Dakwaan pemilikan saham, Azam Baki sedia disiasat

Dakwaan pemilikan saham, Azam Baki sedia disiasat

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Haji Azam Baki sedia disiasat mana-mana  jawatankuasa bebas bagi meneliti secara khusus berkaitan pemilikan saham beliau yang dilaporkan Bloomberg, Selasa lalu. 

Kata Azam, beliau terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham tersebut.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang

“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Azam berkata, beliau akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara berkenaan.

“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya. 

Malah, kata Azam, sebagai seorang penjawat awam dan ketua kepada agensi penguatkuasaan, beliau percaya bahawa mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus. 

Jelasnya, prinsip tersebut harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian malah budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim.

“SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah. 

“Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya. 

Azam berkata, beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang sepanjang perkhidmatannya dalam agensi tersebut. 

Menurut laporan Bloomberg itu, pemilikan saham berkenaan adalah berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan pada Isnin.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN