KUALA LUMPUR: Penambahbaikan dasar bagi kenderaan EV CBU yang dipasang di luar negara bukan bertujuan untuk meningkatkan sebaliknya memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna, kelestarian hasil negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, langkah itu adalah komitmen Kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran automotif dan EV serantau tanpa menjejaskan keyakinan pelabur untuk terus membuat pelaburan di dalam negara.
Beliau berkata, ia juga muncul sebagai langkah rasionalisasi dan peralihan strategik bagi dasar pengimportan EV CBU yang mengambil kira beberapa perkara.
“Penetapan itu dibuat bagi membolehkan peralihan dari fasa penerimaan EV antara 2022 hingga 31 Disember lalu, kepada fasa kedua iaitu menggalakkan pemasangan tempatan, sekali gus membina asas industri negara lebih kukuh.
“Fasa kedua, katanya, akan membolehkan negara meraih manfaat daripada pembangunan asas perindustrian, bukannya sekadar menjadi pasaran pengguna dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab berasaskan industri. Fasa ketiga pula bakal menggalakkan proses penyetempatan bagi membolehkan vendor tempatan turut meraih manfaat daripada perkembangan sektor EV.
“Kerajaan mempunyai sasaran dan strategi jelas dalam usaha memperkukuh pembangunan industri berkenaan. Sasarannya ialah mencapai kadar penggunaan EV berasaskan teknologi xEV meningkat kepada 20 peratus menjelang 2030, diikuti 50 peratus (2040) dan 80 peratus (2050).
“Kategori xEV merangkumi pelbagai jenis EV, termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan hibrid elektrik plug-in (PHEV) dan teknologi berkaitan lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai status penilaian impak berhubung keputusan dasar terkini, didakwa menyebabkan lonjakan harga EV CBU.
Tambah Tze Tzin, semakan semula mekanisme pengimportan EV CBU hanya menetapkan dua syarat, iaitu nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta kuasa motor sekurang-kurangnya 180 kilowatt.
“Mekanisme ini ditetapkan selepas insentif cukai EV CBU iaitu pengimportan tanpa had kuasa dan dijual pada harga atas jalan (OTR) melebihi RM100,000, tamat pada 31 Disember lalu.
“Langkah sementara ini (insentif cukai EV CBU) berjaya merangsang pasaran awal dan mempercepat penerimaan EV dalam pasaran domestik,” katanya. – UTUSAN










