PENDIDIKAN, yakni pengajaran dan pembelajaran, dalam bahasa ibunda, yang juga disokong oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) adalah hanya antara program yang digunakan di beberapa tempat sahaja, termasuk Malaysia.
Dengan ini, ia bukan satu-satunya, apatah yang terbaik pula. Ini kerana sebilangan besar kanak-kanak di seluruh dunia yang kemudiannya amat berjaya dalam pendidikan, tidak pernah pun belajar dalam bahasa ibunda mereka.
Hal ini dapat dilihat juga di negara ini di Sekolah Kebangsaan (SK) yang mana anak bukan Melayu, seperti Cina misalnya, sama-sama berjaya, malah ada yang jauh cemerlang daripada anak Melayu sendiri. Dengan ini, pandangan mutlak bahawa belajar dalam bahasa ibunda adalah cara terbaik adalah tidak tepat.
Justeru ia tidak boleh bukan sahaja digunakan lagi sebagai kebenaran yang tiada kekecualian langsung. Juga sebagai dalil lengkap untuk mewajarkan kewujudan sekolah vernakular sebagai entiti patut dan harus di negara ini.
Berhubung dengan isu sekolah vernakular, ia sebenarnya tiada apa-apa masalah akademik pun dari segi program pendidikan sebegitu, iaitu anak kecil diajar dalam bahasa ibunda bagi membantu pembelajaran mereka.
Malah ia didapati sangat membantu sesetengah murid di peringkat awal untuk mula menerima ilmu apabila memahami bahasa ibunda mereka sahaja.
Masalahnya adalah isu sosial. Ini kerana sifat sekolah vernakular itu sendiri yang hanya diperuntuk untuk etnik tertentu semata-mata. Walaupun kini Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dihadiri dengan ramainya oleh murid bukan Cina, ia masih bersifat sekolah Cina. Hal ini sedemikian kerana SJKC adalah tempat anak Cina khususnya, mahu diajar untuk mendalami warisan Cina totok melalui bahasa yang ada kaitan rapat dengan budaya.
Dengan ini, anak Cina yang belajar di SJKC rata-ratanya didapati konservatif sekurang-kurangnya dan cauvinis pada ekstremnya terhadap warisan Cina.
Dalam hal ini, bukan sahaja mereka ini agresif, juga bersikap tidak munasabah dalam mempertahan etnisiti dan budaya Cina, waima dalam negara yang sudah ada tuannya sewaktu etnik Cina mula-mula mendatanginya lagi.
Selain ini, walaupun dengan enrolmen murid bukan Cina yang agak tinggi, interaksi bebas lagi bermakna secara umumnya didapati tidak berapa berlaku seperti yang sepatutnya.
Ini antaranya adalah kerana faktor minoriti-majoriti yang tidak dapat dinafikan terus-terusan wujud pada semua peringkat.
Dengan adanya kesedaran bahawa sekolah vernakular ada masalahnya dari segi sosial, menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama mengatasinya. Ia tidak boleh lagi sesekali cuba ditiadakan dengan hujah berdasarkan prinsip pendidikan semata-mata.
Antaranya anjuran UNESCO yang didakwa etnik Cina sebagai hak, yang sebenarnya adalah keistimewaan sahaja.
Sebenarnya sekolah vernakular tidak akan sesekali dikecam dan ditentang kalau langsung tiada isu. Untuk SJKC, ia memang bermasalah semenjak dahulu lagi, iaitu zaman penjajahan sehinggalah ke hari ini.
Ini kerana masalah yang dihadapi mereka tidak pernah mahu diselesaikan dengan sepenuhnya oleh etnik Cina berdasarkan saranan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Sehubungan ini, boleh dikatakan kesemua saranan kerajaan dicurigai sebagai langkah licik etnik Melayu untuk akhirnya menghapuskan sekolah vernakular. Ia didakwa bermula dengan cara perlahan-lahan untuk menghakiskan identiti sekolah vernakular melalui saranan itu.
KAJIAN
Sebenarnya sistem pendidikan negara seperti yang didesak banyak pihak, harus dikaji semula untuk memperkasanya.
Antaranya termasuklah keberadaan sekolah vernakular yang ditanggapi sebagai penghalang perpaduan, kalau tidak pun antinasional. Dengan adanya kajian semula ini, isu sekolah vernakular dari segi sudut sosial itu akan terjawab.
Ia yang disangkal bukan sahaja sepenuhnya, juga dengan keras oleh etnik bukan Melayu, khususnya Cina, sebenarnya tidak perlu dibimbangi langsung akan keberadaannya.
Malah ia sama sekali tidak harus dikhuatiri kalau sekolah vernakular itu berada pada landasan tepat dalam aspek sosial yang ditanggapi menjadi isu selama ini.
Sebetulnya kajian semula ini akan dapat menoktahkan tanggapan negatif terhadap sekolah vernakular sebagai institusi pendidikan yang memecahbelahkan.
Dengan ini, enrolmen tinggi murid bukan Cina, lebih-lebih lagi Melayu, yang dilaungkan sebagai kelebihan itu, akan dapat dirungkai secara jitu lagi menyakinkan.
Ini penting sekali untuk mengesahkan SJKC sebagai tempat yang menyatupadukan dan bukan sesekali yang sebaliknya.
Dalam hal ini, etnik Cina khususnya hendaklah berpegang kepada falsafah peribahasa Melayu, ‘berani kerana benar takut kerana salah’. Oleh itu, mereka hendaklah bersetuju untuk bekerjasama dalam kajian semula ini.
Untuk ini, SJKC hendaklah ditaksir untuk mengesahkannya sebagai institusi terbaik kini dari pelbagai segi seperti yang mereka dakwa. Antara yang terpenting sebagai wadah perpaduan unggul melalui enrolmen yang tinggi itu.
Kesanggupan etnik Cina dalam hal ini sangat dialu-alukan, malah wajib untuk bukan sahaja menegakkan kebenaran tentang keberadaan SJKC sebagai positif, juga bagi menyakinkan pihak yang mencurigainya.
Dengan ini, isu sekolah vernakular dianggap selesai dan tidak harus diungkit lagi. Ini kerana ia akhirnya dapat dinoktahkan dengan fakta jitu lagi absah daripada hasil kajian semula itu.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










