Salur penjimatan subsidi kepada pemerkasaan pendidikan

Salur penjimatan subsidi kepada pemerkasaan pendidikan

WANG daripada penjimatan penyasaran subsidi sewajarnya disalurkan untuk membina kemudahan terbaik bertaraf dunia di sekolah-sekolah sedia ada bagi memberi keselesaan kepada pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 9 Jun lalu, legenda pemain tenis terulung dunia, Roger Federer diberi penghormatan oleh Kolej Dartmouth untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Kemanusiaan. Kolej Dartmouth adalah sebuah kolej berprestij di Amerika Syarikat (AS) yang dikategorikan sebagai Ivy League.

Dalam pidato atau ucapannya, Roger menyatakan betapa pentingnya usaha berterusan. Malah, baginya adalah satu mitos bagi yang menyatakan bahawa kejayaan boleh dicapai tanpa usaha.

Apa yang diucapkannya sememangnya benar. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pensyarah dan penyelia kepada para pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD), rata-ratanya dalam kalangan mereka yang berusaha gigih akan berjaya menamatkan pengajian.

Misalnya, salah seorang pelajar luar negara dari Yaman di bawah seliaan saya begitu gigih untuk menghabiskan penyelidikan PhDnya dengan berusaha mendalami bahasa Inggeris kerana mengetahui dirinya tidak begitu fasih bahasa berkenaan. Kini, beliau sudah bergelar doktor falsafah dan berjaya menerbitkan beberapa artikel dalam jurnal berkualiti tinggi dalam bahasa Inggeris.

Begitu juga, seorang bekas pelajar ijazah sarjana muda yang diajar oleh saya pada 2006 berjaya menamatkan pengajian PhD, baru-baru ini. Apa yang uniknya, bekas pelajar saya ini melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD secara separuh masa. Bukan mudah untuk belajar secara separuh masa untuk ketiga-tiga peringkat pengajian.

Satu lagi contoh adalah pelajar ijazah sarjana muda yang sedang diajar oleh saya ketika ini. Pelajar ini sangat cekal dalam menuntut ilmu meskipun merupakan pesakit kanser tahap empat. Ini antara sebahagian kisah pelajar yang sangat cekal mencari dan menuntut ilmu termasuklah kisah pelajar PhD yang sanggup berulang-alik dari Lembah Klang ke Sintok, Kedah pada setiap minggu semata-mata untuk menuntut ilmu. Mereka tetap gigih mencari ilmu meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Dalam hal ini, saya berasakan semua individu di Malaysia berhak menuntut ilmu secara adil dan saksama tidak kiralah apa jua latar belakang mereka. Ini kerana dalam konteks persekolahan, setiap kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, rata-ratanya pelajar yang cemerlang adalah pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ini sememangnya sudah dijangka pada setiap tahun. Hal ini berlaku sedemikian rupa kerana umum mengetahui sekolah-sekolah sebegini dikategorikan sebagai sekolah elit yang memiliki kelebihan jauh lebih baik berbanding sekolah-sekolah harian biasa terutamanya yang berada di pedalaman.

Di Malaysia, terdapat ribuan sekolah menengah, maka adalah wajar semua sekolah ini diangkat kualiti pendidikan, kemudahan dan persekitarannya pada tahap yang terbaik seperti SBP dan MRSM. Semua pelajar berhak mendapatkan kualiti pendidikan yang saksama tidak kiralah mereka menetap di bandar-bandar besar mahupun di kawasan-kawasan luar bandar.

Sebagai alumni salah sebuah SBP Premier terawal di Malaysia, iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) di Negeri Sembilan, saya merasakan hal ini perlu diberikan keutamaan tertinggi berasaskan pengalaman sendiri yang telah mendapat pendidikan terbaik di SDAR suatu ketika dahulu.

Dalam hal ini, Belanjawan 2025 perlu mengorak langkah untuk memberi keutamaan terhadap kualiti pendidikan kepada seluruh sekolah di Malaysia. Kerajaan boleh melakukan perkara ini dengan menyalurkan dana khas untuk sekolah-sekolah pedalaman atau luar bandar.

Pada masa yang sama, guru besar, pengetua dan guru-guru terbaik dihantar untuk mentadbir sekolah-sekolah tersebut, seterusnya mengajar murid dan pelajar. Peruntukan dana khas ini adalah daripada penjimatan penyasaran subsidi yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Meningkatkan kualiti dan daya saing modal insan di seluruh negara melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah langkah jangka masa panjang untuk masa hadapan negara.

Tidak mustahil jika perkara ini dilaksanakan dengan baik, sekolah-sekolah pedalaman akan memenuhi carta sekolah-sekolah terbaik SPM pada masa akan datang mengatasi SBP dan MRSM.

SALUR SUBSIDI
Selain itu, wang daripada penjimatan penyasaran subsidi juga sewajarnya disalurkan untuk membina kemudahan-kemudahan terbaik bertaraf dunia yang akan dapat menarik lebih ramai lagi saintis-saintis terkemuka dunia termasuklah rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

Hal ini sangat penting kerana ada dalam kalangan mereka ini berbakti di universiti-universiti terkemuka di dunia kerana diberikan kemudahan yang terbaik dan serba lengkap untuk bekerja dalam bidang sains. Misalnya, anak kepada sahabat baik saya yang kini sedang bekerja sebagai saintis di Universiti Cornell. Untuk rekod, Universiti Cornell adalah antara universiti terbaik di dunia yang dikategorikan sebagai Universiti Ivy League di AS.

Justeru, dalam hal ini, kerajaan perlu mengutamakan pemerkasaan kualiti pendidikan dan menyediakan kemudahan terbaik untuk para saintis bekerja di Malaysia. Bayangkan peluang-peluang pekerjaan di Malaysia pada masa hadapan diisi dengan pekerja tempatan yang bukan setakat terbaik tetapi produktif dan cekap serta gigih berusaha untuk memacu ekonomi Malaysia.

Maka, sudah tentulah tidak ragu-ragu lagi, Malaysia berpotensi menjadi antara pemain ekonomi utama dunia yang berpengaruh seperti Roger yang meninggalkan legasinya yang tersendiri dalam dunia tenis.-UTUSAN

DR. Rohami Shafie ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Kolej Perniagaan (COB, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN