Kepesatan teknologi memincangkan kehidupan bermasyarakat

Kepesatan teknologi memincangkan kehidupan bermasyarakat

KEBERGANTUNGAN penuh terhadap teknologi yang merubah cara hidup mampu meruntuhkan institusi masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU ditelusuri sejarah, teknologi sudah pun wujud pada zaman prasejarah iaitu zaman sebelum wujudnya sistem tulisan dan teknologi terus berkembang dalam tamadun awal dunia. Sehinggalah ke hari ini, teknologi masih berkembang seiring dengan zaman serta keperluan manusia dan ia tidak akan pernah berakhir sama sekali. 

Hakikatnya, teknologi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kerana ia memudahkan pembangunan, pengurusan dan penciptaan benda baharu untuk manfaat bersama.

Walau bagaimanapun, tidak semua aspek tentang kemajuan teknologi itu baik. Kita juga harus mempertimbangkan keburukan teknologi yang mengubah cara hidup tanpa disedari. 

Menurut Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, punca fenomena ini disebabkan oleh manusia tidak menggunakan ilmu dan berdisiplin semasa berteknologi. Namun begitu, bagaimanakah ia menyebabkan berlakunya kepincangan dalam hidup bermasyarakat pada hari ini?

Pertama, kebergantungan penuh terhadap keupayaan teknologi. Terdapat banyak persoalan yang berkaitan dengan kebergantungan kepada teknologi diutarakan melalui kajian-kajian dari negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

Salah satu persoalannya ialah berapa lama masa yang digunakan oleh kita untuk berteknologi dalam sehari? Dan soalan yang paling sukar untuk dijawab ialah berapa ramai daripada kita boleh hidup selama seminggu tanpa sambungan internet atau telefon bimbit? Kebergantungan kepada kemudahan teknologi akan mengakibatkan manusia menjadi semakin lalai. 

Contohnya, jika sesiapa mahukan hiburan, mereka tidak perlu meninggalkan rumah, membuang masa dalam kesesakan jalan raya malah tidak perlu mandi atau berpakaian cantik apabila hanya boleh duduk di sofa dan melayari platform penstriman yang menyediakan pelbagai kandungan siri televisyen dan filem. Di sini wujudnya dilema kepada pengguna teknologi. Mengapa perlu melakukan perkara yang sebenar sedangkan ia hanya boleh dilakukan di rumah? 

Akibat terlalu bergantung dengan kemudahan teknologi manusia kurang bersosial antara satu sama lain di dunia nyata. Jika dahulu, sosial bermaksud bergaul dengan masyarakat di dunia nyata tetapi kini istilah itu mempunyai makna yang berbeza. Kini manusia lebih cenderung bersosial di dunia maya. 

Sepatutnya teknologi merapatkan jurang digitalisasi antara manusia di dunia tetapi kini ia terbalik. Teknologi membentuk budaya tidak suka bergaul dan ramah dengan orang di sekeliling. Masyarakat sekarang semakin jauh terpisah dengan kejiranan kerana nafsu terlalu berombak-ombak melayan ragam dunia maya. 

Kedua, mengabaikan kepentingan beragama ketika berteknologi. Agama merujuk kepada amalan dan anutan seseorang untuk mencapai kesejahteraan hidup dan mempengaruhi falsafah hidup sesebuah masyarakat. 

Rukun Negara juga, dibentuk untuk membina perpaduan masyarakat yang kukuh, memberi penekanan yang ketara kepada keagamaan dengan meletakkan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan pada tempat teratas berbanding dengan empat prinsip yang lain. 

Seterusnya, oleh sebab manusia tidak boleh hidup bermasyarakat dengan sempurna tanpa etika dan moraliti, maka agama mengajar kita tentang apa yang baik dan apa pula yang buruk dalam semua bidang kehidupan. 

Tidak syak lagi bahawa agama merupakan elemen penting dalam institusi masyarakat. Namun begitu, manusia seolah-olah mula melupakan agama kerana leka dengan kecanggihan teknologi. 

Kesannya, terdapat segolongan manusia yang hidup bertunjangkan teknologi bukannya agama sehingga sanggup melakukan jenayah dan gejala sosial tanpa segan silu. Antara yang membimbangkan pada saat ini adalah lambakan kes rogol dan sumbang mahram melibatkan generasi masa depan kita yang puncanya adalah ketagihan pornografi. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Statista (2022), Malaysia menduduki tempat pertama di Asia dan keempat di dunia bagi negara yang paling banyak melayari salah satu laman web lucah global terkenal, PornHub sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini menunjukkan begitu mudahnya pornografi internet diakses di mana-mana dan pada bila masa sahaja. Jelaslah di sini bahawa dengan meletakkan agama di belakang menggalakkan seseorang itu melakukan jenayah dan gejala sosial. Jika perkara ini dibiar berlarutan akan merosakkan institusi sesebuah masyarakat. 

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata ketagihan pornografi akan merosakkan sel otak individu sehingga hilang kewarasan akal dan pertimbangan rasional dalam membuat keputusan yang menyumbangkan kepada pergaduhan suami isteri, perceraian dan keluarga berpecah-belah.

Ketiga, melupakan budaya masyarakat sendiri ketika berteknologi. Budaya adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita untuk diwarisi. Budaya tidak mengongkong untuk kekal dengan keadaan asal tetapi budaya adalah satu panduan kepada sesebuah masyarakat untuk terkedapan dengan nilai budaya mereka. 

Namun, kepesatan teknologi telah menyebabkan budaya semakin terkikis dan luntur. Situasi ini berlaku kerana diasak oleh proses globalisasi dan modenisasi yang menggariskan satu panduan mengenai konsep negara maju berdasarkan pandangan negara Barat. 

Selanjutnya, manusia yang hidup bertuhankan teknologi kurang gemar mengamalkan budaya masyarakat mereka kerana takut dianggap kolot. Contoh permasalahan ini boleh dilihat menerusi slogan kebanggaan negara Malaysia iaitu Budi Bahasa, Budaya Kita. Objektif utama slogan ini adalah untuk memupuk masyarakat berbudi pekerti yang sememangnya sinonim dengan negara kita. 

 

GUNAKAN DENGAN BIJAK

Tetapi, kini ia dilihat semakin jauh daripada pengamalan dalam masyarakat, fitnah dan tohmahan tular tanpa usul periksa serta bahasa kasar diguna secara meluas tanpa malu di sosial media. Kesannya, kepesatan teknologi menjadikan budi bahasa lenyap tanpa khabar berita dalam masyarakat kita. 

Lebih parah lagi, masyarakat hidup dalam keadaan saling bertelagah dan tidak harmoni seperti yang diimpikan. 

Akhir kata, penciptaan teknologi pada asalnya bergantung kepada masyarakat tetapi sekarang masyarakat yang bergantung dengan teknologi sehinggakan teknologi mampu meruntuhkan institusi masyarakat seperti mana yang dibincangkan.

Oleh itu, individu atau pengguna teknologi perlu bijak menggunakan teknologi dalam kehidupan mereka. 

Tambahan lagi, semua pihak harus bekerjasama dan mengambil langkah proaktif untuk mengekang unsur-unsur negatif yang merebak dalam masyarakat seiring dengan perkembangan teknologi. –UTUSAN

PENULIS ialah Perunding Latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN