ADA golongan tertentu yang mentafsirkan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai lalu sebagai petanda bahawa rakyat Malaysia menolak dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dasar ekonomi yang paling diperkatakan ialah pengenalan dasar subsidi bersasar diesel yang dibuat pada 10 Jun yang dikatakan menyusahkan rakyat kerana menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Kekalahan Joohari didakwa sebagai bukti rakyat Malaysia menolak dasar subsidi bersasar diesel.
Sebenarnya tidak ada apa yang mengejutkan mengenai keputusan PRK Sungai Bakap itu. Ia adalah sekadar penerusan kecenderungan mengekalkan status quo dalam semua PRK selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 dan pilihan raya negeri (PRN) lima negeri pada 12 Ogos 2023 baik di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pas menang dalam dua PRK di kerusi miliknya, iaitu di Kuala Terengganu (12 Ogos 2023) dan Kemaman (2 Disember 2023) tetapi ini tidak menghalang PH-Barisan Nasional (PH-BN) dari menang dalam PRK di kerusi miliknya seperti di Pulai dan Simpang Jeram (9 September 2023), Pelangai (7 Oktober 2023) serta Kuala Kubu Baharu pada (11 Mei lalu).
Selain penerusan kecenderungan mengekalkan status quo, keputusan sesuatu PRK itu juga berpunca daripada banyak sebab, ada yang bersifat dalaman dan luaran. Kelemahan jentera atau sabotaj sesama sendiri atas faktor-faktor yang tidak berkait dengan dasar-dasar ekonomi kerajaan tetapi politik kepuakan adalah juga punca.
Dalam PKR Pulau Pinang contohnya heboh dengan kewujudan dua kem berbeza yang saling bersaing antara satu sama lain. Dalam DAP, mempunyai dua kem iaitu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan bekas Ketua Menteri yang juga Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Sementara PKR pula, terbahagi kepada kem Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan bekas Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Oleh itu, tidak bijaksana untuk cepat-cepat menyalahkan dasar-dasar ekonomi kerajaan sebagai punca kekalahan Joohari bila ada faktor-faktor politik setempat yang menjadi punca.
Serentak itu, menggesa kerajaan menghentikan atau mengkaji semula dasar-dasar ekonomi, istimewanya dasar subsidi bersasar diesel dan cadangan dasar subsidi bersasar petrol, susulan kekalahan Joohari dalam PRK Sungai Bakap adalah tidak menepati keadaan dan tidak bersifat logikal.
PENGIKTIRAFAN
Bukti paling kukuh kerajaan melaksanakan dasar-dasar ekonomi, istimewanya dasar subsidi bersasar bahan api, yang betul adalah pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia yang bagus oleh agensi penarafan kredit antarabangsa seperti S&P Global Ratings (S&P), Fitch Ratings (Fitch) dan Moody’s yang mencerminkan keyakinan pemegang taruh antarabangsa kepada Malaysia.
S&P menyatakan penarafannya terhadap Malaysia disokong oleh kedudukan luar negara yang kukuh dan fleksibiliti dasar monetari negara.
Selain itu, kadar pertumbuhan ekonomi trendnya lebih pantas berbanding negara berdaulat yang mempunyai tahap pendapatan serupa.
Ia juga menjangkakan defisit fiskal Malaysia akan mengecil dengan adanya langkah rasionalisasi subsidi.
Fitch pula mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melonjak sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2024 dan 4.5 peratus bagi tahun 2025.
Lebih mutakhir, prestasi ekonomi kerajaan mendapat pujian Rajiv Batra, Ketua Strategi Ekuiti Asia-Pasifik di JP Morgan, dalam wawancara CNBC kelmarin (10 Julai) dalam mana beliau menyatakan JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia dari ‘underweight’ ke ‘neutral’.
Jelas Rajiv Batra, pembaharuan dasar termasuk mengambil langkah berani dengan menyasarkan subsidi bahan api, pelaburan berpusatkan data dan pembangunan infrastruktur yang sedang berlaku di Malaysia membuat JP Morgan positif terhadap Malaysia.
Kata beliau lagi, apa yang lebih mengejutkan adalah kelajuan kemajuan yang sedang berlaku, dengan pertumbuhan KDNK 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini menyebabkan JP Morgan menaikkan taraf Malaysia.
Rajiv Batra juga menyatakan bahawa JP Morgan melihat kerajaan melaksanakan Walk The Talk (laksanakan apa yang dijanjikan) dalam hampir satu setengah tahun bekerja, mereka meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar di sana, yang paling penting mengatakan mereka akan meneruskan penyatuan fiskal tetapi tidak mengorbankan pertumbuhan.
Ini menyebabkan wang dari pelabur asing yang semakin berminat melabur mula kembali ke Malaysia.
Dr. Benjamin Laker, seorang profesor kepimpinan di Henley Business School, University of Reading, England, dalam rencana pada 10 Julai bertajuk Pemulihan Ekonomi Malaysia di bawah Kepimpinan Anwar Ibrahim yang disiarkan Majalah Forbes juga memuji reformasi ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
Antara reformasi ekonomi yang dipuji ialah pengenalan cukai baharu, rasionalisasi subsidi, Polisi Gaji Progresif (PWP), penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA), pempercepatan kelulusan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah pemulihan ekonomi Malaysia.
Pada masa yang sama, Benjamin berkata, kepimpinan dan kecerdasan politik Perdana Menteri dalam menguruskan ketidakpuasan awam, termasuk kesan reformasi ekonomi ini terhadap rakyat terutamanya dari segi kos sara hidup akan menjadi penentu penting kejayaan jangka panjang dasar ekonomi beliau.
Seterusnya, masa depan ekonomi Malaysia berpotensi membolehkan Malaysia menjadi teladan untuk negara-negara lain yang menavigasi pemulihan pasca-pandemik dan transformasi struktur yang serupa.
Pengiktirafan dari agensi penarafan kredit antarabangsa dan pakar kepimpinan antarabangsa adalah petunjuk paling jelas bahawa dasar-dasar ekonomi Perdana Menteri betul dan perlu diteruskan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ziad Sulaiman ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).










