Malaysia perlu sediakan pemimpin pelapis terlatih

Malaysia perlu sediakan pemimpin pelapis terlatih

Jemaah Kabinet
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Anwar Ibrahim kini meneraju negara sebagai Perdana Menteri. Menelusuri perjalanan perjuangan beliau sejak 1971, tidak susah untuk rakyat memberi kepercayaan, sama ada penyokong atau bukan penyokong beliau.

Namun, sekiranya ditanya kepada beberapa kenalan atau pensyarah politik bertanya kepada pelajarnya, siapa yang mereka agak akan menjadi Perdana Menteri selepas Anwar? Saya percaya jawapannya akan menjadi terlalu terbuka.

Sewaktu Barisan Nasional (BN) memegang teraju pemerintahan negara, Timbalan Perdana Menteri adalah daripada parti yang sama, iaitu UMNO, justeru bakal pengganti sudah dikenal pasti walaupun masih bergantung kepada dinamik dalaman parti.

Hari ini, keyakinan bakal pengganti tidak wujud dan boleh meletak negara dalam keadaan tidak stabil, seperti apabila Malaysia melalui tiga orang Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan United Kingdom (UK) melalui empat orang Perdana Menteri sejak pilihan raya UK pada 2019 dan masih ada tempoh hingga 28 Januari 2025.

Prestasi Parti Konservatif Britain dalam pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang baharu berlalu meletakkan Perdana Menteri, Rishi Sunak pada kedudukan tidak stabil.

Begitu juga, siapa seharusnya mengganti Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas beliau melepaskan jawatan pada 2020 sangat tidak jelas sehingga Istana Negara terpaksa adakan undian sebanyak tiga kali. Begitu juga berlakunya kemelut dalam mencari pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau meletak jawatan pada 2021.

17 bulan selepas PRU15, Malaysia masih lagi mencari rentak memulihkan ekonomi dan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan persoalan siapa Perdana Menteri ke-11 belum pun sempat dibincang.

Saya yakin, ramai rakyat yang prihatin dengan kesinambungan kepemimpinan negara sedang tertanya-tanya, siapakah bakal Perdana Menteri Ke-11. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak datang daripada parti yang sama dengan Anwar dan semestinya parti Anwar tidak mudah melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada seseorang bukan daripada parti mereka jika jawatan itu dikosongkan sebelum PRU16.

Idea Malaysia perlu melalui zaman kecelaruan kepemimpinan semula seperti zaman pasca PRU14 bukan satu idea yang enak dilayan oleh rakyat, kerana kesan ke atas kestabilan negara dan ekonomi sangat membebankan.

Dalam perbualan satu jam antara saya dan beberapa rakan di Said Business School Universiti Oxford, UK yang diwakili dekannya pada akhir April baru-baru ini, Profesor Dr. Soumitra Dutta, Dr. Jonathan Reynolds dan Profesor Soumitra banyak memuji tata susun kepemimpinan pelapis Singapura.

Sejarah menunjukkan peralihan kepemimpinan Singapura disusun dengan teliti, yang mana bakal pengganti Perdana Menteri diumumkan lama sebelum waktu peralihan akan berlaku dan menariknya, calon tersebut diberi latihan bertahun-tahun. Namun, Perdana Menteri Singapura terbaru, Lawrence Wong, hanya melalui proses serupa yang singkat apabila calon utama lebih awal, Heng Swee Keat, menarik diri empat tahun lalu.

Katanya, Malaysia boleh belajar beberapa perkara penting tentang tata susun kepemimpinan daripada Singapura dan menekankan tentang coaching selain pelan pengganti yang sistematik serta berstruktur.

Sebelum ini bakal pemimpin pengganti Perdana Menteri Malaysia dilihat terlatih melalui jawatan yang mereka sandang selain dan diberi tugasan yang selalunya amat berguna jika terus berjaya menjadi pengganti. Sejauh mana bakal Perdana Menteri Malaysia diberi latihan khusus tidak jelas sebagaimana dilaksanakan oleh Singapura.

Peralihan kepemimpinan Malaysia menjadi tidak keruan apabila BN gagal mengekalkan kerajaannya pasca PRU14. Dua kali pertukaran Perdana Menteri sebelum berlangsung PRU15, atau tiga Perdana Menteri dalam tempoh tidak sampai lima tahun telah memudarkan sinar bakal pengganti Perdana Menteri.

TIADA PENGGANTI?
Kini, apabila Malaysia pertama kali dipimpin oleh parti-parti yang bergabung dalam bentuk kerajaan perpaduan, Malaysia tidak mempunyai bakal pengganti Perdana Menteri yang jelas.

Keadaan politik memberi kesan besar dalam isu pelantikan bakal pengganti. Tun Hussein Onn mengambil masa sekitar 50 hari untuk melantik Dr. Mahathir ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir mengambil masa 51 hari untuk melantik Tun Ghafar Baba menggantikan Tun Musa Hitam dan 30 hari untuk melantik Anwar menggantikan Ghafar.

Kemudiannya, Dr. Mahathir melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri, 128 hari selepas memecat Anwar. Abdullah pula melantik Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas 67 hari beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Muhyiddin pula tidak melantik timbalannya sehingga selepas 4 bulan 7 hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula tidak pernah melantik Timbalan Perdana Menteri sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri selama 14 bulan.

Sekiranya fenomena sebegini berterusan, Malaysia tidak ada jaminan untuk mendapat ganti Perdana Menteri yang dilatih dengan cukup dan ia akan menjadi amat bergantung kepada latihan dalaman parti. Namun, latihan dalaman parti hanya menyediakan pemimpin peringkat parti dan tidak mencukupi untuk memimpin negara yang menuntut corak berfikir dan membuat keputusan dalam konteks kenegaraan.

Memandangkan realiti politik Malaysia yang sudah mengalami perubahan ketara sejak enam tahun lalu, mereka yang bertanggungjawab harus memberi tumpuan sewajarnya kepada pembentukan pemimpin generasi pelapis pada peringkat masing-masing agar negara tidak ketandusan pemimpin yang benar-benar terlatih.

Namun, latihan sebenar untuk membentuk seseorang pemimpin adalah jawatan kepemimpinan itu sendiri. Kini Malaysia menghadapi cabaran melahirkan pemimpin negara tanpa laluan permaidani merah di koridor Jabatan Perdana Menteri. Apatah lagi, pemimpin tertinggi sering kesunyian ketika di puncak.

Mengulangi penegasan Dr. Soumitra, kesunyian di puncak boleh di atasi dengan wujudnya pembimbing atau ‘coach’.

DR. Mohd. Fauzi Shaffie ialah Pemerhati Sosioekonomi dan Politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×