Wildcard maksimum potensi, bukan ‘makan angin’  

Wildcard maksimum potensi, bukan ‘makan angin’  

ATLET wildcard yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 perlu menunjukkan komitmen tinggi agar penyertaan mereka tidak dianggap membazirkan perbelanjaan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 atas tiket wildcard perlu bijak memanfaatkan peluang yang diberikan dengan memaksimumkan potensi masing-masing.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, mereka perlu memanfaatkan dengan bijak  penyertaan menerusi tiket khas itu dan bukannya sekadar untuk ‘makan angin’ semata-mata..

“Saya tak bantah penyertaan atlet menerusi  wildcard dengan syarat atlet itu tidak pergi untuk sekadar  makan angin sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Setakat ini beberapa atlet dalam acara olahraga dan renang masih berusaha mencari tempat secara merit ke Sukan Olimpik, namun pada masa yang sama pihak persatuan juga sudah bersedia untuk memberikan penyertaan menerusi wildcard jika masih gagal berbuat demikian. 

Menurut Pekan, atlet wildcard perlu menyedari pentingnya mendedikasikan diri mereka untuk mencapai prestasi yang tinggi. 

“Atlet wildcard itu mesti pamer kesungguhan tinggi atau ‘sedar diri’ bahawa mereka perlu buktikan sesuatu di Paris nanti. Paling tidak mereka perlu bekerja keras untuk buat catatan peribadi terbaik dan tidak bersikap cukuplah dapat ke Olimpik juga, dapat title ‘Olimpian’,” tegasnya.

Meskipun kehadiran atlet wildcard memberi kemeriahan kepada acara-acara sukan, beliau menyoroti bahawa tanggungjawab yang lebih besar turut terletak pada bahu mereka.

“Mereka tidak hanya mewakili diri mereka sendiri, tetapi juga negara mereka. Oleh itu, adalah penting untuk menjadikan setiap peluang sebagai titik permulaan bagi pembangunan kerjaya sukan mereka.”

Dengan pandangan yang menggalakkan atlet wildcard untuk mengambil pendekatan yang lebih serius terhadap penyertaan mereka, beliau  berharap bahawa Sukan Olimpik Paris 2024  akan menjadi titik tolak bagi pembuktian potensi sejati mereka.

“Kita berharap atlet mampu memberikan yang terbaik dan itu terpulang pada mereka sama ada ingin membalas kepercayaan yang diberikan atau hanya sekadar makan angin sahaja” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×