KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang membuka semula perkhidmatan penerbangan komersial ke Pulau Pangkor, namun terbuka kepada mana-mana syarikat penerbangan yang berminat berdasarkan kajian model perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tiada kajian yang dibuat Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pembukaan semula laluan penerbangan ke Pulau Pangkor kerana penilaian tersebut merupakan tanggungjawab syarikat penerbangan.
“Berkaitan dengan kajian, sebenarnya kajian itu kalau ada dibuat, ianya datang daripada syarikat penerbangan, sebenarnya mereka yang akan mengkaji sama ada mereka nak masuk atau tidak Mereka dari segi bisnes model, kajian daripada Kementerian pengangkutan..tidak ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang meminta kementerian menyatakan adakah kerajaan merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Pangkor atau membuka semula perkhidmatan penerbangan komersial ke pulau tersebut dan apakah kajian kebolehlaksanaan yang telah disiapkan setakat ini.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, kerajaan mengakui keterhubungan udara merupakan antara pemangkin penting kepada pembangunan sektor pelancongan dan akan memastikan sebarang keputusan berkaitan Lapangan Terbang Pulau Pangkor pada masa hadapan mengambil kira potensi pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan udara.
“Memandangkan ketika ini perjalanan laut masih menjadi pilihan utama pelancong dan penduduk setempat untuk ke Pulau Pangkor, selaras dengan statusnya sebagai Pulau Bebas Cukai, Kementerian Pengangkutan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang berminat memulakan operasi menggunakan pesawat jenis Twin Otter di Lapangan Terbang Pulau Pangkor,” katanya.
Mengulas lanjut keadaan yang sama berlaku di beberapa pulau lain termasuk Pulau Redang, namun jelas Hasbi, beroperasi bagi kegunaan tertentu termasuk pesawat persendirian, pesawat dan helikopter tentera, pendaratan kecemasan serta perkhidmatan Flying Doctor.
Katanya, operasi lapangan terbang itu kini dijalankan pada waktu siang (daylight operation) dan aset berkenaan terus diselenggara oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Jadi, sebenarnya lapangan itu masih digunakan untuk beberapa pesawat iaitu ATR, dia ada dua buah. ATR-72-600 dan ATR-72-500. Tetapi ianya digunakan apabila untuk charter sahaja. Sebab itu ia tidak ditutup.
“Jadi, sekiranya lah ada rakyat di sana ingin menggunakan atau mungkin menggunakan aset-aset yang ada di sana, boleh maklumkan kepada MAHB,” katanya. – UTUSAN










