DORTMUND: Turkiye mahu mengekalkan momentum cemerlang di Euro 2024 dengan menjadikan Portugal sasaran kedua yang perlu ditewaskan untuk menempah slot awal ke pusingan 16 terbaik.
Didorong oleh kemenangan pembukaan Euro 2024 dan sokongan padu daripada peminat bersemangat mereka, Turkiye akan cuba mengekalkan momentum apabila mereka menentang Portugal di Dortmund BVB Stadion, esok.
Portugal terpaksa berusaha keras untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dengan gol kemenangan dihasilkan pada masa kecederaan oleh pemain gantian Francisco Conceicao dalam perlawanan pertama Kumpulan F.
Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai skuad kendalian Roberto Martinez selaku antara pasukan pilihan di Jerman selepas prestasi sempurna dalam kelayakan dengan 10 kemenangan dan masih mempunyai khidmat Cristiano Ronaldo.
Berdepan dengan harapan yang tinggi, pasukan Martinez bergelut menentang Czech yang berdisiplin dan bakal berdepan Turkiye juga lawan sukar selepas meraih motivasi dengan memenangi perlawanan sengit bertemu Georgia.
Sementara itu, puluhan ribu penyokong Turkiye yang memakai baju merah bersempena dengan bendera negara itu mencetuskan suasana riuh rendah pada aksi pembukaan dan lebih ramai lagi dijangka turun untuk perlawanan esok.
Hampir tiga juta orang yang mempunyai darah Turkiye tinggal di Jerman, berikutan gelombang penghijrahan yang bermula pada 1960-an.
Kapten Jerman, Ilkay Gundogan mempunyai pertalian darah Turkiye, manakala pemain tengah Turkiye, Salih Ozcan dilahirkan di Cologne dan bermain untuk Borussia Dortmund.
Bintang yang semakin meningkat dalam pasukan Vincenzo Montella di Turkiye ialah pemain remaja Real Madrid, Arda Guler, yang dilahirkan di pinggir Ankara, yang menjadi pemain termuda menjaringkan gol pada penampilan sulungnya di Euro pada usia 19 tahun dan 114 hari, mengatasi rekod Ronaldo hasil rembatan jarak jauh dalam kemenangan 3-1 menentang Georgia.
Guler belum dilahirkan ketika Ronaldo yang berusia 19 tahun menjaringkan gol ketika menentang Greece di Euro 2004 di negara kelahirannya dan masih bayi apabila Pepe menyertai Real Madrid pada 2007.
Perlawanan esok akan menjadi pertembungan generasi dengan Turkiye cuba mengejutkan pasukan Portugal yang dibarisi pemain berbakat dan memerlukan kemenangan meyakinkan.
Dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F, Türkiye akan berdepan Republik Czech manakala Portugal akan berdepan Georgia. – AGENSI/UTUSAN
TURKIYE
Jurulatih: Vincenzo Montella
Formasi: 4-5-1
Penjaga Gol: Mert Gunok
Penjaga gol: Ugurcan Cakir
Pertahanan: Mert Muldur, Samet Akaydin, Abdulkerim Bardakci, Ferdi Kadioglu
Tengah: Salih Ozcan, Hakan Calhanoglu, Arda Guler, Orkun Kokcu
Penyerang: Kenan Yildiz, Baris Yilmaz
PORTUGAL
Jurulatih: Roberto Marinez
Formasi: 3-5-2
Penjaga gol: Diogo Costa
Pertahanan: Pepe, Ruben Dias, Nuno Mendes
Tengah: Joao Palhinha, Vitinha, Bruno Fernandes, Bernardo Silva, Ruben Neves
Penyerang: Rafael Leao, Cristiano Ronaldo










