KANAK-KANAK dengan gangguan spektrum autisme (ASD) biasanya mempunyai masalah interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku mencabar.
Mereka sering menghadapi kesukaran dalam memahami dan menggunakan isyarat sosial seperti kontak mata dan ekspresi wajah.
Selain itu, kanak-kanak dengan autisme mungkin mengalami kesukaran dalam kemahiran komunikasi secara lisan dan bukan lisan.
Tingkah laku berulang dan terhad, seperti mengulang-ulang perkataan atau tindakan tertentu juga merupakan antara cabaran yang dihadapi.
Contohnya, seorang kanak-kanak mungkin mengamuk jika rutin harian berubah atau jika tidak dapat meluahkan sesuatu keperluan atau kehendak dengan jelas.
Keadaan ini memerlukan intervensi terapi yang berterusan, bukan hanya dari ahli terapi profesional tetapi juga dari ibu bapa yang berperanan besar dalam kehidupan seharian anak-anak mereka.
Intervensi yang dimediasi oleh ibu bapa (parent mediated intervention) adalah pendekatan apabila ibu bapa dilatih untuk menjadi agen utama dalam intervensi terapi untuk anak-anak autisme.
Kepentingan pemerkasaan ibu bapa dalam konteks ini tidak dapat dinafikan malah memberi pengetahuan dan kemahiran untuk mengendalikan masalah interaksi sosial, komunikasi serta tingkah laku mencabar dalam kalangan anak-anak mereka.
Ibu bapa yang terlatih dapat mengenal pasti dan bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap keperluan anak, sekali gus meningkatkan kualiti hidup seluruh keluarga.
Ibu bapa boleh menggunakan teknik yang dipelajari untuk membantu anak dalam berkomunikasi dengan lebih berkesan, mengurangkan tingkah laku mencabar dan meningkatkan kemahiran sosial anak.
Ini boleh dilakukan dengan kerjasama erat antara ibu bapa dan ahli profesional kesihatan seperti ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan dan ahli psikologis klinikal.
Peranan ibu bapa termasuklah membina dan mengukuhkan hubungan dengan anak-anak, memantau dan membantu dalam proses penilaian perkembangan selain menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan emosi dan mental anak di rumah sewaktu terapi dijalankan.
Sebagai contoh, ibu bapa perlu memastikan bahawa rumah adalah tempat yang selamat dan dapat menyokong perkembangan anak-anak.
Sementara itu, peranan ahli profesional kesihatan adalah untuk melatih dan membimbing ibu bapa, merancang dan menyusun program intervensi, memantau dan membuat penilaian kemajuan dengan komprehensif selain memberi sokongan emosi serta motivasi kepada ibu bapa.
Ibu bapa perlu diberikan sokongan emosi dan motivasi secara berterusan kerana menjalankan terapi untuk anak di rumah bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan boleh menyebabkan mereka merasa tertekan dan terbeban.
Oleh itu, kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak ini dapat memastikan bahawa intervensi yang dilaksanakan berkesan, berterusan dan menyokong emosi ibu bapa.
Pemerkasaan ibu bapa mestilah berpusatkan keluarga, dengan intervensi yang disarankan mudah diaplikasikan di rumah.
Ini bermakna intervensi harus disesuaikan dengan rutin harian keluarga dengan mengambil kira keperluan serta kemampuan ibu bapa.
Melalui pendekatan berpusatkan keluarga, ibu bapa dapat melaksanakan intervensi dalam persekitaran yang selesa bagi anak-anak, yang mana ini boleh meningkatkan keberkesanan intervensi tersebut.
Teknik-teknik yang diajarkan haruslah mudah difahami dan diaplikasikan dalam aktiviti harian seperti waktu makan, bermain dan waktu tidur.
Ini memastikan bahawa intervensi tersebut dapat dijalankan secara konsisten dan berterusan, sekali gus memberikan impak yang lebih besar kepada perkembangan anak.
Untuk memperkasakan ibu bapa, ahli profesional kesihatan perlu mengajar teori-teori berkaitan dengan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku positif.
Ibu bapa juga perlu diberi latihan praktikal oleh ahli profesional kesihatan agar teknik yang dilaksanakan kelak berkesan dan menepati matlamat yang ingin dicapai.
Latihan ini boleh melibatkan sesi langsung dengan ibu bapa dan anak-anak berinteraksi di bawah pengawasan ahli profesional kesihatan, serta sesi latihan dalam talian yang lebih fleksibel dari segi masa dan lokasi.
Bimbingan berterusan adalah penting agar ibu bapa dapat meningkatkan perkembangan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.
BIMBINGAN SECARA MAYA
Di zaman teknologi yang canggih ini, bimbingan boleh dibuat secara maya kerana perjumpaan secara fizikal memakan kos dan tenaga.
Sesi bimbingan maya melalui panggilan video atau webinar dapat memberikan sokongan yang sama berkesannya dengan sesi bimbingan fizikal, tetapi dengan kos yang lebih rendah dan menjimatkan tenaga.
Pemerkasaan melalui dimediasi oleh ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan perkembangan kanak-kanak dengan autisme.
Pendekatan ini tidak hanya membantu dalam meningkatkan kemahiran interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku positif, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak.
Selain itu, terdapat bukti yang kukuh bahawa pendekatan ini adalah salah satu pendekatan terkini dan paling berkesan dalam bidang pemulihan kanak-kanak dengan autisme.
Oleh itu, penting bagi semua pihak, termasuk ibu bapa dan ahli profesional kesihatan untuk bekerjasama dalam usaha menggalakkan perkembangan kanak-kanak dengan autisme melalui pemerkasaan ibu bapa.
Dengan latihan dan sokongan yang tepat, ibu bapa dapat menjadi agen perubahan yang efektif dalam kehidupan anak-anak sekali gus memberikan mereka peluang terbaik untuk berkembang dan mencapai potensi yang penuh.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Ahmad Zamir Che Daud ialah Koordinator Penerbitan, Perundingan dan Kecemerlangan di Pusat Kajian Terapi Carakerja, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










