KUALA LUMPUR: Kadar cukai eksais kenderaan elektrik (EV) yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) menyebabkan penetapan nilai import menerusi Kos, Insurans dan Tambang (CIF) perlu dipantau dengan lebih teliti bagi memastikan kutipan hasil kerajaan tidak terjejas.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, kadar cukai eksais bagi EV ketika ini hanya 10 peratus, berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang dikenakan kadar lebih tinggi bergantung kepada kapasiti enjin, jenis kenderaan serta tahap lokalisasi.
Menurut beliau, perbezaan struktur cukai antara EV dan ICE menyebabkan kerajaan perlu menetapkan mekanisme tertentu termasuk nilai minimum Kos, Insurans dan Tambang (CIF) bagi kenderaan EV import siap sepenuhnya (CBU).
“Strukturnya berbeza. Sekiranya pengeluar ICE membuat banyak lokalisasi, mereka boleh mendapat insentif daripada kerajaan dan sebagainya
“Dengan kadar cukai eksais yang lebih rendah, penentuan nilai import bagi EV menjadi lebih
kritikal bagi memastikan asas penggunaan cukai telah tepat dan mengurangkan risiko pengisytiharan nilai import lebih rendah dari nilai sebenar.
“Oleh itu, penentuan nilai minimum CIF merupakan salah satu mekanisme dasar untuk mengurangkan ruang berlakunya pengisytiharan nilai yang lebih rendah daripada nilai sebenar dan memastikan kutipan hasil kerajaan dilindungi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang mempersoalkan syarat minimum nilai RM200,000 CIF dan kuasa minimum 180 kilowatt (kW) bagi EV jenis CBU, serta mengapa syarat berkenaan hanya dikenakan kepada EV.
Tambah Sim, kerajaan sedang memperkemas dasar dan insentif bagi mempercepat pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) termasuk meluaskan kemudahan pengecasan di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan kini bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh khususnya Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membina lebih banyak pencawang elektrik bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi untuk menyokong pembangunan kemudahan pengecasan EV.
“Pembinaan kemudahan pengecasan memerlukan pencawang bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi,” katanya.
Tze Tzin berkata, kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan bagi menyediakan insentif kepada pengendali kemudahan pengecasan bagi menggalakkan pembinaan lebih banyak kemudahan itu.
“Kalau tiada pencawang, tiada pihak boleh membina kemudahan pengecasan kerana bekalan kuasa tidak mencukupi. Justeru, usaha ini memerlukan insentif, dasar yang sesuai serta pembangunan keseluruhan ekosistem.
“Ia mengambil masa, namun kerajaan mengambil maklum cadangan yang dikemukakan dan akan berusaha menambah baik pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN










