PRK: Apa perasaan pengundi Bukit Gantang, Kuala Kangsar?

PRK: Apa perasaan pengundi Bukit Gantang, Kuala Kangsar?

PENINGKATAN bilangan pemimpin muda dalam politik tidak akan mencetuskan fenomena seperti pembentukan Muda sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta jentera parti membuka bilik gerakan (war room) di enam kawasan Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang wakil rakyatnya menyokong Perdana Menteri, memberi petanda pilihan raya kecil (PRK) boleh berlaku.

Di Perak jika berlaku PRK, ia melibatkan dua Ahli Parlimen Bersatu iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Persoalannya, bersediakah pengundi di Bukit Gantang dan Kuala Kangsar untuk menghadapi PRK?

Meninjau suasana di kedua-dua parlimen itu mendapati pengundi mungkin tidak begitu selesa untuk menghadapi satu lagi pilihan raya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baharu sahaja diadakan pada November 2022.

Bagi pengundi, tempoh tidak sampai dua tahun PRU merupakan tempoh yang masih baharu. Mereka tidak bersedia untuk menghadapi satu lagi pilihan raya.

Bagi pengundi, mereka telah memberikan mandat dengan memilih Syed Abu Hussin sebagai wakil rakyat, maka bekerja sahajalah sebagai wakil rakyat di Bukit Gantang.

“Berdasarkan sembang-sembang di kedai kopi, pengundi di Bukit Gantang, kalau boleh mereka tidak mahu PRK kerana baru sahaja PRU-15, sudah hendak PRK pula.

“Kalau PRK, pengundi luar perlu balik, anak-anak ada yang bekerja jauh malah ada yang bekerja di Singapura, perlu balik mengundi. Sudahlah begitu, jenuh pula nak berkempen. Satu lagi perkara yang mereka kena hadapi selepas PRK ialah poster dan bendera kempen yang sudah tentu memenuhi kawasan Bukit Gantang.

“Pengundi kata, habis PRU15, mereka sudah bagi mandat pada Syed Abu Hussin, beliau kena buat kerja sajalah,” kata seorang penganalisis politik di negeri ini.

Nada berbeza pula di pihak Perikatan Nasional (PN) terutama Pas yang mahukan PRK selepas Syed Abu Hussin menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Pas paling terkesan terhadap tindakan Syed Abu Hussin kerana Bukit Gantang adalah kerusi yang ditandingi Pas namun memberi laluan kepada Syed Abu Hussin bertanding atas tiket PN pada PRU15.

“Pas mahukan PRK di Bukit Gantang. Mereka mahu kerusi itu dipulangkan semula kepada Pas. pulangkan balik mandat, kerana Syed Abu Hussin menang PRU15 atas tiket PN.

“Kalau ikutkan, Bukit Gantang kerusi Pas, jadi Pas memang mahukan PRK,” kata penganalisis tersebut.

BAGAIMANA PULA UMNO?
Penganalisis itu berpandangan, UMNO keberatan untuk melalui PRK atas faktor tidak cukup persediaan kerana parti baharu sahaja selesai pemilihan pada Mac tahun lalu.

Ini menyebabkan banyak orang baharu di semua peringkat yang akan menjejaskan penyelarasan jentera kempen.

“Saya melihat UMNO tak mahu PRK. PRU baharu setahun lebih, begitu juga pemilihan parti bermakna semuanya serba baharu. Jika berlaku PRK, UMNO bimbang tak sempat menyiapkan jentera. Jika PRK, UMNO mungkin dalam keadaan tergesa-gesa, terlalu cepat dan UMNO tak cukup bersedia.

“Selepas pemilihan parti, semuanya serba baharu terutama penyelaras, ketua cawangan baharu, semuanya serba baharu, ambil masa setahun untuk menyelaraskan semua ini.

“Kalau berlaku juga PRK, UMNO kena kerja lebih kuat, kena kejar masa, keadaan akan jadi agak tergesa-gesa, kena kerja lipat kali ganda.

“Keadaan sama juga di Kuala Kangsar kerana kalau ikut rutin UMNO, tahun pertama selepas pemilihan parti ialah tempoh untuk memperbetulkan atau mengukuhkan jentera di cawangan,” ujarnya.

Sementara itu, jika berlaku PRK di Bukit Gantang dan Kuala Kangsar, UMNO dilihat lebih berhak meletakkan calon.

Berpegang kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mana-mana kerusi yang UMNO di tempat kedua pada PRU15, akan ditandingi UMNO, dijangkakan UMNO akan meletakkan calonnya.

Persoalan timbul bagaimana dengan penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin? Adakah beliau akan bertanding dan jika bertanding atas tiket parti mana?

Beliau merupakan bekas Ketua UMNO Bukit Gantang dan mengumumkan menyertai Bersatu pada 2018.

“Jika Syed Abu Hussin bertanding UMNO mungkin akan berkempen namun sekadar membantu, UMNO tidak akan ‘pulun’ (habis-habisan),” kata penganalisis itu.

Begitupun, penganalisis politik itu yakin UMNO mampu menang di Bukit Gantang dan Kuala Kangsar jika PRK diadakan.

Ini berdasarkan kerjasama parti dalam kerajaan yang semakin kukuh dan disokong rakyat seperti yang diterjemahkan pada PRK Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

“Kalau ikut perkiraan jika BN bertanding di dua parlimen itu, boleh menang. Perkiraannya campurkan jumlah undi yang diperoleh BN dan PH pada PRU15 dan tolak 10 peratus, iaitu pengundi yang menolak kerjasama UMNO dan PH,” katanya.

Pada PRU, Syed Abu Hussin yang bertanding atas tiket PN mendapat 32,625 undi manakala calon BN, Mohammaad Sollehin Mohamad Tajie 19,869 undi manakala calon PH, Fakhruldin Mohd Hashim 18,565 undi.

Di Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain yang mewakili PN mendapat 14,380 undi, calon BN, Datuk Maslin Sham Razman 10,814 undi manakala calon PH, Ahmad Termizi Ramli 10,356 undi.

“Saya melihat kerjasama UMNO atau BN, PKR dan Amanah semakin baik.

“Cuma yang menjadi isu ialah penerimaan ahli-ahli di bawah sahaja terhadap kerjasama parti-parti dalam kerajaan,” katanya.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×