SEWAJARNYA Program Dwibahasa (Dual Language Programme, DLP) tidak boleh sesekali wujud. Ini kerana setelah pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang didapati tidak baik, perkara seumpama itu tidak boleh diadakan lagi. Namun ia dibawa balik dalam bentuk DLP, iaitu pendidikan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris sebagai pilihan sahaja kepada yang sedia wujud, iaitu dalam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Semenjak wujud mulai 2016, DLP adalah pilihan popular. Dengan ini, ia mendapat sambungan amat baik sehingga mengatasi bahasa Melayu yang sepatutnya lebih dipilih kerana ia bahasa pendidikan utama di negara ini. Oleh itu, untuk melindungi bahasa Melayu daripada terus keciciran dalam DLP, sekolah yang terbabit mula dikenakan syarat wajib baharu untuk sekurang-kurangnya mempunyai satu kelas dalam bahasa Melayu.
Dengan ini, DLP dalam bahasa Inggeris tidak boleh sesekali wujud apabila tidak terdapat satu kelas DLP pun dalam bahasa Melayu. Tidak dapat dinafikan bahawa syarat ketat ini adalah bukan sahaja untuk melindungi bahasa Melayu dalam konteks DLP yang rata-ratanya dikaup oleh bahasa Inggeris. Juga lebih penting lagi ialah bagi menjaga martabat bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini.
Sesungguhnya DLP adalah satu dasar pendidikan yang membabi buta sifatnya. Ini kerana ia tidak difikirkan secara betul-betul mendalam akan akibatnya nanti kepada bahasa Melayu apabila kita sendiri yang membenarkan pilihan sebegitu. Dengan kekuasaan bahasa Inggeris selain prestij dan glamornya, sudah tentu ia akan menjadi pilihan yang pasti akan mengkesampingkan bahasa Melayu.
Dalam hal ini, kita sepatutnya tidak sesekali memberi pilihan itu. Ini kerana bahasa Inggeris pasti bukan sahaja akan mengatasi, juga melenyapkan bahasa Melayu. Sebaliknya kita hendaklah melindungi bahasa Melayu dengan tidak sesekali memperbandingnya, waima dalam bentuk kebenaran memilih mana-mana bahasa lain sekali pun. Apatah lagi bahasa yang jauh lebih hebat daripadanya, seperti bahasa Inggeris.
Walaupun kita mahu bersikap demokratik selain liberal dalam sistem pendidikan negara, ia tidak boleh sesekali wujud dalam bentuk begini. Ini kerana DLP bukan sahaja akan menimbulkan keadaan sangat tidak seimbang antara pilihan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Juga pasti menyebabkan kehilangan prestij pada bahasa Melayu sebagai bahasa negara di tanah watannya sendiri.
Adakah bahasa Inggeris perlu dipersalah dalam hal ini? Tidak sama sekali. Ia sebenarnya angkara tidak hematnya kita sendiri yang tidak pintar untuk mewujudkan persaingan yang pasti bukan sahaja tidak akan sesekali memihak kepada bahasa Melayu, malah ikut menjahanamkannya.
Sebenarnya bahasa Inggeris akan terus, malah telah pun meranapkan bahasa Melayu dalam kes DLP ini. Ini sudah terbukti dengan kita terpaksa mengadakan syarat ketat itu bagi memastikan kelangsungan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan di negara ini.
Sebetulnya bahasa Melayu tidak pernah dipandang tinggi oleh banyak pihak, termasuklah sesetengah etnik Melayu sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu. Ia dikatakan tiada nilai ekonomi seperti yang ada dan tinggi pula pada bahasa Inggeris dan juga bahasa Mandarin.
Walaupun begitu, kita sebagai warganegara baik harus terus-terusan mendukungnya dengan penuh kebanggaan, kesayangan dan kesetiaan atas nilai kenegaraannya. Ini kerana bahasa Melayu adalah identiti nasional untuk negara ini dan identiti budaya bagi rakytanya.
Sesungguhnya bahasa Melayu mampu sekali untuk memandaikan anak bangsa dan memajukan negara. Ini kerana ia kini bahasa saintifik moden. Dengan ini, ia ada upaya penuh untuk mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak dalam semua bidang ilmu, termasuklah yang paling terkini.
KESAN KEPADA NEGARA
Dalam isu DLP kini, ia adalah kes maut bahasa. Dengan adanya pilihan lumayan sebegitu, ia pasti akan membawa kepada kepeminggiran bahasa Melayu yang besar pula dampaknya kepada negara. Tindakan kita itu telah pun memulakan peranjakan bahasa, yang mengubah bahasa Melayu sebagai bahasa besar sebelum ini, kini ia sudah menjadi bahasa kecil. Ini kerana peranan pentingnya yang serius diambil alih oleh bahasa Inggeris.
Keadaan ini amat menyedihkan. Ini kerana ia permulaan bahasa Melayu menuju kehancuran, dan mungkin kepupusan. Hal ini menjadi lebih nyata apabila ranah agama yang merupakan benteng terakhir kepada kelangsungan mana-mana bahasa itu mula mahu dicerobohi. Antaranya dengan kita sendiri yang mahu menggunakan bahasa Inggeris untuk penyampaian khutbah bagi umat Islam etnik Melayu.
Dalam isu DLP sekarang ini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa Melayu sudah kehilangan bukan sahaja prestijnya, juga maruahnya. Sehubungan ini, DLP yang dibantah keras sewaktu perancangannya, kini memang ternyata dasar yang amat meleset. Ini kerana amaran keras yang diberikan tentang pilihan sebegitu yang sebenarnya satu persaingan antara dua bahasa itu, akhirnya sudah mengkecundangkan bahasa Melayu.
Dengan ini, dalam keadaan yang bukan sahaja amat menghayat hati, bahasa Melayu perlu mengemis pada bahasa Inggeris untuk terus relevan. Juga menghinakan sekali kerana kita terpaksa meneral sebilangan murid dan pelajar yang tidak mahu pun memilihnya. Ini semata-mata untuk mewujudkan satu kelas DLP dalam bahasa Melayu pada enrolmen yang paling minimum sahaja.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










