Harimau Malaya perlu 'mengganas'

Harimau Malaya perlu ‘mengganas’

KIM Pan Gon mahu terus kekal di Malaysia dan memasang impian bawa pasukan ke Piala Asia 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu menang lebih tujuh gol tanpa dibolosi pada pertemuan terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Selepas terpaksa mengharungi pusingan ketiga untuk menamatkan kemarau 43 tahun layak ke pentas Piala Asia 2023, Harimau Malaya kini harus menetapkan satu tanda aras yang lebih baik untuk tidak mengharapkan situasi sama pada edisi kali ini.

Tiada jalan pintas harus dihadapi dan hanya kemenangan yang mampu menghidupkan semula harapan skuad negara untuk layak lebih awal ke Piala Asia 2027 sekali gus mencipta sejarah baharu mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Justeru pengendali Korea Selatan, Kim Pan Gon menuntut setiap pemain bermain mati-matian dan cuba elak membazirkan peluang yang dicipta pada perlawanan malam ini.

Dia menuntut pemain-pemain mengulangi prestasi sama seperti ditunjukkan pasukan kebangsaan ketika berpesta gol membelasah Papua New Guinea (PNG) 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak 20 Jun tahun lalu apabila turun menentang Taiwan.

“Ini misi hidup mati untuk kita…sebelum ini kita pernah menang besar ketika menewaskan Papua yang berada di ranking lebih rendah daripada kita (Papua ke-159, Malaysia 138).

“Untuk aksi di laman sendiri kita memiliki rekod baik jadi tidak mustahil untuk kita mencari gol lebih daripada tujuh untuk aksi menentang Taiwan. Saya harap pemain-pemain dapat menyempurnakan setiap peluang dengan gol,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Wisma FAM semalam.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pemain tonggak seperti Arif Aiman Hanafi dan Faisal Halim, dia tetap menaruh kepercayaan terhadap pemain sedia ada.

“Pasukan ini tidak pernah bermain secara individu kerana kita mementingkan permainan berpasukan. Saya bercakap kepada pemain cukup untuk berfikir tentang pemain yang tiada.

“Mereka telah membuktikan ketika seri dengan Kyrgyzstan walaupun tanpa pemain utama, jadi saya yakin dengan kemampuan pemain yang ada dalam pasukan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Pan Gon menyeru kehadiran penyokong-penyokong tempatan untuk hadir ke stadium memberi sokongan serta tekanan kepada pasukan lawan.

“Saya harap penyokong-penyokong bola sepak negara hadir memenuhi stadium untuk memberi suasana dan memberi tekanan kepada Taiwan. Kita juga mengharapkan sokongan padu Ultras Malaya,” jelasnya.

Mengulas mengenai kenyataan jurulatih Taiwan, Gary White berkenaan bingung dengan sasaran menang besar dilaungkan Harimau Malaya, Pan Gon menjelaskan ia perkara normal untuk dikatakan oleh mana-mana jurulatih.

“Sudah tentu semua jurulatih datang untuk menang itu perkara normal. Mereka tidak boleh cakap nak seri atau kalah itulah realiti seorang jurulatih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN