KUALA LUMPUR: Hari pertama Kejohanan Malaysia Masters 2024 menyaksikan beregu wanita Go Pei Kee-Low Yeen Yuan menewaskan pasangan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-15, 21-15 untuk mara ke pusingan kedua.
Ini menjadikan gandingan wanita negara kedua yang berada di pusingan itu berikutan pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah meraih kemenangan percuma selepas lawan mereka menarik diri sebelum perlawanan bermula.
Pei Kee-Yeen Yuan seterusnya akan berdepan ujian getir pada pusingan kedua bertemu pilihan kelapan dari Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu, Khamis ini.
Bertemu pasangan Australia ini menjadikan peluang Pei Kee membuktikan kemampuan semula berikutan tewas kepada lawannya itu pada saingan Piala Uber 2024 April lalu bersama gandingannya Teoh Mei Xin. – UTUSAN











