KUALA LUMPUR: Permainan sepak takraw mungkin akan kembali kepada 21 mata selepas kiraan 15 yang dilaksanakan sekarang menerima banyak rungutan daripada peminat dan juga negara-negara bertanding.
Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal badan induk itu, namun servis tunggal dikekalkan.
Katanya, pengenalan sistem satu servis telah mengejutkan dunia sepak takraw apabila banyak keputusan luar jangka berlaku misalnya dalam perlawanan beregu antara Thailand dan Singapura.
“Bagaimanapun, dalam satu mesyuarat Istaf (semalam), Datuk Sumali Reduan (Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia) selaku pengerusi penganjur Piala Dunia ada buat cadangan kepada Exco Istaf.
“Beliau (Sumali) memberi cadangan agar menambah mata 15 ke 21 sebabnya pemain tidak sempat panas, penonton, kepuasan orang beli tiket dan ada yang datang dari jauh tidak sempat tengok perlawanan.
“Kita akan kaji, undang-undang kita belum mati, kita akan tengok hasil maklum balas akan akan dikeluarkan oleh Istaf kepada pasukan-pasukan bertandings sebagai input tambahan kepada keputusan yang akan kita buat.
“Insya-Allah kita akn ikut proses. Kami di mesyuarat teknikal akan bincang dahulu, kemungkinan selepas Piala Raja Thai pada September ini akan diputuskan. Beri kami ruang tiga hingga enam bulan,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan ramai dalam kalangan penggiat sukan sepak takraw tidak berpuas hati dengan sistem baharu 15 mata dengan servis tunggal yang diperkenalkan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Perkara berkenaan diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan kerana ada maklum balas yang mengatakan durasi perlawanan menjadi terlalu cepat.
Sehubungan itu, Sumali meminta Istaf melihat semua maklum balas selepas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 berakhir bagi mencari solusi terbaik bagi memastikan sukan sepak takraw terus berkembang. – UTUSAN










