KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara menunjukkan taringnya selepas membenam Oman 10-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 di Kazakhstan, hari ini.
Ketua jurulatih negara, Rodzhanizam Mat Radzi gembira dengan prestasi anak buahnya yang mampu membendung dengan pantas apabila melakukan kesilapan.
“Saya melihat terdapat kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pemain dalam perlawanan, bagaimanapun mereka cepat untuk memperbaikinya dan ianya layak diberikan pujian.
“Kemenangan ini juga penting untuk kami menjelang perlawanan seterusnya kerana setiap kelebihan dan kelemahan hari ini akan dijadikan sebagai penanda aras bagi memperbaiki menjelang perlawanan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Rodzhanizam berkata, perlawanan menentang Kazakhstan selaku tuan rumah sememangnya memberi cabaran yang besar kepada skuad negara.
Kazakhstan berstatus sebagai naib juara sebanyak tiga kali menimbulkan cabaran berganda buat Malaysia untuk memastikan kemenangan kedua dalam peringkat Kumpulan B.
“Barisan kejurulatihan akan melakukan analisis sebaik mungkin untuk mempersiapkan pasukan menjelang pertemuan berkenaan. Pengurusan dan barisan kejurulatihan juga berharap pemain dapat bermain dengan baik dan memberikan tentangan yang hebat kepada lawan,” katanya.
Malaysia akan meneruskan kempen Piala Asia menentang Kazakhstan esok pada pukul 3.45 petang waktu tempatan di Taldykorgan,
Pada aksi yang berlangsung petang tadi menyaksikan Muhammad Najmi Farizal muncul menjadi wira negara selepas meledak hatrik untuk memastikan kemenangan pertama Malaysia. – UTUSAN










