KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mendedahkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan saham melebihi nilai RM100,000 membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana ia adalah sebahagian daripada dokumen siasatan dan maklumat peribadi yang dilindungi undang-undang.
Beliau berkata, isu berkaitan pemilikan dan perisytiharan harta termasuk pegangan saham Azam itu sudah diteliti Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari lalu.
“Jawatankuasa berkenaan sudah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus serta profesional, dan hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Untuk mendapatkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan yang melebihi nilai tertentu, maklumat yang diminta adalah sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta perisytiharan harta yang dilindungi bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak menjadi dokumen awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang meminta kerajaan menyenaraikan transaksi pembelian saham Azam Baki dari 2012 hingga 2026 serta menyatakan tempoh masa apabila jumlah pegangan saham melebihi RM100,000. – UTUSAN








