Kedah perlu buktikan angan-angan boleh jadi kenyataan

Kedah perlu buktikan angan-angan boleh jadi kenyataan

KETERBUKAAN Anwar Ibrahim yang berkunjung ke Alor Setar dan Kubang Pasu seakan-akan ada ‘jambatan’ baharu yang dibina untuk merapatkan hubungan kedua-dua kerajaan itu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang skeptikal, tidak kurang sinikal apabila mendengar pengumuman terbaharu kerajaan negeri Kedah yang merancang mahu membina perkhidmatan tren transit aliran ringan (LRT) di Pulau Langkawi.

Mereka anggap, pengumuman itu sekadar retorik, angan-angan mat jenin, gula-gula, satu lagi mimpi yang dijual atau tidak berpijak di bumi nyata. Itulah gambaran yang diberikan pihak tertentu.

LRT di Langkawi memang tidak dinafikan perancangan yang baik untuk menjadi antara tarikan terbaharu di pulau sumpahan Mahsuri itu yang kini semakin lesu dengan produk pelancongan sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun masanya mungkin belum sesuai walaupun hanya peringkat kajian ketika ini. Memang tidak salah untuk kita mengkaji bagi mendapatkan kepastian kerana usaha itu lebih bagus berbanding tindakan semberono yang dibuat.

Bagaimanapun perkhidmatan LRT di Langkawi tidak dilihat sebagai keperluan yang mustahak meskipun untuk menarik kehadiran pelancong agar terus menyemarakkan sektor pelancongan di pulau terkenal itu.

Menjadi cabaran kepada kerajaan negeri Kedah untuk membuktikan kesungguhan mereka kerana perkara itu sudah diumumkan secara rasmi melalui sidang akhbar. Andai hanya cakap-cakap mulut dan tiada memorandum persefahaman (MoU), mungkin tidak menjadi masalah kerana siapa sahaja boleh reka perkara itu.

Tetapi cabaran besar kepada kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk membuktikan kewibawaan beliau setelah kini dilabel lawannya sebagai Menteri Besar yang suka umum itu dan ini. Tidak kurang yang mengusik Kedah Darul Aman kini menjadi ‘Kedah Darul Umum’.

Sekadar rekod, sejak mengambil alih kerusi empuk di Wisma Darul Aman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan dan meneruskan beberapa pembangunan berskala mega di Kedah.

Antaranya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), projek pembangunan Widad Langkasuka di Langkawi serta sebuah lagi projek di Langkawi iaitu Litar Lumba Open Road berhampiran Bukit Malut.

Mungkin ada sebahagian daripada pengumuman itu dirancang oleh pendahulunya yang diteruskan Muhammad Sanusi tetapi dalam politik siapa yang perintah dialah kena bertanggungjawab.

Malah, sebelum ini pun Muhammad Sanusi pernah mengumumkan tentang perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang mencecah berbilion ringgit di Hutan Simpan Kekal Bukit Enggang, Sik.

Projek itu antara yang boleh direalisasikan bila-bila masa tetapi masih berdepan masalah kebenaran di peringkat pusat selain terpalit dengan isu kecurian oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti yang dibongkarkan Utusan Malaysia.

Baru-baru ini sebelum heboh soal LRT, beliau memaklumkan tentang projek empangan bawah tanah yang juga di Langkawi telah mendapat kelulusan di peringkat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Usaha yang baik kerana projek itu memanfaatkan rakyat secara terus terutama penduduk Langkawi yang sebahagiannya mengeluh kerana berdepan masalah air bersih yang tidak mengalir di pili rumah masing-masing.

KERJASAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN
Apa-apa pun pengumuman demi pengumuman yang dibuat Muhammad Sanusi bukan sahaja dalam bidang tugas negeri tetapi sebahagiannya terkait dengan kuasa agensi atau kementerian di bawah kerajaan pusat.

Tidak ke mana projek-projek seperti KXP, LRT atau REE selagi Kerajaan Persekutuan tidak sama-sama membantu negeri Kedah dalam mencapai hasrat mereka yang dikenali sebagai The Greater Kedah.

Mungkin prosedur tertentu terlalu rumit sehingga mengambil masa lama untuk diluluskan sehingga kerajaan negeri Kedah tidak dapat melangkah ke peringkat seterusnya dalam merealisasikan impian mereka.

Namun, melihat keterbukaan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkunjung ke Alor Setar dan Kubang Pasu pada Syawal lalu seakan-akan ada ‘jambatan’ baharu yang dibina untuk merapatkan hubungan kedua-dua kerajaan itu.

Memang benar, masing-masing ada topi yang berbeza di pentas politik dan platform pentadbiran tetapi kedua-dua perkara itu sering dicampur adukkan sehingga menimbulkan kesan tidak elok untuk urusan kerajaan dengan kerajaan.

Banyak wishlist yang telah disampaikan Muhammad Sanusi kepada Anwar dalam Mesyuarat Khas Pembangunan yang diadakan bersama menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan pemimpin-pemimpin negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Diharapkan lembaran baharu itu mampu menjadikan angan-angan Kedah dapat dibuktikan menjadi satu kenyataan yang bukan sahaja memanfaatkan rakyat dan negeri ini tetapi Malaysia secara keseluruhannya.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×