jernih di bawah jambatan menuju ke kampung kelahiran ibu saya itu.

Ketika bersekolah rendah, terdapat sebatang sungai di belakang sekolah, namanya Sungai Temiang Diversion. Ia merupakan salah satu anak sungai utama yang menyumbang aliran air ke Sungai Linggi. Tidak jauh dari sekolah itu juga boleh dilihat pertembungan di antara kedua-dua sungai terbabit.

Sudah ditentukan Allah SWT, saya bertemu pula jodoh dengan isteri yang mana kampungnya terletak di Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi, Melaka.

Setiap kali pulang ke kampung, kami perlu melalui sebuah jambatan yang menyeberang Sungai Linggi Dari atas jambatan itu terbentang pemandangan muara Sungai Linggi yang mengalir sehingga ke Selat Melaka.

Sungai Linggi adalah sepanjang 83.5 kilometer (km), ia merupakan sempadan semula jadi bagi Negeri Sembilan dan Melaka. Ia mempunyai peranan yang cukup penting dalam sejarah pembangunan kedua-dua negeri ini sejak berabad lamanya.

Menurut Norhalim Ibrahim menerusi tulisan bukunya yang bertajuk, Sejarah Linggi, Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan, Sungai Linggi penting sebagai jalan bagi kapal-kapal kecil dan besar yang membawa bijih timah dari Sungai Ujong (Seremban) ke Melaka khususnya pada abad ke-17.

Peranan Sungai Linggi itu kemudian semakin merosot apabila jalan darat telah dibina dan landasan kereta api juga didirikan dari Seremban ke Port Dickson.

Walaupun kini Sungai Linggi tidaklah segemilang dahulu, namun fungsinya tetap sama iaitu sebagai sumber bekalan air kepada orang ramai dan sebagai sumber makanan kerana ia menjadi punca rezeki untuk nelayan-nelayan darat dan kaki pancing di kedua-dua negeri.

Sebahagian bandar peranginan Port Dickson juga mendapatkan bekalan airnya dari Sungai ini. Sumber bekalan air mentah dari Sungai Linggi telah dirawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi terletak di Rantau.

Bagaimanapun, kebelakangan ini sering dilaporkan gangguan kepada operasi LRA yang terpaksa diberhentikan sementara operasinya gara-gara tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melepaskan bahan pencemar termasuk minyak dari premis mereka dan akhirnya ia mengalir ke Sungai Linggi.

Pada masa sama, ancaman pencemaran tradisional turut membelenggu Sungai Linggi apabila ada yang menjadikan ia sebagai tempat pembuangan sampah.

“Saya sendiri melihat perbuatan membuang sampah ke sungai ketika pergi ke Pasar Besar Seremban. Mereka melakukannya sesuka hati dan tiada adab,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditanyakan mengenai ancaman pencemaran terhadap Sungai Linggi.

Sudah menjadi sifat sungai, fungsinya bergantung kepada curahan air hujan dan aliran airnya. Sungai Linggi juga tidak terkecuali an kebelakangan ini sering membawa bencana bah.

Bencana banjir memberi kesan besar khususnya kepada kawasan berpendudukan di sepanjang sungai tersebut. Kesan kejadian banjir berpunca air yang melimpah termasuk dari anak-anak sungai Sungai Linggi amat memenatkan penduduk yang terjejas, kerugian wang dan harta benda sudah menjadi lazim untuk mereka hadapi.

Tidak dapat dinafikan, banyak tindakan telah dan akan diambil kerajaan seperti menerusi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), projek takungan air mentah dan tindakan hukuman berat kepada pelaku pencemaran sungai.

SELESAI
Bagi penduduk, mereka tidak mahu tahu dari mana peruntukan diperoleh, apakah jawatankuasa yang dibentuk, mereka hanya mahu tahu masalah yang dihadapi mereka itu dapat cepat diselesaikan.

Masa semakin mengejar dan apa yang boleh dilakukan pihak berwajib ketika ini adalah untuk meminimumkan kesan dialami penduduk terlibat.

Sungai diketahui merupakan nadi kehidupan manusia begitu juga Sungai Linggi. Ia perlu diuruskan dengan baik dan secara bersepadu, sesuai dengan proses perubahan semula jadi serta pembangunan di sekitarnya.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×