Sudahkah universiti menyambut ‘madani’ dengan sewajarnya?

Sudahkah universiti menyambut ‘madani’ dengan sewajarnya?

UNIVERSITI perlu mengambil peluang sepenuhnya di bawah kerangka madani dan dalam waktu sama, mesti diberi ruang untuk melakukan reformasi substantif seperti dinyatakan di dalam definisi rangka berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VISI madani adalah mencorak masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia dan bercita-cita mengemudi negara dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

Visi ini sangat dinamik berbanding dengan visi atau slogan yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini. Tiga kata kunci utama yang diketengahkan ialah perubahan yang mengubah dunia, zaman pasca normal dan kearifan tempatan. Dengan meletakkan tiga perkara ini, madani menyediakan kerangka yang sangat komprehensif dan boleh memainkan peranan yang sangat besar dalam pembangunan negara.

Tidak dinafikan ada perdebatan tentang singkatan madani, namun semangat seperti di dalam sejarah pembinaan pelbagai tamadun, memberikan madani mandat yang kukuh untuk pembangunan negara.

Namun yang menjadi persoalan utama ketika ini adalah bagaimana untuk menterjemahkan kerangka ini kepada dasar dan tindakan yang benar-benar membawa perubahan supaya tidak berakhir sebagai hanya jenama untuk agenda politik atau lebih malang hanya sekadar laris di papan tanda tetapi tidak menjadi seperti dihasratkan, seperti yang berlaku kepada slogan-slogan sebelum ini.

Kejayaan dan kegagalan madani amat bergantung kepada kefahaman yang mendalam dan pelaksanaan yang selaras dengan visi dan misinya. Faktor utama dalam menentukan dua perkara ini adalah sejauh mana agensi yang terlibat memainkan peranan masing-masing.

Antara agensi utama menggerakkan agenda ini adalah universiti yang sememangnya merupakan penyumbang utama dalam proses pembinaan negara.

Andai dilihat dari segi jumlah aktiviti yang dilakukan universiti, tidak dinafikan pasti sudah ratusan persidangan, wacana ilmiah, bengkel dan program yang dilaksanakan tetapi apabila diukur dari segi kefahaman dan penghayatan terhadap intipati dari visi dan misi madani, boleh dilihat masih belum menerap secara berkesan ke dalam tiga fungsi utama universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran, pendidikan dan inovasi serta pemberdayaan masyarakat.

Benar madani mendapat perhatian yang sangat tinggi oleh pihak universiti. Bagaimanapun, dikhuatiri ia masih ditahap perbincangan akademik dan konseptual.Malah, lebih dibimbangi jika ia menjadi sekadar ‘hiasan’ kata untuk mendapat perhatian atau kelulusan untuk pelaksanaan. Padahal nilai dan hasrat yang dibawa oleh madani sangat besar. Potensi yang hadir bersama adalah peluang terbaik untuk merubah atau mengembalikan semula ‘jiwa’ sebuah universiti yang sudah lama hilang.

Paling tidak ada tiga aspek yang boleh direnungkan untuk memperkukuhkan peranan universiti dan madani. Pertama, bagaimana seharusnya universiti menterjemah maksud dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan?

Adakah universiti benar-benar cakna terhadap perubahan landskap pengajian tinggi yang sedang berlaku ketika ini seperti isu pembangunan lestari? Adakah cukup sekadar terlibat dengan ranking dunia sedangkan kerangka pelaksanaan madani jelas meletakkan kemampanan sebagai salah satu dari enam nilai terasnya?

Seharusnya, selaras dengan landskap dunia yang sedang giat menangani isu kemampanan, universiti perlu bertindak dengan melakukan perubahan lebih intensif terhadap tuntutan ini kerana ia jelas dalam kerangka madani. Amat rugi andainya universiti masih belum berubah ke arah menangani isu pembangunan mampan.

Tindakan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan perlu lebih radikal dalam kalangan universiti Malaysia.

Apa yang boleh dilakukan adalah seperti Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya mewujudkan Timbalan Rektor yang khusus untuk menangani isu tersebut. Atau seperti inisiatif yang dilakukan oleh beberapa universiti yang sudah mewujudkan pusat khusus bagi menangani isu kemampanan atau kelestarian. Dengan mewajibkan adanya pelantar khusus untuk pelaksanaan teras keenam ini di semua universiti, barulah boleh mengharapkan perubahan dan penyelarasan antara agenda madani, perubahan semasa dan peranan universiti.

Kedua, definisi madani mengambilkira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. Proses ini perlu disambut sepenuhnya oleh semua universiti. Perbincangan yang diadakan perlu lebih kritikal dan meluas tidak sekadar kupasan konseptual dan memfokus kepada mengjustifikasi bahawa ia agenda yang kukuh dan bersesuaian dengan zaman.

Perdebatan yang lebih membina tanpa kebimbangan perlu dibuka untuk melihat sebagai anti-establishment. Universiti memang sifatnya harus berani menyatakan kebenaran, bebas dari pengaruh politik bagi mengekalkan identitinya sebagai medan ilmu.

Andainya madani hendak dibudayakan dalam dunia akademik, ia perlu diwarnai dengan nilai dan teras ilmu yang murni, kukuh dan lebih penting diikuti dengan amalan dan tindakan yang selari dengan ilmu yang disampaikan.

KAYU UKUR
Ketiga, kegagalan dan kejayaan dalam konteks universiti tertakluk kepada sejauh mana pengoperasian keenam-enam teras madani dalam urus tadbir universiti.

Realiti prestasi universiti pula ditentukan oleh apa yang menjadi kayu ukur oleh agensi penarafan seperti Times Higher Education (THE) dan juga QS World University Rankings (QS).

Ketika ini, melihat ukuran penarafan yang sedia ada, ia masih jauh dari mengukur sumbangan universiti terhadap pencapaian visi, misi apatah lagi keenam-enam teras madani. Selagi penyelarasan tidak berlaku, hasrat untuk menjadikan ‘budaya tempatan’ sebagai teras pembangunan negara akan menjadi retorik seperti mana Wawasan 2020 yang meletakkan ‘acuan kita sendiri’ sebagai model pembangunan.

Jadi, bagi tujuan ini langkah pertama yang perlu berlaku adalah mengubah sistem pengukuran dan penarafan prestasi universiti sebagai institusi pendidikan bukan kilang untuk menyediakan pekerjaan untuk memacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah serta kearifan tempatan.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×