PETALING JAYA: Dua atlet olahraga Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabuoy akan mengetahui siapa yang lebih layak mendapat tiket wildcard Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berakhir Olahraga Terbuka Kazakhstan yang akan membuka tirai pada Ahad ini.
Sehingga kini, kedua-duanya belum melepasi had kelayakan ke Sukan Olimpik tetapi peluang untuk mereka merebut slot universal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih terbuka.

Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, kriteria untuk layak secara wildcard bergantung kepada keputusan muktamad jawatankuasa pemilihan KOM.
“Pada saya kedua-dua atlet mempunyai peluang cuma untuk keputusan siapa yang lebih layak itu terpulang kepada KOM untuk menilai. Mereka akan menilai prestasi semasa, rekod dicapai, dan potensi untuk bersaing di peringkat Olimpik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nazmizan, slot universal hanya diberikan untuk acara 100 meter (m), 800m dan marathon.
Pencapaian terbaik Azeem dalam musim ini 10.24 saat (s) dalam acara 100m dilihat mempunyai peluang untuk slot tersebut, namun rekod semasa Shereen tidak kurang hebatnya apabila masih segar dengan kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan dalam 400m 51.79s.
“Namun, pemilihan wildcard ini akan ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan yang dibentuk oleh KOM jika kedua-dua atlet tidak melepasi had kelayakan,” katanya.
Beliau secara peribadi melihat Shereen lebih layak berdasarkan prestasi semasa selepas mencatat rekod kebangsaan dua kali sekali gus menunjukkan peningkatan konsisten manakala Azeem perlu berada dalam kelompok di bawah 56 dunia untuk layak menerusi ranking.
“Sebaliknya, Azeem dengan catatan terbaik 10.24 saat, tidak jauh dari had kelayakan 10.09 saat. Walaupun prestasi Azeem memeberi kesan, Shereen masih dilihat sebagai calon yang lebih kukuh berdasarkan pencapaian rekod semasa.
“Namun, tiada yang mustahil dalam dunia sukan. Jika Azeem berjaya mencatat masa di bawah 10.00s, peluangnya untuk berada dalam senarai 56 terbaik juga cerah. Bagi Shereen, beliau perlu berlari di bawah 50.90s untuk mencapai kelayakan tersebut,” katanya.
Azeem sebelum ini meraih pingat emas dalam acara 100m mencatat masa 10.43s pada final 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kuantan sementara Shereen berlari dalam acara 400m dengan catatan 52.45s.
Kejohanan Terbuka Kazakhstan yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini merupakan peluang terakhir bagi kedua-dua atlet tersebut melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 Paris. – UTUSAN










