Kahwin dulu, tunang kemudian?

Kahwin dulu, tunang kemudian?

SECARA tradisi, orang Hindu menganggap tarikh perkahwinan yang sah mengikut agama dan adat apabila ketika pengantin lelaki mengikat taali pada leher pengantin wanita. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDA mungkin pernah menyaksikan jiran atau kenalan beragama Hindu mendaftar perkahwinan beberapa bulan sebelum mengadakan majlis pertunangan.

Hampir enam bulan selepas itu pula barulah majlis perkahwinan mengikut adat India-Hindu diadakan di kuil atau dewan.

Urutan seperti ini pasti mengundang pertanyaan dan rasa hairan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Pasangan itu secara teknikal bertunang selepas berkahwin.

Secara tradisional, amalan dalam budaya Hindu hampir serupa dengan amalan dalam budaya Melayu. Proses bermula dengan merisik, diikuti meminang dan pertunangan.

Kemudian barulah upacara perkahwinan yang akan disempurnakan (consummate) pula dengan malam pertama yang dipanggil shanti muhurtam. Proses ini dihurai secara terperinci dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, proses dan urutan perkahwinan bagi orang bukan Islam berubah apabila Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 6 Mac 1976.

Undang-undang itu yang dikenali sebagai Akta 164 dan merangkumi proses pendaftaran perkahwinan sivil bagi orang bukan Islam dikuat kuasa pada 1 Mac 1982.

Ibu bapa saya berkahwin mengikut adat Malayali-Hindu pada 1961. Saya masih ingat bagaimana pada pertengahan 1980-an, mereka dan ramai jiran India-Hindu di Aulong Lama, Taiping mendaftar semula perkahwinan mengikut Seksyen 33, Akta 164.

Dalam hal ini, kita perlu faham bahawa Akta 164 memperakukan serta mengesahkan perkahwinan bukan Islam yang disempurnakan mengikut upacara adat dan agama sebelum tarikh akta itu berkuat kuasa. Pendaftaran semula adalah secara sukarela.

Akta perkahwinan sivil ini menetapkan syarat perkahwinan orang bukan Islam bersifat monogami iaitu hanya ada seorang suami atau isteri. Kahwin semula hanya dibenarkan jika sudah bercerai secara sah atau jika pasangan meninggal dunia.

Mungkin ada kes orang yang sudah berkahwin di bawah Akta 164, melangsungkan pula perkahwinan dengan pasangan baharu di Malaysia atau luar negara mengikut adat, agama atau budaya. Sebenarnya, perbuatan ini salah di bawah Seksyen 494 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, kita perlu faham beberapa peruntukan Akta 164 yang selaras budaya dan adat orang India-Hindu. Misalnya, mengikut Seksyen 11, seorang lelaki Hindu dibenarkan berkahwin dengan anak perempuan kepada saudara perempuannya, iaitu berkahwin dengan anak saudara perempuan.

Dalam budaya Hindu juga, seorang gadis dibenarkan berkahwin dengan adik lelaki atau abang kepada ibunya, iaitu berkahwin dengan bapa saudara sebelah ibu.

Realiti budaya ini ada saya ketengahkan dalam cerpen Nayagi yang menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP pada 1992.

Proses pendaftaran perkahwinan sivil di Malaysia lebih mudah jika pasangan itu sudah berumur genap 21 tahun dan masih bujang. Jika berstatus duda, janda atau balu, perlu mengemukakan dokumen bagi mengesahkan status itu sebelum pendaftaran perkahwinan baharu diluluskan.

Seksyen 10, Akta 164 menetapkan bahawa jika pengantin perempuan sudah genap umur 16 tahun tetapi belum mencapai 18 tahun, maka perlu ada surat akuan bersumpah kebenaran berkahwin daripada ibu, bapa atau penjaga.

Bagi pengantin lelaki berumur antara 18 hingga 21 tahun, perlu mendapatkan izin bertulis daripada ibu, bapa atau penjaga. Dia juga perlu mengemukakan slip gaji atau penyata kewangan sebagai bukti mampu menanggung anak-isteri.

Kita perlu faham bahawa mengikut undang-undang, tarikh perkahwinan itu didaftar merupakan tarikh perkahwinan rasmi atau sah. Apabila mengisi apa-apa borang yang bertanyakan tarikh perkahwinan, itulah tarikh yang perlu dinyatakan.

Secara tradisi, orang Hindu menganggap tarikh perkahwinan mengikut agama dan adat di mana pengantin lelaki mengikat taali pada leher pengantin wanita sebagai tarikh perkahwinan yang sah.

Akan tetapi, pasangan itu perlu ingat bahawa apabila si isteri mengandung dan masuk wad serta apabila memohon sijil kelahiran anak, tarikh perkahwinan mestilah tarikh pendaftaran perkahwinan sivil dan bukannya tarikh taali diikat.

Dengan adanya Akta 164, proses perkahwinan orang bukan Islam di Malaysia diubah suai sedikit. Biasanya orang Hindu mengadakan pendaftaran perkahwinan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) sebelum upacara mengikut adat di kuil.

Sebenarnya, undang-undang memberi kebenaran kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan mengupacarakan (mengesahkan) pendaftaran perkahwinan sivil di luar bangunan JPN.

Tempat pendaftaran perkahwinan sivil yang dibenarkan termasuk rumah, hotel, dewan serbaguna, tempat peranginan dan restoran. Bagaimanapun, tidak dibenarkan di tempat berisiko tinggi seperti pantai berombak, bangunan tinggi dan hospital.

Jika mahu mengadakan upacara pendaftaran perkahwinan sivil di kuil, gereja atau persatuan agama, wajib memastikan turut diadakan majlis perkahwinan mengikut adat dan agama di khalayak ramai.

Portal rasmi JPN menegaskan tindakan akan diambil ke atas Penolong Pendaftar Perkahwinan yang hanya menjalankan pendaftaran perkahwinan sivil tanpa upacara perkahwinan mengikut adat/agama.

Biasanya, apa yang akan dilakukan ialah upacara perkahwinan mengikut adat dan agama dijalankan di kuil. Selepas taali diikat, pasangan itu akan mendaftar perkahwinan sivil di tempat sama di hadapan Penolong Pendaftar Perkahwinan.

Secara tradisi, urutan dalam perkahwinan Hindu ialah meminang, bertunang dan berkahwin. Upacara perkahwinan sivil mengikut Akta 164 paling ideal diadakan antara bertunang dan berkahwin. Boleh juga diadakan bersama tarikh pertunangan atau bersama majlis perkahwinan.

Bagaimana jika upacara meminang, bertunang dan berkahwin mengikut adat dan agama Hindu, Kristian, Sikh atau Buddha mahu ditiadakan langsung dan hanya mahu mengadakan upacara pendaftaran perkahwinan sivil?

Memang dibolehkan kerana pendaftaran perkahwinan sivil sahaja diterima sebagai dokumen sah bagi orang bukan Islam di Malaysia mengikut Akta 164.

Jika ada sebarang kemusykilan, segeralah pergi ke pejabat JPN atau layari portal rasmi untuk mendapatkan jawapan tepat dan sahih.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN