Bahasa Arab ‘kunci’ fahami prinsip syariah dalam kewangan Islam

Bahasa Arab ‘kunci’ fahami prinsip syariah dalam kewangan Islam

MEMAHAMI bahasa Arab penting dalam aplikasi kontrak kewangan Islam yang mematuhi prinsip-prinsip syariah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia kewangan yang semakin kompleks dan global, penguasaan bahasa Arab memainkan peranan penting dalam memastikan pemahaman yang tepat terhadap kontrak kewangan Islam.

Kewangan Islam yang berlandaskan prinsip syariah memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap sumber-sumber utama seperti al-Quran dan hadis, yang ditulis dalam bahasa Arab. Terdapat pelbagai istilah-istilah kewangan dalam bahasa Arab yang diguna pakai dalam kontrak kewangan Islam.

Kewangan Islam berdasarkan prinsip syariah yang mengharamkan riba (faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian). Prinsip-prinsip ini ditegaskan dalam al-Quran dan hadis dalam bahasa Arab. Oleh itu, penguasaan bahasa tersebut penting untuk memahami sepenuhnya maksud dan implikasi prinsip-prinsip ini.

Salah satu kontrak kewangan Islam yang popular adalah murabahah, iaitu jual beli dengan penambahan keuntungan yang diketahui. Dalam kontrak ini, bank membeli aset atas permintaan pelanggan dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga yang termasuk keuntungan yang telah dipersetujui. Kontrak ini memerlukan pemahaman mendalam tentang istilah dan konsep yang digunakan.

Banyak istilah khusus yang tidak mempunyai padanan langsung dalam bahasa lain. Istilah seperti mudarabah (perkongsian keuntungan), musharakah (perkongsian modal), ta’widh (pampasan) dan ijarah (sewaan) adalah contoh istilah yang mempunyai konotasi khusus dalam konteks syariah. Memahami istilah-istilah ini penting untuk memastikan bahawa kontrak yang dibuat benar-benar sah di sisi syariah.

Dalam masa yang sama, pengaruh fatwa dan keputusan ulama adalah panduan penting dalam kewangan Islam. Kebanyakan fatwa ditulis mengandungi tafsiran yang mendalam tentang hukum-hukum syariah berkaitan dengan kewangan. Tanpa penguasaan bahasa Arab, memahami dan mengaplikasikan fatwa ini dalam kontrak kewangan akan menjadi cabaran besar.

Sebagai contoh, fatwa tentang larangan gharar dalam kontrak kewangan memerlukan pemahaman tentang ketidakpastian yang dimaksudkan dalam konteks syariah, yang hanya boleh difahami sepenuhnya melalui bahasa Arab.

Umum mengetahui bahawa pengetahuan dan kefahaman bahasa ini dalam kontrak kewangan Islam jarang dibincangkan namun bagi mendepani keadaan ini, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kewangan Islam sering menawarkan kursus yang diajar dalam bahasa Arab supaya lebih ramai berminat untuk mempelajarinya. Ini kerana bahan-bahan rujukan utama dan teks yang digunakan dalam pengajaran ditulis dalam bahasa Arab.

Selain itu, seminar dan persidangan antarabangsa tentang kewangan Islam juga sering kali diadakan dalam bahasa Arab. Oleh itu, penguasaan bahasa Arab adalah penting bagi pelajar dan profesional yang ingin mendalami ilmu kewangan Islam.

Memahami bahasa Arab membolehkan para profesional kewangan Islam untuk merujuk dan menginterpretasikan sumber-sumber utama ini dengan tepat dan mendalam. Kefahaman yang mendalam terhadap bahasa itu memastikan ketepatan dalam menafsir dan mengaplikasikan istilah-istilah ini, mengelakkan sebarang penafsiran yang salah atau tidak tepat.

Di samping itu, komunikasi yang efektif menjadi lonjakan dalam memahami bahasa Arab dengan baik. Hal ini memudahkan komunikasi dengan pelbagai pihak yang menggunakan bahasa ini dalam konteks kewangan Islam, termasuk ahli-ahli ulama, pakar kewangan dan komuniti Islam secara umum. Ini penting dalam proses negosiasi, konsultasi dan penerangan terhadap kontrak-kontrak yang kompleks.

Dalam masa yang sama, keselarasan dengan prinsip-prinsip syariah juga perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Prinsip kewangan Islam terutamanya berasaskan nilai syariah memerlukan kefahaman yang membolehkan profesional kewangan Islam memastikan keselarasan kontrak tanpa mengabaikan nuansa atau perbezaan yang mungkin terdapat dalam terjemahan.

Perkara yang paling penting ialah penguasaan terhadap ini merupakan satu penghormatan terhadap warisan intelektual. Memahaminya menunjukkan penghargaan yang mendalam terhadap warisan intelektual ini serta kesungguhan dalam mempelajari dan mengembangkan bidang kewangan Islam.

Dengan demikian, memahami bahasa Arab bukan hanya sekadar kemahiran linguistik, tetapi juga merupakan asas kefahaman yang penting dalam aplikasi kontrak kewangan Islam yang mematuhi prinsip-prinsip syariah. Kebolehan ini tidak hanya meningkatkan profesionalisme, tetapi juga mengukuhkan integriti dalam industri kewangan Islam global.

SAH DI SISI SYARIAH
Ironinya, dalam dunia yang semakin global dan kompleks, penguasaan bahasa Arab menjadi semakin penting dalam memahami dan mengamalkan kewangan Islam.

Penguasaan bahasa Arab juga membolehkan individu untuk mengakses fatwa dan panduan ulama dengan tepat serta mengikuti perkembangan terkini dalam bidang kewangan Islam melalui pendidikan dan latihan yang disediakan dalam bahasa ini. Oleh itu, amat penting bagi mereka yang terlibat dalam kewangan Islam, sama ada sebagai pelajar, profesional, atau ahli akademik untuk menguasai bahasa Arab.

Dengan penguasaan ini, mereka bukan sahaja dapat memahami kontrak kewangan Islam dengan lebih mendalam, tetapi juga dapat memastikan bahawa setiap urusan kewangan yang dilakukan adalah sejajar dengan prinsip-prinsip syariah, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang adil dan beretika.

Secara kritis, pengabaian penguasaan bahasa Arab dalam kewangan Islam boleh membawa kepada salah tafsir dan pelanggaran prinsip syariah yang merugikan umat Islam secara keseluruhannya.

Oleh itu, inisiatif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab perlu diberi penekanan dalam usaha membangunkan sektor kewangan Islam yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.-UTUSAN

 

Mohamed Aliff Asyraf Mohamed ialah Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Profesor Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×