PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PKR dari Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Abidin Ismail.
Walaupun terdapat perbezaan yang ketara dari segi kelayakan akademik antara kedua-dua calon, dengan Dr. Joohari mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dan Abidin, jika betul dikatakan hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya beliau dijangka akan memenangi PRK ini.
Ini kerana antarnya Abidin, walaupun tidak berkelulusan tinggi tetapi mempunyai hubungan yang kukuh dengan komuniti setempat di Sungai Bakap. Sebagai anak jati kawasan ini dan pegawai khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau telah lama berkhidmat dan memahami keperluan serta aspirasi pengundi.
Hubungan peribadi yang rapat dan kehadiran yang berterusan dalam kalangan penduduk setempat di saat mereka memerlukan bantuan memberikan beliau kelebihan dalam mendapatkan sokongan padu dari pengundi berbanding Joohari yang baharu terjun dalam dunia politik.
Walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, Abidin menunjukkan keterampilan dan kepimpinan yang berkesan dalam peranan sebagai pegawai khas kepada bekas ADUN sebelum ini. Isu-isu tempatan tidak rumit sehingga memerlukan kelulusan tinggi.
Pengalaman praktikal Abidin dalam menangani isu-isu tempatan dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan penduduk Sungai Bakap memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa beliau akan mampu menjalankan tugas sebagai ADUN dengan cekap.
Kelebihan Abidin yang tidak mempunyai latar belakang akademik tinggi adalah sentuhan peribadinya yang lebih dekat dengan rakyat biasa. Tiada jurang antara beliau dengan kebanyakan penduduk Sungai Bakap yang rata-rata tidak mempunyai latar belakang akademik tinggi.
Abidin lebih diterima oleh pengundi yang merasakan seorang wakil rakyat harus memahami kehidupan dan cabaran harian mereka. Calon seperti Abidin dilihat lebih mudah didekati dan berempati dengan masalah sebenar pengundi kerana beliau menghadapi masalah sama.
PN telah menunjukkan keupayaan untuk menjalankan kempen yang berkesan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya kecil (PRK), khasnya di kawasan pengundi majoriti Melayu.
Dengan kekuatan jentera akar umbi Pas dan sokongan padu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), pengalaman luas Datuk Seri Mohamad Sanusi Md. Nor sebagai Pengarah Pilihan Raya PN, serta strategi kempen yang mantap memungkinkan Abidin mempunyai kelebihan ke atas Joohari.
Dalam konteks kerusi DUN, pengalaman praktikal dan kemampuan untuk memberi perkhidmatan sering kali lebih dihargai berbanding kelayakan akademik. Sebab itu kita dapat melihat ramai ADUN yang berjaya di Malaysia walaupun tanpa kelayakan akademik.
Peranan ADUN berbeza dari ahli Parlimen yang perlu memahami isu-isu yang rumit untuk membahaskan dasar-dasar negara tetapi tugas ADUN adalah untuk menjaga kepentingan dan menyantuni penduduk serta menyelesai dan menyuarakan masalah mereka sahaja.
Pengundi di Sungai Bakap melihat Abidin sebagai calon yang lebih memahami masalah dan lebih komited serta bersedia untuk bertindak segera membantu mereka berbanding seorang calon yang lebih akademik tetapi kurang berpengalaman dalam isu-isu tempatan.
Joohari sendiri menyebut beliau menjadi calon kerana terpaksa, bukan atas kehendak sendiri. Faktor keterpaksaan ini boleh mengurangkan motivasi dan komitmen beliau untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi berbanding Abidin yang sudah sedia berkhidmat.
KEMARAHAN RAKYAT
Dalam suasana sekarang, Kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) sedang menghadapi kemarahan banyak pihak atas pelbagai isu. Rakyat umum terkesan dengan banyak laporan mengenai kedudukan ekonomi, daya saing dan tadbir urus negara serta hak asasi manusia yang merudum di peringkat antarabangsa.
Ini diperburukkan lagi oleh kenaikan kadar inflasi sebanyak dua peratus pada bulan Mei dan dijangka naik pada masa depan serta kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang semacam tidak terkawal selepas pengenalan dasar subsidi bersasar diesel dibuat pada 10 Jun lalu.
Umat Islam pula begitu marah atas kedegilan kerajaan mahu meneruskan kelulusan untuk sebuah syarikat penyokong Israel, BlackRock, memperoleh 25 peratus pegangan saham (melalui anak syarikat milik penuh GIP) dalam penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Kita dapat saksikan golongan yang selama ini menyokong kerajaan seperti Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), juga menentang kerajaan.
Jadi, walaupun Joohari mempunyai kelebihan dari segi kelulusan akademik, faktor-faktor seperti hubungan peribadi yang kukuh dengan pengundi, pengalaman praktikal, sokongan padu dari jentera PN dan kekuatan isu nasional memberi Abidin kelebihan dalam PRK Sungai Bakap.
Sentuhan peribadi, kemampuan untuk berhubung dengan pengundi, pengalaman yang luas dalam menangani isu-isu tempatan dan keupayaan untuk menawarkan penyelesaian praktikal kepada masalah tempatan dijangka akan menjadi faktor penentu dalam kemenangan Abidin.
Pulau Pinang tidak memerlukan seorang lagi yes man (pak turut) dalam kalangan ADUN PH-BN. Apa yang diperlukan ialah pemimpin yang mampu untuk berhubung dengan pengundi serta membantu menyuara dan menyelesaikan masalah. Orang terbaik yang boleh melakukannya ialah Abidin.-UTUSAN
DR. Mukhtaruddin Musa ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL).










