Cukupkah RM80 juta tubuhPusat Jantung Negara di Sabah?

Cukupkah RM80 juta tubuh Pusat Jantung Negara di Sabah?

PERUNTUKAN awal sebanyak RM80 juta sebagai langkah pertama untuk menaik taraf kemudahan bagi merawat pesakit jantung di Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ramai orang Sabah mati (meninggal dunia) termasuk saya hampir mati…saya tiga kali sumbat jantung. Itu sebabnya saya berusaha supaya jangan ada lagi rakyat Sabah (berhadapan situasi) macam saya,”.

Itu kenyataan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri, Datuk James Ratib mengenai penubuhan Pusat Jantung Negara di Sabah semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Ada pihak menyatakan peruntukan awal RM80 juta yang diumumkan Perdana Menteri pada 20 April lalu tidak mencukupi namun, dana tersebut sebagai langkah pertama untuk menaik taraf kemudahan bagi merawat pesakit jantung di negeri ini.

Biarpun pemimpin di Sabah mengharapkan pembinaan sebuah bangunan seperti Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur namun, pemimpin di negeri ini akur dengan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan Persekutuan pada masa ini.

Mungkin ada yang bersorak gembira dan ada juga yang mempertikai kenapa hanya RM80 juta diperuntukkan untuk menaik taraf perkhidmatan di Jabatan Kardiologi sedia ada di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Langkah permulaan diperlukan untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat Sabah. Tanpa dana awal sebegitu sampai bila-bila pun perkhidmatan kesihatan di negeri ini di takuk yang lama.

Untuk ke Kuala Lumpur mendapatkan rawatan di IJN bukan perkara mudah bagi rakyat yang tidak berkemampuan. Kos pengangkutan sahaja sudah mencecah ribuan ringgit apatah lagi kos rawatan.

Malah sebelum ini, bekas Pengarah HQE turut menyifatkan peruntukan RM80 juta itu tepat pada masanya untuk menggantikan peralatan sedia ada serta menyelenggara peralatan yang semakin berusia.

Kata beliau, sudah 14 tahun HQE II mengambil alih Sabah Medical Centre (SMC) maka, sudah tiba masanya untuk kemudahan yang ada di hospital berkenaan ditambah baik.

Pandangan daripada golongan profesional yang terlibat secara langsung dengan pentadbiran hospital itu amat perlu dalam menepis dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan RM80 juta itu sekadar ‘gula-gula’ untuk membeli jiwa rakyat Sabah.
Ini bukan masanya untuk berdebat soal peruntukan kecil atau besar, sekarang adalah masa untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Exco Kesihatan Negeri turut memaklumkan setiap tahun 200 orang pesakit jantung di hantar ke IJN, Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan dan rawatan kesihatan.

Jika bilangan yang dihantar mencecah 200 orang setiap tahun, bayangkan bilangan orang yang berada dalam senarai menunggu. Jumlahnya pasti jauh lebih besar berbanding bilangan pesakit yang perlu dihantar ke Kuala Lumpur setiap tahun.
Maka, penubuhan pusat jantung di HQE II itu mungkin boleh mengurangkan jumlah pesakit yang berada dalam senarai menunggu. Tambahan tiga lagi pakar kardiologi melalui peruntukan yang diberikan akan membolehkan lebih ramai pesakit menjalani pembedahan dan rawatan.

LANGKAH AWAL
Namun, penubuhan pusat jantung itu diharap sebagai langkah awal yang akan membawa kepada pembinaan IJN Sabah suatu hari kelak.

Kawasan seluas 10 ekar yang telah disediakan oleh kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persekutuan dalam membangunkan sebuah IJN di negeri ini.

Pembangunan IJN Sabah yang memerlukan kos sebanyak RM500 juta hingga RM1 bilion diharap dapat dimasukkan dalam belanjawan kerajaan pada masa akan datang.

Jangan ada lagi kisah-kisah tular yang menunjukkan rakyat Sabah meninggal dunia kerana lewat mendapatkan rawatan kesihatan.

Malaysia kini sudah berusia 61 tahun (selepas diisytiharkan pada 16 September 1963), maka, tidak harus rakyat yang berada jauh di pedalaman Sabah terpinggir daripada mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Kesukaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan sudah membelenggu rakyat di pedalaman Sabah sejak bertahun-tahun lamanya.

Sudah tiba masa untuk kerajaan mendengar rintihan dan suara penduduk di pedalaman yang dahagakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Kisah rakyat meredah laluan berlumpur dan menaiki bot berjam-jam lamanya untuk keluar ke bandar bagi mendapat rawatan kesihatan bukan perkara asing di Sabah. Kisah sebegini sering kali diceritakan oleh penduduk luar bandar dan pedalaman.

Adakah kisah-kisah sebegini tidak cukup untuk membuatkan pemimpin-pemimpin negara mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat yang tinggal di pedalaman Sabah?

Jangan sampai berlaku insiden kematian baharu hendak bertindak menghulurkan bantuan kepada penduduk yang berada jauh daripada fasiliti-fasiliti kesihatan.

Jika ada fasiliti kesihatan terdekat sekali pun, mereka masih berhadapan kekurangan peralatan kesihatan untuk mengesan penyakit.

Sebelum ini, pakar perubatan di Klinik Kesihatan Telupid juga menyatakan peralatan seperti spirometri untuk memeriksa paru-paru pesakit tidak disediakan di klinik-klinik kesihatan di pedalaman. Walhal peralatan itu penting bagi menilai tahap kesihatan pesakit yang menghidap asma atau penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Jika peralatan asas sebegitu tidak disediakan di klinik-klinik kesihatan di pedalaman bagaimana warga kerja Kementerian Kesihatan ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit mereka.

Mungkin sudah tiba masa untuk Kementerian Kesihatan mengadakan siri jelajah ke klinik-klinik kesihatan di pedalaman Sabah bagi melihat sendiri keperluan asas yang harus disediakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN